Ujian lipoarabinomannan air kencing aliran lateral untuk mengesan tuberkulosis aktif pada orang yang hidup dengan HIV

Mengapakah penambahbaikan diagnosis tuberkulosis adalah penting?

Tuberkulosis menyebabkan lebih banyak kematian pada orang yang hidup dengan HIV berbanding penyakit lain. Ujian lipoarabinomannan air kencing aliran lateral (LF-LAM, Alere Determine ™ TB LAM Ag assay) adalah ujian pantas yang disyorkan oleh Organisasi Kesihatan Sedunia untuk membantu mengesan tuberkulosis aktif pada orang yang positif HIV dengan penyakit HIV yang teruk. Diagnosis tuberkulosis yang cepat dan awal memungkinkan untuk mendapatkan rawatan segera dan mengurangkan penyakit yang teruk dan kematian. Diagnosis tuberkulosis yang salah boleh mengakibatkan kegelisahan dan rawatan yang tidak perlu.

Apakah matlamat ulasan ini?

Untuk mengetahui setepat manakah LF-LAM untuk mendiagnosis tuberkulosis pada orang HIV-positif dengan gejala tuberkulosis (peserta bergejala) dan mereka yang tidak dinilai untuk gejala tuberkulosis (peserta yang tidak dipilih). Ini adalah kemas kini bagi Ulasan Cochrane 2016.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

LF-LAM adalah ujian titik penjagaan yang tersedia secara komersial yang mengesan lipoarabinomannan (LAM), komponen dinding sel bakteria, yang terdapat pada beberapa orang dengan tuberkulosis aktif. Ujiannya mudah dan menunjukkan keputusan dalam 25 minit. Keputusan LF-LAM diukur berbanding kultur atau ujian molekular (tanda aras).

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Lima belas kajian: lapan kajian menilai LF-LAM untuk tuberkulosis dalam kalangan peserta bergejala dan tujuh kajian di antara peserta yang tidak dipilih. Semua kajian dijalankan di negara-negara berpendapatan rendah atau sederhana.

Diagnosis tuberkulosis dalam kalangan peserta bergejala: LF-LAM mencatatkan positif pada 42% (kepekaan) orang yang benar-benar menghidap tuberkulosis dan tidak mencatatkan positif pada 91% orang yang sebenarnya negatif (kekhususan).

Diagnosis tuberkulosis di kalangan peserta yang tidak dipilih: Kepekaan LF-LAM adalah 35% dan kekhususan 95%.

Seberapa yakinkah kami dalam hasil ulasan?

Beberapa kajian mengecualikan peserta yang tidak dapat menghasilkan kahak dan kebanyakan kajian bergantung pada penanda aras berkualiti lebih rendah. Beberapa kajian dan peserta dimasukkan dalam beberapa analisis dan hanya satu kajian yang dilakukan di luar sub-Sahara Afrika. Keputusan harus ditafsirkan dengan berhati-hati.

Apakah maksud keputusan ini?

Di antara peserta bergejala, secara teori, untuk populasi 1000 orang di mana 300 mempunyai tuberkulosis yang disahkan secara mikrobiologi, penggunaan LF-LAM akan mengakibatkan: 189 menjadi LF-LAM positif: dari jumlah tersebut, 63 (33%) tidak akan menghidap tuberkulosis (positif palsu); dan 811 menjadi LF-LAM negatif: dari jumlah tersebut, 174 (21%) akan menghidap tuberkulosis (negatif palsu).

Di antara peserta yang tidak dipilih, secara teori, untuk populasi 1000 orang di mana 100 mempunyai tuberkulosis yang disahkan secara mikrobiologi, penggunaan LF-LAM akan mengakibatkan: 80 menjadi LF-LAM positif: dari jumlah tersebut, 45 (56%) tidak akan menghidap tuberkulosis (positif palsu); dan 920 menjadi LF-LAM negatif: dari jumlah tersebut, 65 (7%) akan menghidap tuberkulosis (negatif palsu).

Kepada siapa keputusan ulasan ini boleh digunakan?

Orang yang positif HIV dengan gejala tuberkulosis dan mereka yang tidak dinilai untuk gejala tuberkulosis.

Apakah implikasi ulasan ini?

LF-LAM mempunyai kepekaan sekitar 40% untuk mengesan tuberkulosis. Oleh kerana ujian ini tidak memerlukan pengumpulan kahak, LF-LAM mungkin satu-satunya cara untuk mendiagnosis tuberkulosis apabila kahak tidak dapat dihasilkan.

Adakah ulasan ini terkini?

Hingga 11 Mei 2018.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Syed Amirfaiz (International Islamic University Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information