Apakah isunya?
Ramai wanita dalam dunia ini terkena kanser payudara. Radioterapi dan pembedahan yang digunakan sebagai rawatan kanser payudara mensasarkan payudara, dada serta axilla (atau ketiak) pada bahagian yang terkena dan boleh merosakkan limfatik tempatan di kawasan-kawasan tersebut. Ini menyebabkan aliran cecair yang lemah dari lengan yang terkena, di mana ini boleh mengakibatkan sensasi berat dan kelihatan bengkak. Istilah yang digunakan untuk menggambarkan keadaan ini adalah limfedema. Limfedema amat dikenali oleh pesakit dan profesional penjagaan kesihatan . Ia menyebabkan ketidakselesaan dan boleh mengganggu banyak aspek kehidupan seharian. Di samping itu, sebilangan pesakit menganggap pembengkakan lengan pada satu sisi tidak sedap dipandang. Pembengkakan jangka panjang mungkin akan menurunkan kualiti kulit dan menyebabkan ulangan jangkitan kulit. Langkah-langkah tradisional untuk mengatasi keadaan yang menyusahkan ini termasuk latihan lengan, urut, dan stoking mampatan. Walaupun langkah-langkah ini berkesan untuk mengurangkan pembengkakan lengan, ia memerlukan masa, kesabaran dan dedikasi harian daripada pesakit, serta boleh menyebabkan kerugian terhadap pesakit. Langkah-langkah tradisional perlu diteruskan sepanjang hayat supaya tetap berkesan.
Soalan kajian
Para profesional penjagaan kesihatan telah memeriksa kaedah alternatif untuk menguruskan limfedema selepas rawatan kanser payudara. Laporan ini mengkaji keberkesanan teknik pembedahan yang dijanakan untuk mencegah atau merawat keadaan ini.
Hasil kajian
Sebilangan teknik telah dicadangkan tetapi hanya tiga kajian yang diterbitan sebelum November 2017 yang memenuhi kriteria untuk dimasukkan dalam tinjauan kami. Dua kajian melihat kepada pencegahan limfedema dan satu kajian melihat kepada merawat limfedema. Secara keseluruhan, ketiga-tiga kajian ini melibatkan 131 individu.
Dua kajian memberi fokus pada teknik pembedahan anastomosis limfaticovenular (prosedur pencegahan) yang menggabungkan saluran limfa ke saluran darah dan menggunakan sistem peredaran darah untuk mengalirkan cecair yang berlebihan dari lengan. Mereka menunjukkan bahawa individu yang menjalani prosedur pembedahan ini mempunyai risiko yang kurang untuk mendapati limfedema (255 kes kurang dalam 1000 wanita untuk mendapati limfedema, di mana nilai sebenarnya mungkin antara 118 hingga 300 kes kurang dalam 1000 wanita untuk mendapati limfedema) berbanding dengan mereka yang tidak menjalani pembedahan. Kedua-dua kajian ini tidak memberikan data penting untuk hasil sekunder seperti hasil dilaporkan oleh pesakit, kemampuan untuk menghentikan intervensi selanjutnya untuk limfedema, komplikasi pembedahan, atau komplikasi jangka panjang.
Satu kajian menilai teknik pemindahan nod limfa vaskularis, yang memindahkan sekeping tisu mengandungi nod limfa dari pangkal paha atau perut ke ketiak pada anggota badan yang terkena limfedema. Penulis memerhatikan bahawa mereka yang menjalani prosedur ini mengalami penurunan pada:
- isi padu anggota badan: secara purata, wanita yang menjalani prosedur mengalami penurunan 39% isi padu anggota badan berbanding dengan mereka yang diberi rawatan standard sahaja;
- sakit: secara purata, wanita yang menjalani prosedur mendapat 4.16 mata lebih rendah dalam skala 10-mata (seperti 1 = tidak sakit, 10 = sangat sakit) berbanding dengan mereka yang diberi rawatan standard sahaja;
- sensasi berat: secara purata, wanita yang menjalani prosedur mendapat 4.27 mata lebih rendah dalam skala sensasi berat 10-mata (seperti 1 = tidak ada sensasi berat, 10 = sensasi berat yang sangat kuat) berbanding dengan mereka yang diberi rawatan standard sahaja; serta
- jangkitan: secara purata, wanita yang menjalani prosedur mendapat 1.22 jangkitan yang lebih rendah dalam setahun berbanding dengan mereka yang diberi rawatan standard sahaja.
Teknik pemindahan nod limfa vaskularisasi juga membantu dalam peningkatan fungsi yang bermaksud, secara purata, wanita yang menjalani prosedur mendapat 3.77 mata lebih baik pada skor fungsi keseluruhan (fungsi diukur dengan skala 10-mata di mana 1 = fungsi yang sangat baik, 10 = fungsi yang tidak baik) berbanding dengan mereka yang diberi rawatan standard sahaja. Kajian ini tidak memberikan data untuk hasil sekunder yang penting seperti kemampuan untuk berhentikan intervensi lebih lanjut untuk limfedema atau komplikasi jangka panjang.
Kepastian bukti
Kepastian bukti yang menyokong penggunaan anastomosis limfedema dalam pencegahan limfedema adalah rendah, yang hanya terdiri daripada dua kajian kecil dari satu pusat. Begitu juga, hanya satu pusat kajian yang menilai penggunaan pemindahan nod limfa vaskularisasi dan memberikan kepastian bukti yang sangat rendah secara keseluruhan untuk menyokong penggunaan prosedur dalam rawatan limfedema bahagian atas anggota badan.
Diterjemah oleh Lee Pei Yee (Hospital Selayang). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.