Apakah faedah dan kemudaratan aktiviti fizikal untuk orang yang mengalami sindrom usus rengsa

Mesej utama

– Intervensi aktiviti fizikal antara enam dan 24 minggu boleh menambahbaik gejala pada orang yang mengalami sindrom usus rengsa tetapi buktinya adalah sangat tidak pasti.

– Mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara intervensi aktiviti fizikal dan penjagaan biasa untuk kualiti hidup dan kesakitan perut.

– Tiada bukti yang mencukupi untuk menilai kesan buruk yang berkaitan dengan intervensi aktiviti fizikal kerana kekurangan pelaporan bagi kajian yang dijalankan..

Apakah intervensi aktiviti fizikal?

Aktiviti fizikal ditakrifkan sebagai sebarang pergerakan badan yang dihasilkan oleh otot anda yang mengakibatkan penggunaan tenaga. Contoh aktiviti fizikal termasuk aktiviti yang dilakukan sebagai sebahagian daripada kehidupan seharian (kerja rumah, membeli-belah), aktiviti sukan dan rekreasi, dan aktiviti yang dilakukan sebagai sebahagian daripada kerja (contohnya perjalanan ke tempat kerja, kerja manual).

Senaman ialah subset kepada aktiviti fizikal yang terancang, berstruktur dan berulang, serta mempunyai matlamat untuk meningkatkan atau mengekalkan kecergasan secara keseluruhan. Regangan dan aktiviti untuk meningkatkan keseimbangan juga dianggap sebagai satu bentuk aktiviti fizikal dan senaman.

Jabatan Kesihatan dan Penjagaan Sosial UK pada masa ini mengesyorkan agar orang dewasa mengambil bahagian dalam sekurang-kurangnya 30 minit aktiviti fizikal harian sekurang-kurangnya lima hari seminggu.

Terdapat bukti kukuh bahawa intervensi aktiviti fizikal dan senaman adalah berkesan dalam membantu orang ramai mencegah dan menguruskan masalah kesihatan jangka panjang termasuk penyakit jantung koronari (penyempitan saluran darah yang membekalkan darah ke jantung), diabetes dan kemurungan. Sama ada aktiviti fizikal membantu orang yang didiagnosis dengan sindrom usus rengsa menguruskan gejala mereka adalah tidak jelas.

Apakah sindrom usus rengsa

Sindrom usus rengsa adalah gangguan usus biasa yang dicirikan oleh gejala yang merangkumi episod sakit perut, kembung perut dan perubahan dalam tabiat buang air besar. Kira-kira 10% hingga 20% orang dewasa di negara Barat didiagnosis dengan sindrom usus rengsa. Pengurusan sindrom usus rengsa tidak mengikut laluan yang jelas dan melibatkan pengurusan gejala secara individu termasuk julap untuk sembelit, ubat-ubatan untuk mencegah kekejangan usus untuk kesakitan, ubat-ubatan untuk melambatkan aktiviti usus untuk cirit-birit, perubahan diet, pengambilan cecair, pengurusan psikologi, antidepresan untuk mood yang rendah dan aktiviti fizikal.

Apakah yang pengulas ingin tahu?

Pengulas ingin mengetahui sama ada intervensi aktiviti fizikal menambahbaik gejala, kualiti hidup dan sakit perut pada orang dewasa yang didiagnosis dengan sindrom usus rengsa. Pengulas mencari semua kajian terkawal rawak yang tersedia untuk membantu menjawab persoalan ini. Kajian terkawal rawak ialah sejenis kajian yang peserta dibahagikan secara rawak kepada satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan. Ini adalah cara terbaik untuk memastikan perbandingan yang adil dibuat antara rawatan baharu dan yang sedia ada.

Apakah yang telah pengulas lakukan?

Pengulas mencari sembilan pangkalan data elektronik dan pendaftaran kajian untuk semua percubaan terkawal rawak yang melibatkan orang dewasa (18 tahun ke atas) yang didiagnosis dengan sindrom usus rengsa yang membandingkan intervensi aktiviti fizikal dengan tanpa intervensi aktiviti fizikal pada orang dewasa yang didiagnosis dengan sindrom usus rengsa. Pengulas membandingkan dan merumuskan keputusan kajian-kajian ini dan menilai keyakinan terhadap bukti keseluruhan, berdasarkan faktor seperti kaedah kajian dan jumlah maklumat yang penyelidik berikan.

Apakah yang telah pengulas temui?

Pengulas menemui 11 kajian terkawal rawak yang melibatkan 622 orang dengan sindrom usus rengsa. Kajian terbesar adalah ke atas 102 orang dan yang terkecil adalah 20 orang. Enam kajian telah dijalankan di negara berpendapatan tinggi di seluruh dunia dan dua telah dijalankan di negara berpendapatan rendah hingga sederhana. Satu kajian menyertakan orang yang mengalami sindrom usus rengsa yang sembelit adalah corak najis utama, dua menyertakan orang yang cirit-birit adalah corak najis utama dan lima menyertakan orang dengan corak najis bercampur.

Lima kajian menilai intervensi aktiviti fizikal yoga, tiga menilai nasihat untuk meningkatkan tahap aktiviti fizikal, dua menilai latihan sawat injak (treadmill), dan satu menilai intervensi Qigong (pernafasan dan pergerakan perlahan). Tujuh kajian melibatkan tempoh intervensi selama 12 minggu, dua melibatkan tempoh lapan minggu dan satu tempoh enam minggu. Kajian yang paling lama berlangsung selama enam bulan.

Hasil utama

Intervensi aktiviti fizikal boleh menambahbaik gejala IBS berbanding penjagaan biasa tetapi buktinya adalah sangat tidak pasti. Purata peningkatan dalam skor gejala adalah kira-kira 69 mata tetapi boleh setinggi 106 dan serendah 31 mata. Perubahan dalam skor gejala sebanyak 50 mata akan dianggap sebagai bermakna bagi kebanyakan orang. Penemuan ini mencadangkan intervensi aktiviti fizikal boleh memberikan kedua-dua penambahbaikan penting dan tidak penting dalam gejala IBS.

Intervensi aktiviti fizikal menghasilkan sedikit atau tiada perbezaan dalam kualiti hidup dan kesakitan perut.

Pengulas tidak dapat membuat sebarang kesimpulan tentang kesan tidak diingini yang dilaporkan oleh peserta kerana sangat sedikit percubaan yang melaporkannya.

Apakah batasan bukti tersebut?

Pengulas mempunyai sedikit keyakinan terhadap bukti. Keyakinan pengulas berkurangan terutamanya kerana kebimbangan tentang cara kajian dijalankan, termasuk banyak kajian tidak melaporkan semua keputusannya atau melaporkan yang baharu.

Sejauh manakah ulasan ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga 5 November 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Ahmad Filza Ismai (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information