Mengapakah ulasan ini penting?
Ramai orang mengalami kemurungan utama. Kemurungan utama adalah satu penyakit serius yang boleh menyebabkan distres yang signifikan kepada pesakit dan keluarga mereka. Kemurungan utama menjejaskan kerja dan perhubungan, tetapi juga boleh menjejaskan orang secara fizikal, contohnya mengubah tumpuan atau selera makan. Ubat-ubat antidepresan sedia ada tidak selalunya berkesan dalam merawat kemurungan utama dan mungkin juga mempunyai kesan-kesan sampingan yang tidak menyenangkan. Ulasan ini membandingkan antidepresan baru, vortioxetine, dengan plasebo (rawatan berpura-pura, contohnya tablet gula) dan antidepresan lain. Adalah diandaikan vortioxetine berfungsi berbeza dari antidepresan sedia ada dan adalah penting untuk mengetahui sama ada ia adalah satu rawatan berkesan dan berkemungkinan satu alternatif untuk rawatan sedia ada.
Siapakah yang akan berminat mengenai ulasan ini?
Orang yang terjejas oleh kemurungan utama dan keluarga mereka, pengamal perubatan am (GPs), pakar psikiatri dan ahli farmasi dan profesional lain yang bekerja dalam perkhidmatan kesihatan mental orang dewasa.
Apakah soalan-soalan yang ingin dijawab oleh ulasan ini?
Adakah vortioxetine lebih berkesan berbanding plasebo dalam merawat individu dengan satu episod kemurungan utama?
Adakah vortioxetine yang lebih atau kurang berkesan daripada rawatan antidepressant lain yang sedia ada?
Adakah lebih atau kurang orang kekal dalam rawatan apabila dirawat dengan vortioxetine berbanding plasebo atau antidepresan lain?
Adakah lebih atau kurang orang mempunyai kesan sampingan apabila dirawat dengan vortioxetine berbanding antidepresan lain?
Kajian mana yang telah dimasukkan dalam ulasan?
Pada May 2016, kami mencari pangkalan data perubatan elektronik untuk kajian-kajian yang membandingkan vortioxetine dengan plasebo atau antidepresan lain. Kami hanya sertakan kajian yang menggunakan reka bentuk rawak terkawal (di mana orang diletakkan secara rawak ke dalam salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) dan dewasa (umur melebihi 18 tahun) dengan diagnosis kemurungan utama. Kami sertakan 15 kajian, melibatkan 7746 peserta dalam ulasan ini.
Apakah yang diberitahu oleh bukti daripada ulasan ini?
Kualiti bukti adalah dari sangat rendah hingga sederhana, bergantung kepada hasil (apakah gejala atau kesan yang diukur) dan perbandingannya. Vortioxetine adalah lebih berkesan berbanding plasebo, tetapi tidaklah lebih berkesan daripada antidepresan yang lazim diguna. Kajian-kajian ini mendapati tiada perbezaan dalam orang yang menghentikan rawatan berbanding plasebo atau antidepresan lain. Vortioxetine hanya dibandingkan dengan satu jenis ubat(dipanggil SNRIs) dan tidak dibandingkan dengan antidepresan yang paling kerap dipreskripsi. Hasil-hasil berbeza-beza dengan ketara di antara kajian-kajian.
Apakah yang patut berlaku seterusnya?
Tiada kesimpulan kukuh boleh dibuat tentang vortioxetine. Vortioxetine adalah berkesan dalam merawat kemurungan utama akut, tetapi tidak menunjukkan kelebihan yang jelas berbanding sesetengah rawatan sedia ada. Kesimpulan juga sukar dibuat kerana kurangnya perbandingan bagi antidepresan yang paling kerap dipreskripsi (dipanggil SSRIs). Tambahan juga, adalah tidak jelas jika vortioxetine mempunyai kelebihan dalam kesan-kesan sampingan tertentu yang dikaitkan dengan antidepresan yang lazim dipreskripsi misalnya masalah seksual. Soalan-soalan ini perlu ditangani dalam kajian masa depan.
Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.