Kemoterapi dos tinggi (HDC) dan pemindahan sel hematopoietik autologous (AHCT) untuk kanak-kanak, remaja, dan belia dengan pengulangan pertama sarkoma Ewing

Soalan ulasan

Kami mencari bukti mengenai sama ada HDC bersama AHCT memperbaiki kelangsungan hidup tanpa peristiwa, kelangsungan hidup keseluruhan, kelangsungan hidup yang disesuaikan dengan kualiti, dan kelangsungan hidup bebas perkembangan adalah lebih baik daripada kemoterapi konvensional dalam kanak-kanak, remaja, dan belia dengan pengulangan pertama sarkoma Ewing. Kami juga mencari kesan sampingan yang berlaku akibat rawatan ini.

Latar belakang

Sarkoma Ewing adalah tumor yang terjadi pada tulang dan tisu lembut, terutama pada tulang panjang dan pelvis, dan terutamanya terjadi pada kanak-kanak, remaja, dan belia. Sejak pengenalan kemoterapi selepas pembedahan, dengan atau tanpa radiasi, hasil penghidap sarkoma Ewing bertambah baik. Namun, walaupun dengan kemoterapi yang lebih baik, masih terlalu ramai orang yang akhirnya mati akibat penyakit ini, kerana ia telah berkembang ataupun kembali. Individu dengan pengulangan pertama sarkoma Ewing tidak mempunyai prognosis yang baik: kurang dari 3 daripada 10 orang muda masih hidup pada 24 bulan, dan kurang dari 1 daripada 10 masih hidup pada 48 bulan. Terapi yang ditambahbaik adalah mustahak untuk individu ini. Kemoterapi dos tinggi (HDC), diikuti dengan pemindahan sel hematopoietik autologous (AHCT; infus intravena sel stem yang dikumpulkan sebelumnya untuk mewujudkan semula sumsum tulang), berjaya digunakan untuk orang muda dengan pelbagai tumor. Secara teorinya, ini nampaknya merupakan pilihan yang baik untuk merawat sebilangan kecil sel kanser yang tersisa, dan untuk meningkatkan kadar kelangsungan hidup setelah pengulangan pertama sarkoma Ewing.

Keputusan utama

Kami mencari penulisan perubatan secara menyeluruh, termasuk prosiding persidangan yang berkaitan, dan daftar kajian yang sedang berlangsung, tetapi kami tidak menemui kajian yang relevan. Oleh itu, kami tidak dapat membuat kesimpulan sama ada HDC dengan AHCT meningkatkan kelangsungan hidup tanpa peristiwa, kelangsungan hidup keseluruhan, kelangsungan hidup yang disesuaikan dengan kualiti, atau kelangsungan hidup bebas perkembangan adalah lebih baik daripada kemoterapi konvensional, atau jika ia menyebabkan kesan sampingan, dalam kanak-kanak, remaja, dan belia dengan pengulangan pertama sarkoma Ewing. Keputusan kami menunjukkan bahawa penyelidikan lebih lanjut adalah diperlukan.

Seberapa terkinikah bukti tersebut

Bukti adalah terkini sehingga Januari 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information