Mengambil myo-inositol sebagai suplemen diet semasa hamil untuk mencegah diabetes semasa mengandung

Mesej utama

Wanita yang menghidap diabetes semasa mengandung mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami komplikasi semasa hamil dan bersalin, serta berisiko menghidap diabetes di kemudian hari. Bayi ibu yang menghidap diabetes semasa mengandung boleh menjadi lebih besar daripada saiz biasa dan mungkin tercedera semasa bersalin. Bayi ini juga berisiko menghidap diabetes, pada zaman kanak-kanak atau muda. Bilangan wanita yang didiagnos menghidap diabetes semasa hamil semakin ramai di seluruh dunia, jadi mencari cara yang mudah dan berkesan untuk menghalang wanita daripada menghidap keadaan ini adalah penting.

Myo-inositol adalah sejenis sebatian gula semulajadi dijumpai dalam bijirin, jagung, sayur-sayuran hijau, dan daging, yang berperanan dalam kepekaan badan terhadap insulin.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin tahu sama ada myo-inositol merupakan suplemen diet antenatal yang berkesan untuk mencegah diabetes semasa hamil pada wanita mengandung.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian yang membandingkan myo-inositol (diberikan bersendirian atau digabungkan dengan rawatan lain) dengan tanpa rawatan atau rawatan lain. Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian-kajian tersebut serta menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui tujuh kajian melibatkan 1319 orang wanita yang hamil 10 minggu hingga 24 minggu.

Keputusan utama

Kami kurang jelas sama ada suplemen myo-inositol dapat dikaitkan dengan pengurangan kadar berlakunya diabetes semasa mengandung. Walau bagaimanapun, myo-inositol mungkin berkait dalam penurunan penyakit darah tinggi semasa hamil. Kami kurang jelas sama ada suplemen myo-inositol dapat mengurangkan bilangan bayi yang dilahirkan besar untuk usia kehamilan.  

Kajian-kajian itu tidak melaporkan sebarang maklumat berkenaan bilangan bayi yang meninggal dunia (sama ada sebelum lahir atau tidak lama selepas itu), kemurungan, ataupun diabetes jenis 2 setelah bersalin. Tidak ada kesan buruk maternal untuk terapi ini dalam lima kajian yang melaporkan hasil ini; manakala dua kajian yang lain tidak menyebut hal ini.

Kami kurang jelas tentang kesan suplemen myo-inositol terhadap penambahan berat badan semasa hamil atau terhadap bayi dengan paras glukosa darah yang rendah. Ulasan ini tidak menemui impak pada hasil yang lain, seperti risiko menjalani pembedahan caesarean atau melahirkan bayi yang besar. Hal ini mungkin disebabkan oleh saiz kajian yang terlalu kecil untuk mengenalpasti perbezaan ketara untuk hasil ini dan hasil yang tidak dilaporkan oleh semua kajian. Namun, myo-inositol mungkin dikaitkan dengan pengurangan kadar kelahiran pramatang berbanding dengan kumpulan kawalan.

Kajian yang dimasukkan tidak melaporkan banyak hasil lain yang berkaitan dengan ibu dan bayi, dan mereka juga tidak menyediakan sebarang data yang berkaitan dengan kesan jangka panjang terhadap ibu atau bayi, atau kos terhadap perkhidmatan kesihatan.

Tidak ada bukti yang mencukupi untuk menyokong bahawa pemberian myo-inositol sebagai suplemen diet semasa hamil dapat mencegah diabetes semasa mengandung. Namun, myo-inositol boleh mencegah hipertensi (tekanan darah tinggi) semasa hamil dan mengurangkan risiko kelahiran pramatang. Kajian rawak terkawal yang lebih besar, dengan rekabentuk yang mantap adalah diperlukan untuk menilai keberkesanan myo-inositol dalam pencegahan diabetes semasa hamil dan menambahbaik hasil kesihatan yang lain untuk ibu dan bayi.

Apakah batasan bukti?

Kami kurang yakin terhadap bukti ini kerana bilangan kajian yang tidak mencukupi untuk memastikan keputusannya dan banyak hasil ulasan kami tidak dilaporkan dalam kajian-kajian yang kami temui. Kajian-kajian itu juga terhad pada populasi yang berpendapatan tinggi dan oleh itu keputusannya mungkin tidak terpakai pada populasi lain. Kajian-kajian itu juga mempunyai beberapa had tentang bagaimana mereka melaporkan kaedah. 

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti ini adalah terkini sehingga Disember 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information