Soalan ulasan:
Adakah mengekalkan duktus arteriosus terbuka dengan prostaglandin E1 berkesan dan selamat bagi bayi dengan keadaan jantung yang memerlukan duktus arteriosus terbuka untuk survival?
Latar belakang
Duktus arteriosus adalah sambungan saluran darah di antara saluran darah yang besar yang membekalkan darah ke paru-paru (arteri pulmonari) dan ke saluran darah yang besar yang membekalkan darah ke badan (aorta). Biasanya duktus adalah terbuka sebelum lahir dan tertutup dalam hari pertama selepas lahir. Walau bagaimanapun, dalam keadaan jantung tertentu di mana terdapat halangan aliran darah ke paru-paru atau badan, atau keadaan di mana saluran darah yang membekalkan paru-paru dan badan tertukar (transposisi arteri besar), duktus yang terbuka diperlukan untuk survival. Prostaglandin E1 (PGE1) adalah bahan yang dihasilkan oleh duktus yang mengekalkannya terbuka. PGE1 eksternal diguna untuk mengekalkan duktus arteriosus terbuka dalam neonat yang mempunyai lesi jantung yang bergantung kepada duktus terbuka untuk survival. PGE1, walaupun menyelamatkan nyawa, bukanlah tidak berisiko. Tiada ulasan sistematik yang menilai keberkesanan atau keselamatan PGE1.
Ciri-ciri kajian:
Kami mencari kesusasteraan untuk kajian-kajian yang menggunakan pemilihan peluang (rawak) yang menggunakan PGE1 dalam neonat yang dilahirkan pada 34 minggu gestasi untuk mengekalkan duktus arteriosus terbuka dalam bayi baru lahir dengan keadaan jantung dan yang melaporkan keberkesanan dan keselamatan.
Keputusan utama
Kami mendapati tiada kajian rawak yang sedang berlangsung atau telah lebgkap untuk disertakan dalam ulasan ini. Pada masa ini tiada bukti daripada kajian rawak tentang prostaglandin (PGE1) tetapi terdapat maklumat daripada kajian yang bukan rawak. Penggunaan PGE1 dalam lesi jantung, di mana duktus arteriosus perlu kekal terbuka, diterima sebagai penjagaan standard, dan ia dianggap tidak beretika untuk melakukan kajian secara rawak.
Kualiti bukti:
Kualiti bukti tidak dapat dinilai kerana kami mendapati tiada kajian rawak untuk dimasukkan dalam ulasan ini.
Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com.