Apakah kesan amalan pencucian dan pelembab terhadap kesihatan kulit orang tua di persekitaran hospital dan penjagaan di rumah?

Soalan ulasan

Kami mengkaji bukti tentang kesan amalan pencuci dan emolien yang berbeza (pelembap) jika dibandingkan dengan penjagaan biasa atau tiada rawatan untuk mengekalkan kulit yang sihat pada orang berumur 60 tahun atau lebih tua di hospital atau rumah penjagaan.

Latar belakang

Dengan usia, kulit menjadi lebih kering; ini boleh membawa kepada ketidakselesaan, rasa gatal, dan kerosakan kulit. Amalan kebersihan dan pelembab yang baik menyokong penuaan kulit yang sihat. Walau bagaimanapun, penyelidikan adalah terhad, dan penjagaan semasa sebahagian besarnya berdasarkan adat dan amalan.

Ciri-ciri kajian

Kita memasukkan enam kajian (1598 peserta), yang dilengkapkan di rumah penjagaan. Apabila dilaporkan, kebanyakan peserta adalah wanita dan berumur 80 tahun atau lebih.

Dua kajian memasukkan hanya orang yang didiagnos dengan kulit kering. Kajian-kajian membandingkan penjagaan biasa atau tiada rawatan terhadap pelbagai pembersihan dan pelembapan kulit (ketul sabun pelembap; kombinasi rendaman air, rendam minyak, dan losyen; aplikasi pelembap komersial; penggunaan dua rejimen penjagaan kulit yang terdiri daripada cucian badan dan losyen; mandi di katil dengan "sarung tangan" yang mengandungi pelbagai bahan; dan penggunaan tuala panas selepas mandi di katil). Tempoh rawatan adalah dari satu sapuan untuk 10 saat hingga enam bulan penggunaan pelembap dua kali sehari. Hanya satu kajian yang meinilaikan peserta selepas rawatan (satu hingga lapan hari selepas rawatan), dan peserta dalam kajian tuala panas telah diukur 15 minit selepas kulit mereka dikeringkan dengan tuala kering. Apabila dilaporkan, empat kajian telah menerima pembiayaan luar, dalam dua kes daripada penaja komersial.

Bukti adalah terkini sehingga Januari 2019.

Keputusan-keputusan utama

Hasil utama kami adalah kerosakan kulit dan kesan sampingan rawatan. Hanya satu kajian melaporkan frekuensi kerosakan kulit (kulit koyak), mendapati kurang koyak setiap bulan (5.76 per 1000 hari di katil) dengan penjagaan biasa ditambah dengan dua kali aplikasi losyen pH neutral komersial (selama enam bulan) berbanding penjagaan biasa (iaitu tiada rutin pelembapan kulit piawai) (10.57 koyak). Walau bagaimanapun, ini adalah berdasarkan bukti kualiti rendah, oleh itu kami tidak pasti tentang keputusan ini.

Hanya satu kajian mengukur kesan sampingan rawatan, membandingkan penjagaan biasa (iaitu higin peribadi dan produk penjagaan biasa) terhadap penggunaan dua jenis mandian pelembap dengan losyen badan (aplikasi dua kali sehari selama lapan minggu) di dalam dua kumpulan peserta. Empat kesan sampingan dilaporkan dalam kumpulan rawatan (penilaian dibuat kira-kira 56 hari selepas rawatan bermula): gatal (ringan), kemerahan (ringan/sederhana), kerengsaan (teruk), dan kulit kering yang ringan. Tiada kesan sampingan dilaporkan dalam kumpulan penjagaan biasa. Walau bagaimanapun, penemuan ini adalah berdasarkan bukti kualiti rendah, yang bermaksud kami tidak pasti tentang keputusan ini.

Kajian yang sama menilai kehilangan air dari kulit lengan dan bahagian bawah kaki dan mendapati tiada perbezaan di antara penjagaan biasa dan rawatan. Satu kajian lain membandingkan tuala panas yang diaplikasi selama 10 saat selepas mandian penjagaan biasa berbanding mandian penjagaan di katil sahaja, mendapati mungkin ada sedikit atau tiada perbezaan dalam kehilangan air di antara kumpulan. Kedua-dua kajian ini adalah berdasarkan bukti kualiti rendah.

Tiga kajian, yang menilai rejimen penjagaan kulit yang berbeza selama lapan minggu; penggunaan sarung tangan untuk 12 minggu; dan aplikasi tunggal tuala panas, menunjukkan tiada perbezaan jelas dalam hidrasi stratum corneum (lapisan paling atas kulit) apabila dibanding dengan penjagaan biasa. Walau bagaimanapun, kualiti bukti sangat rendah,oleh itu kami tidak pasti tentang keputusan ini.

Tiga kajian mengukur kekeringan kulit dan mungkin terdapat pembaikan dengan rawatan tersebut berbanding penjagaan standard atau tiada intervensi: penjagaan kulit yang berbeza untuk lapan minggu; ketul sabun pelembap yang diguna selama lima hari; dan kombinasi rendam air, rendam minyak, dan losyen selama 12 hari (semua bukti berkualiti rendah).

Tidak kajian yang disertakan menilai kemerahan kulit dan skor gatal klinikal.

Kualiti bukti

Kualiti bukti bagi hasil kerosakan kulit, kesan sampingan, dan lembapan dalam lapisan kulit paling atas adalah sangat rendah. Untuk baki hasil yang diukur (iaitu kehilangan air dari kulit dan kekeringan kulit), kualiti bukti adalah rendah. Kami bimbang tentang reka bentuk dan perlaksanaan kajian serta bilangan kecil kajian dan para peserta.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Adam Linoby (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Pperubatan Melaka-Mnaipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information