Ubat antiepileptik monoterapi (rawatan ubat tunggal) untuk epilepsi

Latar belakang

Epilepsi adalah gangguan neurologi yang lazim di mana discaj elektrik abnormal daripada otak menyebabkan sawan berulang. Kami mengkaji dua jenis sawan epilepsi dalam ulasan ini: sawan fokal yang bermula di satu kawasan otak dan sawan tonik-klonik umum yang bermula serentak di kedua-dua hemisfera serebrum.

Kira-kira 70% orang dengan epilepsi, sawan boleh dikawal, dan untuk majoriti, sawan dikawal dengan ubat antiepileptik tunggal. Kini di UK, garis panduan Institut Kesihatan dan Penjagaan Cemerlang (NICE) untuk orang dewasa dan kanak-kanak mengesyorkan carbamazepine atau lamotrigine sebagai pilihan rawatan utama untuk dicuba bagi individu yang baru didiagnos sawan fokal dan sodium valproate untuk individu yang baru didiagnos sawan tonik-klonik umum; walau bagaimanamun, terdapat pelbagai jenis rawatan ubat antiepileptik lain boleh didapati.

Pilihan ubat antiepileptik utama bagi seseorang individu yang baru didiagnos dengan sawan amat penting dan harus mengambil kira bukti berkualiti tinggi tentang keberkesanan ubat-ubatan dalam mengawal sawan dan sama ada ianya dikaitkan dengan kesan-kesan sampingan. Adalah penting ubat-ubatan yang sesuai untuk pelbagai jenis sawan dibanding dengan satu sama lain.

Kaedah ulasan

Ubat-ubatan antiepileptik dalam ulasan ini adalah carbamazepine, phenytoin, sodium valproate, phenobarbitone, oxcarbazepine, lamotrigine, gabapentin, topiramate, levetiracetam, zonisamide eslicarbazepine acetate dan lacosamide.. Dalam ulasan ini, kami menilai bukti daripada 89 kajian klinikal rawak terkawal yang membandingkan dua atau lebih ubat berdasarkan keberkesanannya dalam mengawal sawan (iaitu sama ada orang mengalami sawan berulang atau mengalami tempoh bebas sawan yang panjang (remisi)), dan sejauh mana mereka boleh tahan sebarang kesan sampingan yang berkait dengan ubat-ubatan. Kami dapat gabungkan data bagi 14,789 orang dari 39 daripada 89 kajian; untuk baki 7251 orang daripada 50 kajian, tiada data untuk diguna dalam ulasan ini. Tiada data tersedia daripada orang yang menerima eslicarbazepine acetate.

Kami melakukan dua jenis analisis dalam ulasan ini; pertama kami menggabung data sedia ada di mana pasangan ubat-ubatan dibandingkan secara langsung dalam kajian klinikal dan kedua kami telah melakukan analisis untuk menggabung semua maklumat dari kajian klinikal di seluruh 'rangkaian' 11 ubat-ubatan. Analisis ini membolehkan perbandingan ubat dalam rangkaian yang sebelum ini belum dibandingkan antara satu sama lain dalam kajian klinikal.

Keputusan utama

Analisis 'rangkaian' kami menunjukkan ubat-ubatan tertua dalam rangkaian (phenobarbitone dan phenytoin) adalah pilihan yang lebih baik dari segi kawalan sawan berbanding ubat-ubatan lain tetapi ubat-ubatan tertua ini adalah yang paling teruk dari segi retensi jangka panjang (berhenti rawatan) berbanding ubat-ubatan yang lebih baharu seperti lamotrigine dan levetiracetam. Sodium valproate adalah pilihan terbaik daripada semua ubat untuk mencapai kawalan dan remisi sawan tonik-klonik umum.

Kesan sampingan yang paling lazim dilapor bagi semua ubat-ubatan adalah mengantuk atau keletihan, sakit kepala atau migrain, gangguan gastrousus (gangguan perut), pening atau pitam dan ruam atau gangguan kulit.

Kualiti bukti

Ulasan ini menyediakan bukti berkualiti tinggi bagi individu dengan sawan fokal dan kualiti bukti sederhana hingga tinggi untuk individu dengan sawan umum tonik-klonik, kerana kurangnya maklumat sedia ada untuk beberapa ubat-ubatan bagi orang dengan sawan jenis ini.

Kesimpulan

Keputusan ulasan ini menyokong garis panduan NICE carbamazepine dan lamotrigine adalah rawatan pilihan utama yang sesuai untuk individu dengan sawan fokal dan juga menunjukkan levetiracetam adalah rawatan yang juga sesuai. Keputusan ulasan ini juga menyokong penggunaan sodium valproate sebagai rawatan utama untuk individu dengan sawan umum tonik-klonik dan menunjukkan lamotrigine dan levetiracetam sebagai alternatif yang sesuai, terutama bagi mereka yang hamil atau mempertimbang untuk hamil, yang mana sodium valproate mungkin bukan pilihan rawatan sesuai.

Adakah ulasan ini mutakhir?

Bukti adalah terkini sehingga April 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information