Berapa tepatkah ujian mini-cog apabila diguna untuk menilai demensia dalam amalan umum?

Latar belakang dan rasional ulasan

Di kebanyakan tempat di dunia terdapat peningkatan bilangan orang tua, dengan itu aduan dan keadaan memori seperti penyakit Alzheimer dan bentuk demensia lain menjadi lebih lazim. Kebanyakan individu dengan kesukaran memori akan terlebih dahulu mencari penjagaan atau dikenalpasti dalam sistem penjagaan kesihatan melalui penyedia penjagaan kesihatan primer mereka, yang mungkin termasuk doktor keluarga atau jururawat. Oleh itu, perlu alat yang dapat mengenal pasti individu yang mungkin mengalami demensia atau masalah memori yang ketara. Alat-alat ini juga sepatutnya dapat mengecualikan demensia dalam kalangan individu-individu dengan rungutan memori tetapi tanpa demensia atau masalah memori yang ketara. Alat sedemikian di penjagaan primer haruslah mudah diguna, cepat diurus dan tepat agar dapat diguna dalam penjagaan primer dan pada masa yang sama tidak menyebabkan lebih atau kurang mendiagnosis demensia. Mini-Cog, alat saringan kognitif ringkas, telah dicadangkan sebagai ujian saringan untuk demensia di penjagaan primer kerana ia dilaporkan tepat dan mudah untuk diguna di persekitaran penjagaan primer. Mini-Cog terdiri daripada tugasan ingatan yang melibatkan mengingat semula tiga perkataan dan penilaian tugas melukis jam.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari pangkalan data elektronik untuk artikel yang menilai Mini-Cog dan bukti ini adalah terkini sehingga Januari 2017. Tujuan ulasan kami adalah untuk membanding ketepatan Mini-Cog mengesan sebarang jenis demensia di persekitaran penjagaan primer berbanding penilaian mendalam yang dijalankan oleh pakar demensia. Kami sertakan kajian-kajian yang menilai individu dengan pelbagai tahap demensia tidak kira sama ada ujian kognitif telah lengkap sebelum Mini-Cog diguna. Secara keseluruhan, ulasan kami mengenal pasti empat kajian yang berlangsung di persekitaran penjagaan primer yang membandingkan ketepatan Mini-Cog kepada penilaian terperinci demensia oleh pakar demensia.

Kualiti bukti

Daripada empat kajian dalam ulasan ini, satu kajian mempunyai batasan tentang cara Mini-Cog dinilai, yang mungkin menyebabkan terlebih anggaran ketepatan Mini-Cog dalam kajian-kajian lain. Isu yang paling bermasalah dalam kualiti kajian berkait dengan cara peserta dipilih untuk menyertai kajian penyelidikan, yang mungkin menyumbang kepada terlebih anggar ketepatan Mini-Cog dalam kebanyakan kajian disertakan dalam ulasan kami.

Penemuan utama

Keputusan kajian yang berkualiti paling tinggi Holsinger 2012 mendapati Mini-Cog mempunyai sensitiviti 76%, bermaksud Mini-Cog gagal mengesan hingga 24% individu dengan demensia (seperti negatif palsu). Dalam kajian yang sama, spesifisiti Mini-Cog adalah 73% yang bermaksud sehingga 27% individu mungkin salah dikenal pasti sebagai demensia dengan Mini-Cog apabila individu-individu ini sebenarnya tiada demensia (misalnya positif palsu) . Kami menyimpulkan buat masa ini tiada cukup bukti untuk menyokong penggunaan rutin Mini-Cog sebagai ujian saringan untuk demensia dalam penjagaan primer dan kajian tambahan diperlukan sebelum menyimpulkan Mini-Cog berguna dalam persekitaran ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information