Kekerapan sedutan di dalam tiub yang digunakan untuk ventilasi bayi yang baru lahir

Soalan ulasan

Kami mengkaji bukti mengenai kesan strategi yang berbeza dalam kekerapan sedutan pada bayi baru lahir dengan ventilator. Kepentingan utama kami adalah pencegahan kerosakan paru-paru.

Latarbelakang

Bayi yang baru lahir mungkin memerlukan bantuan pernafasan kerana paru-paru mereka belum cukup matang. Satu kateter salur pernafasan (tiub) dimasukkan ke dalam mulut atau hidung untuk mengekalkan laluan udara (patensi) pada bayi baru lahir yang tidak dapat bernafas sendiri. Prosedur ini dipanggil intubasi endotrakeal. Sedutan tiub endotrakeal diperlukan untuk membersihkan cecair atau sekresi supaya mengekal patensi salur udara dan dengan itu, memastikan bayi menerima oksigen yang mencukupi. Matlamat sedutan intubasi endotrakeal adalah untuk mengeluarkan seberapa banyak sekresi yang boleh dengan kesan sampingan minimal yang berkait dengan prosedur ini. Walau bagaimanapun, sedutan menyebabkan stres (tekanan), kesakitan dan radang (bengkak) salur udara dalam bayi yang baru lahir. Kekerapan yang optimum untuk menyedutkan sekresi belum ditentukan. Sedutan di dalam tiub saluran udara mungkin dilakukan 'seperti yang dijadualkan' oleh pakar atau hanya 'bila diperlukan'. Selain itu, pendekatan 'seperti yang dijadualkan' mungkin lebih atau kurang kerap. Kami mengkaji bukti semasa, sehingga Oktober 2015, menyokong sama ada satu jadual atau yang lain.

Ciri-ciri kajian

Kami telah mencari pangkalan data perubatan untuk kajian klinikal yang membandingkan strategi yang berbeza mengenai kekerapan sedutan tiub endotracheal pada bayi baru lahir yang dipasangkan ventilator. Kami hanya mendapati satu kajian yang melibatkan 97 bayi baru lahir dengan berat badan di bawah 2.5 kg (mereka dikenali sebagai bayi berat lahir rendah). Sedutan dilakukan setiap enam atau 12 jam dalam hayat tiga hari pertama.

Keputusan utama

Tiada perbezaan yang penting pada masa bayi dipasangkan alat bantuan pernafasan, kejadian pneumothorax (keruntuhan paru-paru), keperluan untuk ventilasi atau oksigen melebihi 30 hari, pendarahan dalam otak dan kematian pada hayat satu bulan. Tambahan, kajian tersebut tidak melaporkan kesan sampingan.

Kualiti bukti

Kami hanya mengenal pasti satu kajian, yang dijalankan pada tahun 1987 dan 1988 dan mempunyai beberapa kekurangan. Kami tidak boleh memberi nasihat kepada kakitangan kesihatan dan ibu bapa tentang kekerapan optimum penyedutan tiub endotrakeal apabila bayi baru lahir diberi ventilasi.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Foo Sook Lee (Penang Medical College). Disunting oleh Tan May Loong (Penang Medical College). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi fslee@pmc.edu.my.

Tools
Information