Isunya
Rawatan kanser serviks yang lebih besar dari 4 cm masih dianggap terbatas pada serviks (diklasifikasikan sebagai kanser serviks peringkat IB2) adalah kontroversi. Sebahagian daripada pegawai perubatan percaya bahawa kombinasi radioterapi (sinar tenaga tinggi) dan kemoterapi (ubat anti-kanser), yang dikenali sebagai kemoradioterapi atau kemoradiasi, lebih baik untuk tumor yang bersaiz lebih besar daripada 4 cm. Ini berdasarkan hujah bahawa kemungkinan kanser kembali setelah pembedahan adalah tinggi, oleh itu kebanyakan wanita memerlukan kemoterapi, walaupun mereka menjalani pembedahan pada awalnya. Malah pemikiran lain berpendapat bahawa tumor ini sangat besar sehingga tidak dapat bertindak balas dengan baik terhadap kemoradioterapi dan wanita dengan kanser serviks peringkat ini akan mendapat manfaat daripada pembedahan walaupun berisiko tinggi memerlukan kemoradioterapi selepas pembedahan. Walau bagaimanapun, terdapat kebimbangan mengenai keracunan dan komplikasi yang berkaitan dengan penggunaan kedua-dua pembedahan dan kemoradioterapi pada wanita dengan kanser serviks, kerana menerima kedua-dua rawatan boleh meningkatkan morbiditi. Oleh itu, banyak pusat rawatan telah memilih hanya menyediakan kemoradioterapi. Oleh kerana masih ada ketidakpastian mengenai rawatan (pembedahan atau kemoradioterapi) mana yang lebih baik bagi wanita dengan kanser serviks peringkat IB2, kami melakukan tinjauan sistematik ini untuk mencuba dan menjawab soalan ini.
Bagaimanakah kami menjalankan ulasan?
Kami mencari bukti yang membandingkan kemoradioterapi dengan pembedahan (histerektomi radikal jenis II atau III dengan limfadenektomi pelvis dua hala) dari 1946 hingga April 2018. Kami mencari kedua-dua percubaan rawak terkawal (di mana orang mengambil bahagian dibahagikan ke dalam kumpulan secara rawak) dan kajian bukan rawak (di mana kumpulan orang yang ditentukan (kohort) diikuti dari masa ke masa).
Apa yang kami temui
Kami hanya menemui satu kajian bukan rawak yang membandingkan pembedahan dengan kemoradioterapi, tetapi kajian ini menggabungkan data pada peringkat IB2 hingga IIA. Walaupun memenuhi kriteria kemasukan kajian, kami tidak dapat menganalisis data kerana kami tidak dapat mengekstrak data khusus untuk kanser serviks peringkat IB2, oleh itu kami menganggap penemuan kajian ini tidak pasti sehubungan dengan persoalan kajian kami.
Kesimpulan
Pada masa ini, tidak ada bukti kepastian tinggi untuk memberitahu kami mengenai pilihan rawatan semasa (kemoradioterapi atau pembedahan radikal) yang lebih baik untuk kanser serviks peringkat IB2. Wanita dengan kanser serviks peringkat IB2 harus diberi kaunseling tentang ketidakpastian ini dan kemungkinan berlakunya kesan-kesan sampingan, dan pilihan rawatan harus mempertimbangkan ketersediaan rawatan dalam sumber kesihatan tertentu serta pilihan pesakit.
Sebaik-baiknya, satu percubaan kajian multi-pusat yang besar diperlukan untuk menentukan mana antara dua rawatan ini yang lebih baik untuk merawat wanita dengan kanser serviks peringkat IB2. Namun, kerana jarangnya kanser peringkat IB2, dan risiko komplikasi akibat penggabungan pembedahan dan kemoradioterapi, pegawai perubatan mungkin meneruskan rawatan kebanyakan wanita dengan kemoradioterapi, serta percubaan di bidang ini mungkin tidak dapat dilaksanakan.
Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my