Intervensi pengurusan kendiri untuk diabetes jenis 2 dalam kalangan pesakit dewasa dengan penyakit mental yang teruk

Soalan ulasan

Apakah kesan intervensi pengurusan kendiri diabetes yang khusus disesuaikan untuk orang dewasa dengan diabetes jenis 2 dan penyakit mental yang teruk?

Latar belakang

Diabetes adalah salah satu keadaan jangka panjang yang paling biasa berlaku, menjejaskan sekitar 415 juta orang di seluruh dunia. Orang yang mempunyai penyakit mental yang teruk adalah dua kali ganda lebih berkemungkinan untuk menghidap diabetes berbanding mereka yang tidak mempunyai masalah kesihatan mental kerana banyak faktor, termasuk kesan-kesan sampingan ubat antipsikotik dan 'gaya hidup’ yang tidak mencukupi seperti diet yang kurang baik dan tahap aktiviti fizikal yang rendah. Selepas diagnosis, diabetes jenis 2 diuruskan melalui gabungan ubat dan perubahan tingkah laku. Apabila diabetes tidak diurus dengan baik, pesakit boleh mengalami komplikasi yang teruk dan mengancam nyawa. Penyedia penjagaan kesihatan telah membangunkan program pendidikan pesakit untuk membantu mereka menguruskan diabetes dengan kendiri, dan untuk mengurangkan kebarangkalian komplikasi seperti ini daripada berlaku. Walaupun banyak program untuk diabetes jenis 2 didapati berkesan, hanya sedikit yang diketahui tentang program yang dikhususkan untuk memenuhi keperluan pesakit mental yang teruk.

Ciri-ciri kajian

Kami mengenal pasti satu kajian, yang merekrut 64 orang dewasa dengan diabetes jenis 2 dan skizofrenia atau gangguan skizoaffektif. Para penyelidik membandingkan penjagaan biasa serta risalah maklumat dengan program pendidikan selama 24 minggu yang disampaikan seminggu sekali selama 90 minit (Kesedaran Diabetes dan Latihan Pemulihan). Program ini menyediakan pendidikan asas diabetes serta maklumat tentang pemakanan dan senaman. Purata umur peserta adalah 54 tahun; peserta telah menghidap diabetes jenis 2 selama sembilan tahun secara purata dan dengan diagnosis psikiatri sejak mereka berumur 28 tahun secara purata. Orang dalam kajian yang disertakan dipantau selama enam bulan selepas program tamat.

Bukti ini adalah yang terkini sehingga 07 Mac 2016.

Keputusan utama

Kesimpulannya, sedikit kajian telah menilai kesan program pengurusan kendiri diabetes untuk orang dewasa dengan penyakit mental yang teruk. Penulis bagi satu kajian yang disertakan tidak melaporkan komplikasi berkaitan diabetes, semua punca kematian, peristiwa buruk, kualiti hidup berkaitan kesihatan ataupun kesan sosioekonomi. Mereka menerangkan peningkatan kecil dalam indeks jisim badan dan berat badan, serta pengetahuan tentang diabetes dan keberkesanan kendiri. Bukti semasa tidak mencukupi untuk menunjukkan bahawa program seperti ini boleh membantu penghidap diabetes jenis 2 dengan penyakit mental yang teruk untuk menguruskan diabetes mereka dan akibatnya dengan lebih baik.

Kualiti bukti kajian

Kami menilai kualiti keseluruhan bukti kajian ini sebagai sangat rendah, terutamanya kerana bilangan kajian dan peserta yang disertakan hanya sedikit, dan kerana keputusan kajian yang dilaporkan tidak konsisten.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nurfarah Nazira Mazeri (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rsciucd.edu.my

Tools
Information