Adakah bolus mandatori automatik ubat epidural memberikan kelegaan sakit bersalin yang lebih baik daripada infusi basal?

Mesej utama

- Apabila digunakan untuk mengekalkan kelegaan dari sakit epidural semasa bersalin, bolus mandatori automatik dikaitkan dengan kejadian sakit yang lebih rendah yang memerlukan intervensi klinikal dan penggunaan ubat, berbanding infusi basal.

- Kedua-dua bolus mandatori automatik dan infusi basal adalah setanding dalam kejadian bersalin secara caesarean, bersalin dengan bantuan alat, dan tempoh epidural bersalin.

Apakah kaedah-kaedah untuk mengekalkan kelegaan dari sakit epidural semasa bersalin?

Epidural sering digunakan untuk melegakan kesakitan semasa bersalin, dan melibatkan pemberian ubat anestetik setempat ke dalam ruang epidural di sekitar tulang belakang. Secara umumnya, ubat boleh dihantar melalui dua teknik: infusi basal (BI) dan bolus mandatori automatik (AMB). Dengan BI, ubat diberikan tanpa gangguan dalam tempoh masa yang panjang, manakala AMB melibatkan pemberian ubat pada selang masa yang ditetapkan dengan setiap dos dihantar dalam tempoh masa yang singkat.

Kaedah penghantaran ubat epidural yang unggul akan menghasilkan kelegaan dari sakit yang berkesan dan kurang kejadian mengalami kesakitan yang memerlukan intervensi pakar anestesi (juga dipanggil kesakitan terobosan). Juga, ia akan dikaitkan dengan kurang kejadian kesan buruk berkaitan epidural termasuk bersalin secara caesar, bersalin dengan bantuan (penggunaan forsep atau alat vakum untuk membantu melahirkan), tempoh kelegaan sakit bersalin yang berpanjangan, dan peningkatan penggunaan anestetik setempat.

Apa yang kami ingin ketahui?

Kajian terdahulu telah melaporkan data yang bercanggah mengenai kaedah mana (AMB berbanding BI) memberikan kelegaan kesakitan yang unggul semasa bersalin, dan ulasan sistematik sebelum ini sudah lapuk kerana terdapat beberapa kajian baharu yang diterbitkan mengenai topik ini. Kemasukan data mereka boleh meningkatkan ketepatan keputusan kami mengenai keberkesanan dan potensi kesan buruk AMB berbanding BI untuk mengekalkan kelegaan sakit epidural semasa bersalin. 

Oleh itu, kami berhasrat untuk membandingkan AMB dengan BI dari segi:

- kejadian kesakitan terobosan (sakit yang berlaku semasa epidural bersalin yang memerlukan intervensi pakar anestesi)

- kejadian bersalin secara caesar

- kejadian bersalin dengan bantuan alat

Selain itu, kami membandingkan AMB dengan BI dari segi tempoh analgesia epidural dan penggunaan anestetik setempat.

Apa yang kami lakukan?

Kami mencari kajian yang membandingkan AMB dengan BI untuk melegakan kesakitan epidural bersalin. Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian ini dan menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang telah kami dapati?

Ulasan kami memasukkan 18 kajian yang melibatkan 4590 wanita dengan kehamilan yang tidak rumit. Secara keseluruhan, kami mendapati bahawa AMB dikaitkan dengan kurang kejadian kesakitan terobosan dan kurang penggunaan anestetik setempat berbanding BI, tetapi kedua-dua kaedah adalah setanding mengenai kejadian bersalin secara caesar, bersalin dengan bantuan alat, dan tempoh epidural bersalin.

Apakah batasan bukti?

Kami mempunyai keyakinan sederhana terhadap bukti, tetapi ia dihadkan oleh dua faktor utama. Pertama, terdapat perbezaan antara kajian dalam kaedah masing-masing, yang merangkumi perbezaan dalam jenis ubat yang digunakan, peringkat bersalin di mana prosedur epidural dilakukan, dan penggunaan serentak bentuk kelegaaan kesakitan sebagai tambahan kepada epidural bersalin. Perbezaan antara kajian yang disertakan ini boleh menyumbang kepada perbezaan yang diperhatikan antara AMB dan BI. Kedua, beberapa keputusan kami adalah berdasarkan data yang diperoleh daripada sebilangan kecil wanita, yang mungkin mengehadkan ketepatan penemuan kami.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Ulasan ini mengemas kini ulasan terdahulu dan menyertakan bukti yang diterbitkan sehingga 31 Disember 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Selayang). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information