Ubat-ubatan yang manakah, diambil melalui mulut atau disuntik, paling sesuai untuk merawat keadaan kulit yang disebut psoriasis plak?

Mesej-mesej utama

- Setelah enam bulan menjalani rawatan, ubat-ubatan yang disebut 'biologics' berfungsi paling baik untuk membersihkan tompok-tompok psoriasis pada kulit.

- Kajian yang lebih lama diperlukan untuk menilai faedah dan potensi bahaya rawatan yang lebih lama dengan ubat-ubatan yang disuntik atau diminum untuk merawat psoriasis.

- Lebih banyak kajian diperlukan yang membandingkan jenis ubat ini secara langsung antara satu sama lain.

Apa itu psoriasis?

Psoriasis adalah keadaan imun yang mempengaruhi kulit, dan kadang-kadang, sendi. Psoriasis mempercepat penghasilan sel-sel kulit baru, yang terkumpul untuk membentuk tompok-tompok yang timbul pada kulit yang dikenal sebagai 'plak'. Plak juga boleh mengelupas, bersisik, gatal, dan kelihatan merah pada kulit putih, dan sebagai tompok yang lebih gelap pada warna kulit yang lebih gelap. Psoriasis plak adalah bentuk psoriasis yang paling biasa.

Bagaimana psoriasis dirawat?

Rawatan untuk psoriasis bergantung pada seberapa teruk gejala. Kira-kira 10% hingga 20% orang dengan psoriasis sederhana atau teruk perlu mengambil ubat-ubatan yang mempengaruhi sistem imun mereka, untuk membantu mengawal psoriasis. Ubat ini dipanggil rawatan sistemik, kerana ia mempengaruhi seluruh tubuh. Ini biasanya diambil melalui mulut (oral) atau disuntik.

Mengapa kami membuat Ulasan Cochrane ini?

Terdapat tiga jenis ubat sistemik untuk merawat psoriasis:

- 'biologics' – protein, seperti antibodi, yang menyasarkan interleukin dan sitokin (bahagian sistem imun yang mempengaruhi bagaimana sel bertindak);
- molekul kecil – sebatian organik yang mempengaruhi sel imun (contohnya merangkumi apremilast); dan
- ubat-ubatan bukan biologik – ubat-ubatan yang telah lama digunakan untuk merawat psoriasis, seperti methotrexate, ciclosporin, dan retinoid.

Kami ingin mengetahui tentang faedah dan kemungkinan bahaya mengambil ubat sistemik untuk merawat psoriasis, dan untuk melihat apakah beberapa ubat berfungsi lebih baik daripada yang lain.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami mencari kajian yang menguji ubat sistemik untuk merawat psoriasis plak.

Sejauh manakah ulasan ini terkini?

Kami sertakan bukti sehingga Oktober 2022.

Apakah yang telah kami dapati?

Kami menemui 179 kajian, termasuk 12 kajian baru, sejak pencarian terakhir kami (Oktober 2022). Kajian-kajian tersebut menguji 20 ubat yang berbeza, merangkumi 62,339 orang dewasa dengan psoriasis (usia purata 44.6 tahun) dan berlangsung dari dua hingga enam bulan. Dari 149 kajian yang melaporkan sumber pembiayaan mereka, sebuah syarikat farmaseutikal menyediakan dana untuk 138 kajian dan sepuluh dibiayai oleh organisasi bukan komersial atau institusi akademik.

Sebilangan besar kajian membandingkan ubat sistemik dengan plasebo (rawatan 'dummy' yang tidak mengandungi ubat tetapi kelihatan sama dengan ubat yang diuji). Mereka menggunakan skala pengukuran biasa yang disebut PASI (Kawasan Psoriasis dan Indeks Keparahan) untuk membandingkan seberapa baik setiap ubat membersihkan plak psoriasis dari kulit, mencari peningkatan 90% (disebut 'PASI 90'). Sebilangan kecil kajian melaporkan kesejahteraan peserta.

Kami membandingkan semua ubatan antara satu sama lain menggunakan kaedah matematik dipanggil meta-analisis rangkaian.

Apakah hasil utama ulasan ini?

Semua ubat yang diuji berfungsi lebih baik daripada plasebo untuk merawat psoriasis (diukur sebagai peningkatan 90% pada PASI).

Ubat biologik (yang mensasarkan interleukin 17, 23 dan 12/23, dan sitokin TNF-alpha) merawat psoriasis lebih baik daripada ubat bukan biologik.

Berbanding dengan plasebo, empat ubat biologik berfungsi paling baik untuk merawat psoriasis, dengan sedikit perbezaan antara mereka:

- infliximab (mensasarkan TNF-alpha);

- ixekizumab dan bimekizumab (sasaran interleukin-17); dan

- risankizumab (sasaran interleukin-23).

Kami tidak menemui perbezaan yang signifikan dalam jumlah kejadian yang tidak diingini yang serius untuk semua ubat sistemik yang diuji jika dibandingkan dengan plasebo. Walau bagaimanapun, kajian tidak melaporkan keputusan mengenai keselamatan secara konsisten, seperti kejadian tidak diingini yang serius. Oleh itu, kami tidak dapat membuat profil risiko ubat sistemik yang boleh dipercayai.

Batasan bukti

Kami yakin dengan keputusan kami untuk empat ubat biologi (infliximab, ixekizumab, bimekizumab dan risankizumab) yang paling berkesan untuk merawat psoriasis. Kami kurang yakin dengan keputusan kami untuk kejadian yang tidak diingini yang serius, kerana jumlah kejadian yang tidak diingini yang dilaporkan adalah rendah.

Kami juga kurang yakin dengan hasil ubat bukan biologik kerana bimbang tentang bagaimana beberapa kajian dijalankan. Kajian lanjut mungkin mengubah keputusan ini.

Kami tidak menemui banyak kajian untuk beberapa daripada 20 ubat yang dimasukkan dalam ulasan kami. Peserta kajian sering mengalami psoriasis yang teruk pada awal kajian, jadi hasil kami mungkin tidak berguna bagi orang yang psoriasisnya kurang parah. Penemuan kami hanya berkaitan dengan rawatan dengan ubat sistemik untuk tempoh maksimum enam bulan.

Nota editorial: Ini adalah ulasan sistematik berterusan. Ulasan sistematik berterusan menawarkan pendekatan baharu untuk mengulas kemaskini di mana ulasan dikemas kini secara berterusan, menggabungkan bukti relevan baharu apabila didapati. Sila rujuk kepada Pangkalan Data Ulasan Sistematik Cochrane untuk status semasa ulasan ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Syed Amirfaiz (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia). Dikemaskini. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information