Mefloquine untuk mencegah jangkitan malaria pada wanita hamil

Apakah matlamat ulasan ini?

Tujuan ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui sama ada ubat antimalarial mefloquine adalah berkesan dan selamat untuk pencegahan malaria pada wanita hamil yang tinggal di kawasan penyebaraan yang stabil. Kami mendapati enam kajian yang berkaitan untuk membantu kami menjawab soalan ini.

Mesej-mesej utama

Ubat antimalarial mefloquine adalah berkesan untuk pencegahan malaria pada wanita hamil. Ubat ini didapati selamat dari segi hasil kehamilan yang buruk, seperti berat kelahiran yang rendah, pramatang, kelahiran mati dan pengguguran, dan malformasi kongenital. Walau bagaimanapun, ia lebih teruk diterima daripada ubat antimalarial yang lain.

Apa yang dikaji dalam ulasan ini?

Wanita hamil mudah terdedah kepada jangkitan malaria, terutama jika mereka hidup dengan HIV. Jangkitan malaria semasa kehamilan boleh mengakibatkan kesan yang teruk termasuk hasil kesihatan yang buruk untuk kedua-dua wanita dan anak-anak mereka. Atas sebab ini, di kawasan endemik yang menular yang stabil, wanita dianjurkan untuk mencegah jangkitan malaria dengan tidur di bawah kelambu dan mengambil ubat yang berkesan (seperti sulphadoxine-pyrimethamine atau cotrimoxazole dalam kes jangkitan HIV) sebagai kemoprevensi terhadap malaria sepanjang kehamilan.

Ulasan Cochrane ini melihat kesan mefloquine untuk pencegahan malaria di kalangan wanita hamil yang tidak dijangkit dengan HIV dan yang dijangkit dengan HIV.

Apakah keputusan utama ulasan?

Kami mendapati lima kajian yang berkaitan yang dijalankan di sub-Sahara Afrika dan satu di Thailand antara 1987 dan 2013. Kajian ini membandingkan mefloquine dengan plasebo atau ubat antimalarial yang kini disyorkan untuk pencegahan malaria pada wanita hamil. Ulasan menunjukkan perkara berikut:

• Berbanding dengan sulfadoxine-pyrimethamine, kemoprevensi mefloquine dalam wanita yang tidak dijangkiti HIV:

◦ mengurangkan risiko parasitemia periferal ibu (kehadiran parasit malaria dalam darah wanita) dan anemia semasa kelahiran;
◦ tiada perbezaan dalam kelaziman hasil ibu yang buruk (seperti berat lahir rendah, pramatang, kelahiran mati dan pengguguran, dan malformasi kongenital) dan dalam kejadian episod malaria klinikal semasa kehamilan; dan
◦ meningkatkan risiko kejadian buruk berkaitan dengan ubat termasuk muntah, keletihan/kelemahan, dan pening.

• Dibandingkan dengan profilaxis cotrimoxale sahaja, kemoprevensi mefloquine ditambah dengan cotrimoxazole dalam wanita yang dijangkiti HIV:

◦ mengurangkan risiko parasitemia periferal ibu semasa kelahiran dan risiko malaria di plasenta;
◦ tiada perbezaan dalam kelaziman hasil kehamilan yang buruk (seperti berat lahir rendah, pramatang, kelahiran mati dan pengguguran, dan malformasi kongenital) dan dalam kejadian episod malaria klinikal semasa kehamilan; dan
◦ meningkatkan risiko kejadian buruk berkaitan dengan ubat seperti muntah dan pening.

Secara keseluruhannya, kesan buruk yang berkaitan dengan mefloquine adalah penghalang yang penting untuk keberkesanan rawatan pencegahan malaria pada wanita hamil.

Adakah ulasan ini terkini?

Para penulis ulasan telah mencari kajian sehingga 31 Januari 2018.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Dr Teh Keng Hwang (Kolej Universiti Insaniah). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information