Perencat PARP untuk kanser payudara serius setempat atau metastatik

Apakah matlamat ulasan ini?

Perencat PARP adalah ubat baru yang menyekat pembaikan DNA dalam sel tumor dan menyebabkan kematian sel. Tujuan ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui keberkesanan dan keselamatannya dalam merawat pesakit dengan kanser payudara serius setempat atau metastatik. Para penulis ulasan Cochrane mengumpul dan menganalisis semua kajian yang relevan untuk menjawab soalan ini dan menemui lima kajian untuk menangani topik ini. Tujuan utama kami adalah untuk melihat sama ada perencat PARP memanjangkan survival. Kami juga menilai sama ada ubat-ubatan ini memanjangkan masa sebelum penyakit progres (pertumbuhan melebihi 20% atau pembentukan metastasis baru), yang menyebabkan tumor mengecut, atau menyebabkan lebih kesan sampingan.

Apa yang dikaji dalam ulasan ini?

Kami sertakan kajian rawak terkawal peserta dengan kanser payudara serius setempat atau metastatik yang membandingkan 1) kemoterapi dalam kombinasi dengan perencat PARP, dibanding dengan kemoterapi yang sama tanpa perencat PARP atau 2) rawatan dengan perencat PARP, berbanding rawatan dengan kemoterapi lain. Kami sertakan kajian-kajian yang melapor hasil utama kami tentang survival keseluruhan dan hasil sekunder termasuk survival bebas progresi, kadar pengecutan tumor, kualiti hidup, dan kesan sampingan.

Adakah ulasan ini mutakhir?

Kami mencari kajian-kajian yang diterbitkan hingga Jun 2020 dan memasukkan keputusan lima kajian melibatkan 1474 peserta.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Bagi orang dengan kanser serius setempat atau metastatik HER2-negatif (orang dengan kanser payudara yang diuji negatif untuk protein yang disebut reseptor faktor pertumbuhan epidermis manusia 2), ‘germline’ kanser payudara BRCA bermutasi (peserta membawa mutasi dalam gen BRCA), ulasan sistematik kami mendapati perencat PARP:

- boleh mengurangkan risiko kematian sebanyak 13% (iaitu orang yang dirawat dengan ubat ini hidup lebih lama secara keseluruhan berbanding yang dirawat di lengan rawatan pembanding);
- mengurangkan risiko pertumbuhan penyakit sebanyak 37%;
- boleh memperbaik peluang pengecutan tumor (66.9% untuk perencat PARP berbanding 48.9% bagi rawatan lain):
- menghasilkan sedikit atau tiada perbezaan kesan sampingan berbanding lengan rawatan lain.

Data kualiti hidup dikumpul dalam dua kajian dan bukti sedia ada menunjukkan perencat PARP lebih unggul berbanding kemoterapi pilihan doktor dari segi hasil yang dilaporkan oleh peserta.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information