Pemakanan berserat untuk mencegah penyakit kardiovaskular

Latar belakang

Penyakit kardiovaskular (CVD) adalah sekumpulan keadaan yang mempengaruhi jantung dan saluran darah. CVD merupakan beban global dan berbeza antara wilayah, variasi ini telah dikaitkan sebahagiannya kepada faktor pemakanan. Faktor sedemikian adalah penting kerana ia boleh diubah suai untuk membantu dalam pencegahan dan pengurusan CVD. Ulasan ini menilai keberkesanan peningkatan pengambilan serat sebagai suplemen atau dalam makanan dalam mengurangkan kematian kardiovaskular, kematian sebab lain, hasil akhir tidak membawa maut (seperti serangan jantung, strok dan sakit dada) serta faktor risiko CVD pada orang dewasa yang sihat dan orang dewasa yang berisiko tinggi untuk mendapat CVD.

Ciri-ciri kajian

Pengulas mencari pangkalan data saintifik untuk kajian rawak terkawal (kajian klinikal dengan orang diagihkan secara rawak kepada salah satu daripada dua atau lebih rawatan) yang melihat kepada kesan pengambilan serat makanan dalam kalangan orang dewasa yang sihat atau mereka yang berisiko tinggi untuk mengalami penyakit CVD. Pengulas tidak memasukkan orang yang sudah mempunyai CVD (seperti serangan jantung dan strok). Bukti adalah terkini sehingga Januari 2015.

Hasil-hasil utama kajian

Dua puluh tiga kajian memenuhi kriteria kemasukan kami. Semua kajian adalah jangka pendek dan oleh itu tidak dapat menyelidiki kesan pengambilan serat pada kejadian CVD. Semua kajian mengkaji kesan pengambilan serat terhadap paras lipid (lipid adalah bahan seperti lemak, termasuk kolesterol yang terdapat dalam darah), tekanan darah atau kedua-duanya. Gabungan keputusan kajian menunjukkan pengurangan yang bermanfaat dalam jumlah kolestrol dan kolestrol LDL (kadang-kadang dipanggil kolestrol 'buruk'), dan tekanan darah diastolik dengan peningkatan pengambilan serat. Tiada corak yang jelas untuk jenis serat yang digunakan (serat larut atau tidak larut) atau cara serat disediakan (melalui suplemen atau bahan makanan) tetapi terdapat sedikit kajian dalam setiap kumpulan jadi keputusan tidak pasti.

Risiko bias kajian yang disertakan

Secara keseluruhan, risiko bias adalah tidak jelas dengan beberapa kajian yang dianggap mempunyai risiko bias yang rendah (sehingga kurang peluang untuk mendapati kesimpulan yang salah disebabkan oleh pihak peserta atau penyelidik yang memihak), dan untuk beberapa kajian terdapat risiko bias yang tinggi untuk beberapa kriteria berkualiti. Keputusan ulasan ini perlu ditafsir dengan berhati-hati dengan mempertimbangkan perkara ini. Terdapat keperluan untuk pengajian rawak terkawal jangka panjang yang dikendalikan dengan baik untuk menentukan kesan pengambilan serat terhadap kejadian penyakit CVD dan untuk mengkaji kesan mengikut jenis serat dan cara peningkatan serat disediakan.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Kien How (Hospital Putrajaya). Disunting oleh Shaun Lee (Monash Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi wongkienhow@hotmail.com

Tools
Information