Soalan ulasan
Binokular berbanding oklusi standard atau rawatan kabur untuk ambliopia unilateral pada kanak-kanak berumur tiga hingga lapan tahun.
Latar belakang
Pada masa ini, amblyopia (mata malas) pada kanak-kanak dirawat dengan cermin mata, diikuti sama ada menampal atau mengaburkan mata yang lebih melihat dengan ubat titisan mata atropin. Rawatan ini tidak popular antara kalangan kanak-kanak, dan jumlah tampalan atau ubat titis mata yang boleh digunakan oleh ibu bapa dan penjaga selalunya kurang daripada yang ditetapkan. Kurang daripada dua pertiga kanak-kanak mengalami penglihatan normal dalam mata malas, dan penglihatan tiga dimensi mungkin kekal terhad dalam beberapa kes. Jenis rawatan binokular baharu (dengan kedua-dua mata terbuka) yang sepadan dengan maklumat visual yang ditunjukkan kepada mata yang lebih baik dengan tahap penglihatan pada mata malas mungkin menghasilkan hasil yang lebih baik. Kanak-kanak mungkin mendapati pendekatan ini lebih mudah untuk bertolak ansur, kerana semasa rawatan mereka bermain permainan komputer atau menonton filem melalui kanta khas atau pada komputer yang diubah suai.
Apakah yang kami ingin tahu?
Kami ingin mengetahui sama ada rawatan binokular lebih baik daripada tampalan konvensional atau rawatan kabur farmakologi dalam mendapatkan hasil visual yang lebih baik pada kanak-kanak, berumur tiga hingga lapan tahun, dengan amblyopia unilateral.
Apakah yang telah kami lakukan?
Kami mencari kajian yang mengkaji rawatan baharu ini, berbanding dengan tampalan standard atau rawatan kabur titisan mata, pada kanak-kanak berumur tiga hingga lapan tahun dengan mata malas. Kami mencari semua sumber maklumat standard. Dua pengarang kajian secara bersendirian mengkaji kajian-kajian yang dipilih. Kami merancang untuk memasukkan hanya kajian yang melaporkan hasil daripada ujian terkawal rawak (RCT) - kajian yang membandingkan rawatan baharu dengan rawatan standard, dan tempat kanak-kanak diberikan kumpulan rawatan secara rawak (seperti membalikkan syiling).
Apakah yang telah kami temui?
Kami mengenal pasti satu kajian secara rawak yang memenuhi kriteria ini. Kajian itu merekrut 385 kanak-kanak yang mana subset dianalisis; 36 telah rawak untuk permainan iPad binokular dan 32 kanak-kanak telah rawak untuk rawatan tampalan konvensional. Kajian mendapati, secara purata, penglihatan bertambah baik dengan kedua-dua tampalan dan rawatan komputer baharu selepas 16 minggu, dengan sedikit atau tiada perbezaan dalam jumlah peningkatan dengan kedua-dua pendekatan, walaupun terdapat beberapa batasan dengan kajian itu.
Kami menyimpulkan bahawa lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk membolehkan keputusan mengenai rawatan baharu. Kami mengesyorkan agar penyelidikan masa depan dilakukan dalam bentuk RCT, dan penyelidik menggunakan ujian ketajaman penglihatan (perincian halus) dan penglihatan tiga dimensi yang diakui untuk melaporkan hasilnya. Ia juga penting untuk menerbitkan pemerhatian yang dilaporkan oleh kanak-kanak dan keluarga, berapa banyak rawatan yang digunakan, dan jika dan apabila penglihatan mata malas menjadi lebih teruk selepas rawatan dihentikan.
Sejauh manakah bukti ini dikemas kini?
Ulasan ini mengemas kini ulasan kami yang terdahulu. Bukti adalah terkini sehingga November 2020.
Diterjemahkan oleh Amanda Yap Qiao Ying (Hospital Putrajaya). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi amandayapqy@gmail.com