Soalan ulasan
Adakah dengan penambahan platelet autologous concentrates (APC) dapat meningkatkan hasil rawatan pembedahan kecacatan tulang dalam penyakit gusi?
Latar belakang
Gigi dikekalkan dalam kedudukan mereka oleh tisu lembut dan keras (gusi dan tulang sekitarnya). Penyakit gusi atau periodontitis, adalah keadaan keradangan semua tisu-tisu yang disebabkan oleh bakteria yang ada pada plak gigi. Sekiranya tidak dirawat, penyakit gusi boleh menyebabkan gigi menjadi lemah dan akhirnya mengakibatkan kehilangan gigi. Pemusnahan tulang rahang di sekitar gigi (dipanggil tulang alveolar) semasa penyakit gusi, boleh secara mendatar (di mana seluruh tulang di sekeliling akar dikurangkan) atau menegak, membentuk kecacatan tulang dalam tulang (kecacatan infrabony). Terdapat beberapa rawatan pembedahan yang tersedia untuk kecacatan infrabony, termasuk: 1. membuka debridement flap di mana gusi ditarik balik melalui pembedahan untuk membersihkan tartar dalaman; 2. cantuman tulang di mana sebahagian tulang semulajadi atau sintetik diletakkan di kawasan kehilangan tulang; 3. regenerasi tisu berpandu di mana sekeping kecil bahan seperti membran diletakkan di antara tulang dan tisu gusi untuk mengekalkan tisu gusi dari bertumbuh ke kawasan tulang; dan 4. penggunaan derivatif matriks enamel, satu bahan seperti gel yang diletakkan di bahagian dimana kehilangan tulang terjadi untuk mempromosikan pertumbuhan semula. Untuk mempercepat proses penyembuhan, autologous platelet concentrates telah digunakan kebelakangan ini. Ia merupakan tumpuan platelet darah pesakit sendiri yang mengandungi faktor pertumbuhan yang dianggap dapat menggalakkan pertumbuhan semula tisu. Tujuan ulasan ini adalah untuk menilai sama ada penambahan APC membawa sebarang manfaat dalam rawatan kecacatan infrabony apabila digabungkan dengan rawatan pembedahan yang berbeza.
Ciri-ciri Kajian
Pengarang-pengarang dari Kesihatan Oral Cochrane telah menjalankan ulasan ini dan bukti adalah terkini sehingga 27 February 2018. Kami melibatkan 38 kajian dengan sejumlah 1042 kecacatan infrabony. Kami mempertimbang empat jenis rawatan pembedahan yang berbeza dan membandingkan setiap teknik sesama sendiri apabila APC ditambah. Secara keseluruhan kami mempertimbangkan perbandingan ini: debridement flap terbuka dengan APC berbanding tanpa APC; debridement flap terbuka dan graft tulang dengan APC berbanding tanpa APC; regenerasi tisu berpandukan dengan APC berbanding tanpa APC; dan derivatif matriks enamel dengan APC berbanding tanpa APC.
Keputusan utama
Terdapat bukti yang berkualiti sangat rendah yang menunjukkan bahawa penambahan APC kepada dua jenis rawatan: debridement flap terbuka dan debridement flap terbuka dengan graft tulang, mungkin boleh membawa beberapa kelebihan dalam rawatan kecacatan infrabony. Walau bagaimanapun, untuk kedua-dua jenis rawatan, pertumbuhan semula tisu berpandu dan derivatif matriks enamel, terdapat bukti yang tidak mencukupi untukmenunjukkan faedah.
Kualiti bukti
Kami menilai kualiti bukti sebagai sangat rendah kerana masalah reka bentuk kajian-kajian.
Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Chan Mei Wai (RCSI & UCD Malaysia Campus). Untuk sebarang pertanyaan sila hubungi LokeTimKhaw@imu.edu.my