Memberi ubat antimalaria untuk mencegah malaria pada bayi

Apakah tujuan ulasan ini?

Ulasan Cochrane ini bertujuan untuk mengetahui sama ada pemberian rawatan dos berulang antimalaria kepada bayi yang hidup di Afrika sub-Sahara dapat mencegah penyakit malaria. Pengulas menemui dan menganalisis keputusan daripada 12 kajian yang berkaitan, yang dijalankan di antara tahun 1999 dan 2013, yang menumpukan persoalan ini ke atas bayi (ditakrifkan sebagai kanak-kanak berusia antara 1 hingga 12 bulan).

Mesej-mesej Utama

Rawatan pencegahan berselang dengan sulfadoxine-pyrimethamine (SP)

Pemberian SP sebagai rawatan pencegahan antimalaria kepada bayi mungkin dapat mengurangkan risiko malaria klinikal, anemia, dan kemasukan ke hospital, di negara-negara Afrika yang dikaji. Walau bagaimanapun, kesan ini melemah dalam kajian terkini.

Rawatan pencegahan berselang dengan terapi kombinasi berasaskan artemisinin (ACT)

Pemberian ACT sebagai rawatan pencegahan antimalarial kepada bayi boleh mengurangkan risiko malaria klinikal. Ia juga boleh mengurangkan kadar bayi yang mempunyai parasit malaria dalam darah mereka.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Di kawasan malaria adalah biasa, bayi sering mengalami episod penyakit malaria berulang. Di kawasan penularan malaria berlaku sepanjang tahun, beberapa pihak berkuasa mengesyorkan rawatan pencegahan berselang, yang memerlukan pemberian ubat pada selang yang biasa (pada lawatan vaksinasi anak) tanpa mengira sama ada kanak-kanak itu mempunyai gejala malaria atau tidak, untuk mencegah penyakit malaria.

Pengulas mengkaji kesan IPTi dengan SP dan ubat-ubatan lain (termasuk ACT) terhadap hasil yang berkaitan dengan malaria. Hasil tinjauan merangkumi malaria klinikal, malaria teruk, kematian, kemasukan ke hospital, parasitemia, anemia, perubahan tahap hemoglobin, dan kesan sampingan.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Pengulas menyertakan 12 kajian yang telah mendaftarkan 19.098 orang bayi. Semua kajian telah dilakukan di Afrika sub-Sahara (Gabon, Ghana, Kenya, Mali, Mozambique, Tanzania, dan Uganda). Kajian ini membandingkan bayi yang menerima IPTi dengan mereka yang menerima pil plasebo atau tidak menerima apa-apa. Bayi dalam kumpulan IPTi diberikan ubat yang berbeza, dalam dos yang berbeza, dan untuk jangka masa yang berbeza.

Sepuluh kajian terlibat dalam menilai IPTi dengan SP dari tahun 1999 hingga 2013. Kesan SP semakin berkurangan dari masa ke masa, dengan percubaan yang dijalankan selepas tahun 2009 menunjukkan kesan intervensi yang sedikit atau tiada langsung. Kajian menunjukkan bahawa pemberian IPTi dengan SP mungkin mengakibatkan episod malaria klinikal, anemia, kemasukan ke hospital, dan parasit darah tanpa gejala yang lebih rendah (bukti kepastian sederhana). Bagi risiko kematian, IPTi dengan SP mungkin menunjukkan sedikit atau tidak ada perbezaan (bukti kepastian sederhana).

Sejak 2009, beberapa kajian kecil IPTi telah menilai ubat-ubatan gabungan berasaskan artemisinin dan menunjukkan kesan terhadap malaria klinikal dan parasit darah. Kajian kecil terhadap IPTi dengan dihydroartemisinin-piperaquine pada tahun 2013 menunjukkan penurunan sebanyak 58% dalam episod malaria klinikal (bukti kepastian sederhana) dan penurunan kadar bayi yang mempunyai parasit dalam darah (bukti kepastian sederhana).

Adakah ulasan ini yang terkini?

Penulis-penulis ulasan telah mengenal pasti kajian-kajian yang telah diterbitkan sehingga 3 Disember 2018.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Faliq Adeeba Wan Ibrahim (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information