Membandingkan pembedahan pembaikan hernia pangkal paha yang dibuat dengan atau tanpa jaringan

Soalan ulasan

Ulasan ini menilai perbezaan hasil di antara pembedahan pangkal peha dengan atau tanpa jaringan.

Latar belakang

Hernia ialah kantung dari organ melalui dinding badan yang biasanya membendung, dalam ulasan ini, kami merujuk kepada usus atau tisu lemak di sekitarnya yang membonjol melalui dinding abdomen di kawasan pangkal peha. Ini adalah masalah perubatan yang lazim, mempengaruhi 27 daripada setiap 100 lelaki. Hernia boleh mengakibatkan ketidakselesaan yang ketara dan kadangkala boleh tersepit dan menyekat bekalan darah (pencerutan), yang memerlukan pembedahan kecemasan. Rawatan kuratif untuk hernia memerlukan pembaikan surgikal, yang boleh ditutup dengan teknik sutur (pembaikan tanpa jaringan) atau dengan jaringan halus untuk mempromosi pertumbuhan tisu bagi memperkuat kawasan abdomen yang sebelumnya lemah (pembaikan jaringan). Pembaikan jaringan kini menjadi semakin popular di kebanyakan negara, terutamanya berkaitan dengan pembedahan laparoskopi (lubang kunci).

Tarikh carian

Kami mencari sebilangan pangkalan data untuk kajian-kajian; carian ini terakhir dikemaskini pada 9 Mei 2018.

Ciri-ciri kajian

Dalam kemaskini ulasan yang asalnya diterbitkan pada 2001, kami memasukkan sejumlah 25 kajian (dengan jumlah 6293 orang) yang dilaksanakan di beberapa negara. Pelbagai hasil dinilai, termasuk penyembuhan hernia selepas pembaikan asal (perulangan hernia), pelbagai komplikasi termasuk sakit, durasi pembedahan, inap di hospital dan masa sebelum dapat kembali kepada aktiviti normal.

Keputusan utama

Satu perulangan hernia dapat dicegah untuk setiap 46 pembaikan jaringan berbanding tanpa jaringan. Berbanding pembaikan tanpa jaringan, pembaikan jaringan lebih cenderung mengumpul cecair di sebelah luka pembedahan, tetapi kurang cenderung mengakibatkan kesukaran untuk kencing selepas operasi, atau kecederaan saraf, saluran darah atau organ lain. Sakit pasca bedah tidak dapat dibanding dengan jelas di antara kajian-kajian kerana perbezaan kaedah pengukuran dan jangka waktu, tetapi secara keseluruhan kajian-kajian menunjukkan peserta dengan pembaikan jaringan kurang mengalami sakit. Durasi operasi pembedahan adalah lebih pendek bagi pembaikan jaringan. Pesakit dengan pembaikan jaringan lebih cenderung untuk tempoh inap hospital yang lebih singkat dan purata masa pemulihan lebih pendek sebelum dapat kembali kepada aktiviti normal.

Kualiti bukti

Kajian-kajian yang disertakan dalam ulasan ini mengguna kaedah yang berkualiti tinggi, mempertimbang faktor-faktor yang berpotensi untuk mempengaruhi keputusan, dan menjawab hasil-hasil dengan jelas. Dalam penilaian kualiti bukti, kami menandakan beberapa hasil sebagai berkualiti 'sederhana', terutama kerana keputusan yang berbeza-beza.

Kesimpulan

Secara keseluruhan, pembaikan hernia dengan dan tanpa jaringan terbukti berkesan dalam rawatan hernia, walaupun penggunaan jaringan menunjukkan kurang perulangan hernia, durasi operasi lebih singkat dan dapat kembali kepada aktiviti normal lebih cepat. Pembaikan tanpa jaringan masih banyak diguna, kerapkali kerana kos dan kurangnya produk jaringan.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Fareez Zulfiqar Jumansa (Manipal University College Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information