Intervensi untuk merawat sembelit semasa hamil

Apakah isunya?

Istilah ‘sembelit’ adalah ditakrifkan sebagai kesukaran untuk membuang najis dan pengurangan dalam kekerapan membuang najis. Ciri-ciri sembelit termasuklah ketidakselesaan, ketegangan yang berlebihan, najis yang keras atau berketulan, perasaan yang najis belum habis dibuangkan, dan tidak kerap membuang najis. Sembelit adalah salah satu gejala biasa yang dialami semasa hamil. Ini boleh berlaku atas gabungan beberapa faktor, termasuklah perubahan hormon semasa hamil yang mempengaruhi sistem penghadaman, pengurangan aktiviti fizikal, dan perubahan dalam tabiat pemakanan ketika hamil. Di samping itu, apabila bayi semakin membesar ia akan menekan pada usus ibu dan mengakibatkan kelewatan atau halangan terhadap penghadaman.

Mengapakah hal ini penting?

Sembelit semasa hamil adalah dikaitkan dengan kualiti hidup yang terjejas dan tekanan kepada wanita hamil serta masalah fizikal termasuklah, kadang-kala, buasir. Terdapat pelbagai rawatan yang dicadangkan dengan ubat-ubatan, suplemen atau perubahan pemakanan.

Secara amnya, intervensi tanpa penggunaan ubat (perubahan dalam diet, pengambilan air dan senaman) adalah disyorkan pada mulanya, diikuti dengan intervensi farmakologi jika intervensi tanpa penggunaan ubat gagal atau tidak mencukupi. Intervensi farmakologi termasuklah ubat-ubatan dari pelbagai kelas ubat iaitu pelincir, agen pembentuk isi, ubat julap osmotik, ubat julap rangsangan, pelembut najis, dan enema dan supositori.

Ulasan ini adalah mengenai manfaat intervensi menggunakan ubat dan bukan ubat dalam merawat sembelit semasa hamil dan sama ada ia adalah selamat untuk wanita dan bayi.

Apakah bukti yang kami temui?

Kami telah mengenal pasti empat kajian, tetapi hanya dua kajian (dengan sejumlah 180 wanita) yang menyediakan data untuk analisis. Kajian-kajian ini membandingkan ubat julap rangsangan dengan ubat julap pembentuk isi; dan juga membandingkan suplemen serat dalam diet dengan tiada intervensi. Kajian yang dimasukkan dinilai sebagai berkualiti sederhana.

Kami melihat pada dua perbandingan utama. Pada mulanya, kami mendapati bahawa ubat julap rangsangan mungkin lebih berkesan dalam memperbaiki keadaan sembelit berbanding dengan ubat julap pembentuk isi ( bukti berkualiti sederhana ) tetapi juga boleh menyebabkan ketidakselesaan abdomen ( bukti berkualiti rendah ) dan cirit-birit ( bukti berkualiti sederhana ) dan kami menemui tiada perbezaan dalam tahap kepuasan wanita ( bukti berkualiti sederhana ). Walau bagaimanapun, apabila kami mengeluarkan data berkaitan intervensi ubat Normax (dioktil sodium sulfosuksinat dan dihidroksi anthrakuinon), yang tidak lagi digunakan secara rutin dalam kehamilan, tidak ada lagi perbezaan yang jelas antara ubat julap perangsang dan pembentuk isi dari segi ketidakselesaan abdomen dan cirit-birit.

Perbandingan kedua, di antara pengambilan suplemen serat dan tiada intervensi, ditemui bahawa pengambilan suplemen serat lebih berkesan dalam meningkatkan kekerapan pembuangan najis ( bukti berkualiti sederhana ). Penggunaan suplemen serat dikaitkan dengan konsistensi najis yang lebih baik seperti yang dijelaskan oleh para pengkaji (najis keras berkurang sebanyak 11% hingga 14%, najis biasa meningkat sebanyak 5% hingga 10%, dan najis lembut meningkat sebanyak 0% hingga 6%).

Tiada kajian yang melihat pada jenis intervensi menggunakan yang lain seperti ubat julap osmotik, pelembut najis, ubat julap pelincir dan enema dan supositori.

Apakah maksudnya?

Bukti yang terhad ini, mencadangkan bahawa suplemen serat dalam diet boleh meningkatkan kekerapan membuang najis. Jika perlu memilih antara ubat julap rangsangan dan pembentuk isi, maka rangsangan boleh melegakan sembelit dengan lebih baik tetapi juga boleh menyebabkan lebih banyak ketidakselesaan dan cirit-birit.

Lebih banyak penyelidikan dalam bidang ini adalah diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Lai Pei Kuan (International Medical University). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information