Apakah isunya?
Pesakit buah pinggang kronik (CKD) berisiko tinggi untuk pemfibrilan atrium (AF), yang sering boleh menyebabkan strok atau embolisme sistemik. Terapi konvensional untuk pencegahan AF adalah warfarin dengan dos terlaras, tetapi ini boleh meningkatkan risiko perdarahan, yang memerlukan pemantauan terapeutik regular. Baru-baru ini, antikoagulan oral secara langsung (DOAC) telah dibangunkan sebagai alternatif kepada warfarin. Kami mengulas bukti DOAC berbanding warfarin untuk mencegah strok dan kejadian embolik sistemik dalam kalangan pesakit AF dengan CKD.
Apa yang kami lakukan?
Kami mendapati lima kajian yang membandingkan kesan DOAC (apixaban, dabigatran, edoxaban, dan rivaroxaban) dan warfarin dos terlaras. Seramai 12,545 peserta dalam lima kajian ini mempunyai AF bukan injap dan kerosakan buah pinggang sederhana. Kajian-kajian tersebut mengemukakan data semua hasil komposit strok dan peristiwa embolik sistematik sebagai hasil keberkesanan primer, dengan peristiwa perdarahan major sebagai hasil keselamatan primer. Tempoh susulan median adalah antara 1.8 hingga 2.8 tahun. Bukti tersebut adalah tepat sehingga Ogos 2017.
Apa yang kami dapati?
DOAC mungkin mengurangkan insidens strok dan kejadian embolik sistemik sebagai hasil keberkesanan primer, berbanding warfarin. Tambahan pula, DOAC mungkin mengurangkan sedikit kejadian pendarahan major sebagai hasil keselamatan primer, berbanding warfarin.
Kesimpulan
Ulasan ini menunjukkan DOAC adalah seperti warfarin, mungkin boleh mencegah semua kejadian strok dan embolik sistemik tanpa meningkatkan peristiwa pendarahan major dalam kalangan pesakit AF dengan CKD. Menurut GRADE, kualiti bukti adalah sederhana untuk hasil keberkesanan primer kerana kebimbangan dengan ketidaktepatan dan kualiti bukti rendah untuk hasil keselamatan primer kerana kebimbangan dengan ketakkonsistenan dan ketidaktepatan. Keputusan kajian ini terpakai untuk pesakit CKD peringkat G3, kerana kami tidak dapat menilai pesakit dengan CKD peringkat CKD G4 atau G5.
Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.