Latar belakang
Epilepsi adalah penyakit yang dicirikan sebagai sawan yang pelbagai. Kebanyakan orang dapat mengawal epilepsi dengan satu ubat antiepileptik; namun, sebilangan orang memerlukan beberapa ubat antiepileptik. Orang-orang ini dikatakan mempunyai epilepsi kalis ubat. Brivaracetam adalah ubat antiepileptik yang boleh diambil bersama ubat antiepileptik lain untuk menguruskan epilepsi kalis ubat.
Matlamat ulasan
Tujuan kami adalah untuk mengenalpasti sama ada brivaracetam berkesan serta boleh diterima apabila digunakan sebagai rawatan tambahan untuk orang yang mempunyai epilepsi kalis ubat. Untuk kemas kini ini, kami tidak mengenal pasti sebarang kajian baharu untuk ditambah, oleh itu kesimpulan kekal tidak berubah.
Hasil kajian
Kami mengenal pasti enam kajian (2411 peserta) yang menyiasat brivaracetam sebagai rawatan tambahan untuk epilepsi kalis ubat. Peserta kajian berumur 16 hingga 80 tahun, dan kebanyakannya mempunyai epilepsi fokal (iaitu epilepsi yang berasal dari satu kawasan otak). Orang yang menerima brivaracetam sebagai ubat tambahan kepada ubat antiepileptik biasa mereka didapati hampir dua kali ganda akan mengalami penurunan frekuensi sawan dengan 50% atau lebih tinggi berbanding dengan orang yang diberi plasebo (satu ubat palsu dan tidak aktif yang tidak boleh mempengaruhi epilepsi). Orang yang menerima brivaracetam mempunyai enam kali ganda kemungkinan untuk mencapai kebebasan daripada semua jenis sawan berbanding dengan orang yang menerima plasebo. Orang yang menerima brivaracetam tidak lebih berkemungkinan untuk mengalami kesan sampingan berbanding orang yang menerima plasebo; namun, mereka lebih berkemungkinan menarik diri daripada kajian kerana kesan sampingan.
Kepastian bukti
Bukti tentang kebebasan daripada semua sawan mempunyai kepastian yang rendah malah bukti tentang pengurangan 50% atau lebih besar dalam kekerapan sawan adalah dengan kepastian sederhana. Ini bermaksud apabila brivaracetam digunakan sebagai rawatan tambahan untuk orang dewasa dengan epilepsi fokal kalis ubat, mereka mungkin lebih berkemungkinan bebas daripada semua jenis sawan berbanding orang yang diberi plasebo dan brivaracetam mungkin berkesan untuk mengurangkan kekerapan sawan. Bukti mengenai bahagian orang yang mengalami sebarang kesan sampingan adalah dengan kepastian sederhana jadi ia berkemungkinan tepat. Kami tidak menyiasat bilangan orang yang mengalami kejadian buruk individu. Ini harus disiasat dalam ulasan masa depan.
Bukti untuk ulasan ini diambil daripada percubaan rawak terkawal yang hanya mengkaji orang dewasa dan terutamanya mengkaji orang dengan epilepsi fokal kilas ubat, dan bukan dengan epilepsi umum.
Ulasan ini menunjukkan bahawa secara keseluruhan, brivaracetam adalah ubat yang agak boleh diterima dan berkesan untuk digunakan khususnya pada orang dewasa dengan epilepsi fokal kalis ubat. Semua peserta kajian ialah orang dewasa dan kebanyakannya mempunyai epilepsi fokal. Oleh itu, kami tidak pasti tentang keberkesanan brivaracetam pada kanak-kanak atau pada orang yang mempunyai jenis epilepsi lain, seperti epilepsi umum (iaitu epilepsi yang melibatkan seluruh otak).
Bukti terkini sehingga 7 September 2021.
Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Selayang). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.