Kecederaan pada lapisan rahim untuk meningkatkan kadar kehamilan pada pasangan yang melakukan hubungan seksual atau sperma dimasukkan ke dalam rahim

Soalan ulasan

Untuk menilai kesan dan tahap kesakitan ketika kecederaan ringan disengajakan pada lapisan rahim (endometrium) dalam melihat kemungkinan mempunyai bayi bagi wanita yang ingin hamil melalui hubungan seksual atau dengan memasukkan sperma ke dalam rahim ( inseminasi intrauterin (IUI)).

Latar belakang

Bagi wanita yang menjalani persenyawaan in vitro (IVF), ada kemungkinan kehamilan akan meningkat bila dengan sengaja mencederakan endometrium dengan cara yang ringan. Kecederaan ini dapat dilakukan dengan mengambil biopsi kecil dari endometrium dengan alat plastik fleksibel kecil, seperti pipelle, dan merupakan prosedur ginekologi yang biasa dan selamat. Walau bagaimanapun, dari amalan klinikal harian, prosedur ini diketahui menyebabkan beberapa tahap ketidakselesaan/kesakitan, dan memerlukan pemeriksaan pelvis tambahan. Keberkesanan prosedur ini pada wanita yang tidak menjalani IVF, seperti wanita atau pasangan yang cuba hamil melalui hubungan seksual atau dengan IUI, masih belum jelas.

Ciri-ciri kajian

Dua puluh dua kajian terkawal secara rawak, termasuk sejumlah 3703 wanita, memenuhi kriteria penyertaan ulasan ini. Sebilangan besar wanita mempunyai jenis kemandulan yang dikenali sebagai ketidaksuburan yang tidak dapat dijelaskan, yang bermaksud bahawa setelah semua ujian rutin dilakukan, tidak ada penjelasan yang jelas mengapa pasangan itu tidak boleh hamil sehingga kini. Hasil utama ulasan adalah kelahiran hidup/kehamilan yang berterusan (kehamilan melebihi 12 minggu) dan kesakitan yang dialami semasa prosedur dilakukan. Bukti ini adalah terkini sehingga 21 Mei 2020.

Keputusan utama

Hanya satu kajian yang membandingkan kecederaan endometrium yang disengaja tanpa kecederaan/ prosedur plasebo dirancang dengan baik dan dimasukkan dalam analisis. Kajian ini tidak memberikan bukti yang cukup untuk menunjukkan sama ada terdapat perbezaan kemungkinan kelahiran hidup; kualiti bukti rendah. Bukti menunjukkan bahawa jika peluang kelahiran hidup tanpa intervensi/prosedur plasebo dianggap 34%, maka kemungkinan dengan kecederaan endometrium adalah 27% hingga 55%.

Enam kajian melaporkan sama ada wanita mengalami kesakitan semasa prosedur dan paling sering melaporkan kesakitan ringan hingga sederhana.

Empat kajian membandingkan kecederaan endometrium yang dilakukan dalam kitaran sebelum IUI dengan kecederaan yang dilakukan dalam kitaran yang sama dengan IUI. Kelahiran hidup/kehamilan atau kesakitan semasa prosedur tidak dilaporkan.

Satu kajian membandingkan kecederaan endometrium yang dilakukan pada awal separuh pertama kitaran haid (Hari ke-2 hingga ke-4) dengan kecederaan endometrium yang dilakukan pada akhir separuh pertama kitaran haid (Hari ke-7 hingga ke-9), keduanya dalam kitaran yang sama dengan IUI. Kelahiran hidup/kehamilan tidak dilaporkan. Kajian ini melaporkan kesakitan dinilai dengan skala visual sifar hingga sepuluh, di mana 0 adalah tanpa rasa sakit dan 10 adalah kesakitan yang amat, dan menunjukkan bahawa skor kesakitan rata-rata 0.17 mata lebih rendah setelah kecederaan endometrium pada awal separuh pertama kitaran haid berbanding dengan kecederaan seperti itu pada hujung separuh pertama kitaran haid.

Kualiti bukti

Masih terdapat ketidakpastian mengenai sama ada prosedur kecederaan endometrium meningkatkan kebarangkalian untuk mengandung. Tambahan pula, tidak ada kesimpulan yang dapat dibuat mengenai sama ada waktu kecederaan endometrium mempengaruhi kebarangkalian untuk melahirkan bayi. Kualiti bukti dinilai dari rendah hingga sangat rendah. Alasanya adalah kerana kajian yang disertakan dalam ulasan ini tidak dirancang dengan baik dan tidak mengambil jumlah bilangan wanita yang cukup untuk memberikan hasil yang bermakna. Ini bermaksud bahawa hasil mesti ditangani dengan berhati-hati, dan kajian lebih lanjut diperlukan untuk mengesahkan penemuan. Bukti semasa tidak mencukupi untuk menyokong penggunaan kecederaan endometrium secara rutin pada wanita yang menjalani IUI atau cuba hamil melalui hubungan seksual.

Nota terjemahan: 

DIterjemah oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Mohd Shaharudin Shah Che Hamzah (USM). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information