Apa yang berlaku jika rawatan haloperidol dihentikan untuk pesakit skizofrenia

Soalan ulasan

Apakah kesan menghentikan antipsikotik haloperidol pada pesakit skizofrenia yang stabil dengan rawatan haloperidol.

Latar belakang

Skizofrenia melibatkan gangguan perkaitan antara pemikiran, emosi, dan tingkah laku, yang membawa kepada gangguan pemikiran, persepsi yang salah, tindakan dan perasaan yang tidak sesuai, dan pengasingan sosial. Haloperidol adalah salah satu ubat pertama yang digunakan dalam rawatan skizofrenia. Haloperidol diketahui berkesan untuk merawat gejala psikotik (seperti khayalan dan halusinasi) dalam skizofrenia; walau bagaimanapun, ia juga mempunyai kesan sampingan yang tidak menyenangkan. Kesan menghentikan atau menyingkirkan rawatan haloperidol tidak dikaji dengan baik.

Pencarian bukti

Kami menjalankan carian elektronik dari Cochrane tentang kajian Schizophrenia, yang terbaru adalah pada 24 Januari 2019, iaitu kajian yang memasukkan secara rawak pesakit skizofrenia dan stabil dengan rawatan haloperidol ke kumpulan sama ada berhenti haloperidol atau terus mengambil haloperidol. Penulis kajian telah menemui dan menyemak 54 rekod.

Bukti yang ditemui

Lima kajian memenuhi keperluan ulasan dan menyediakan data yang boleh digunakan.

Bukti sedia ada daripada kajian rawak terkawal berkualiti sangat rendah dan menunjukkan bahawa pemberhentian haloperidol dikaitkan dengan hasil yang lebih buruk terhadap pesakit skizofrenia dari segi pemulihan keseluruhan gejala mereka (keadaan global). Ia juga menunjukkan bahawa pesakit yang menghentikan rawatan haloperidol lebih cenderung mengalami kambuh (gejala yang berulang) semasa tahun pertama selepas rawatan. Tiada kajian memberi keterangan mengenai apa yang berlaku selepas tahun pertama tersebut. Bilangan peserta yang meninggalkan kajian lebih awal (yang boleh menjadi petunjuk tentang kepuasan terhadap rawatan) adalah sama antara kedua-dua rawatan.

Kualiti yang sangat rendah dari bukti sedia ada disebabkan oleh kelemahan metodologi kajian yang terlibat. Ini mengurangkan keyakinan kami terhadap kebolehpercayaan keputusan, dan menghalang kebolehubahsuaian mereka terhadap situasi dunia sebenar.

Kesimpulan

Ianya mengecewakan bahawa hanya sebilangan kecil kajian yang dikenalpasti, dan saiz dan kualiti kajian adalah terhad. Bukti yang ada tidak membolehkan kita menjawab sepenuhnya persoalan penting mengenai kesan menghentikan rawatan haloperidol. Khususnya apabila tiada bukti boleh dikaitankan dengan kesan sampingan haloperidol. Kajian-kaijan baru dengan kualiti yang lebih baik diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Syarifah Amirah Balqis Awang (Lincoln University College). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini, sila hubungi syamirahbalqis3@gmail.com

Tools
Information