Soalan sorotan
Sorotan ini dihasilkan untuk menilai sama ada menyejukkan mulut semasa rawatan kanser, menggunakan ais, air sejuk, ais krim atau permen ais membantu mencegah sakit mulut dan ulser dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa.
Latarbelakang
Mereka yang menerima rawatan kanser berisiko untuk mendapat sakit mulut dan ulser sebagai kesan sampingan. Kesan sampingan ini dipanggil mukositis oral dan melibatkan lebih 75% pesakit berisiko tinggi (mereka yang menerima radioterapi kepala dan leher atau kemoterapi dos tinggi).Sakit yang terhasil daripada keadaan ini boleh menjadi teruk dan mengganggu keupayaan untuk makan dan minum, dan mereka terpaksa mengambil ubat tahan sakit yang kuat, tinggal di hospital dan diberi makan melalui tiub ke perut ataupun ke dalam vena. Hal ini boleh mengganggu rawatan kanser yang bermaksud, mereka tidak dapat menerima rawatan yang terbaik.Keputusannya mungkin pengurangan peluang pesakit untuk hidup, dan peningkatan kos kepada sistem penjagaan kesihatan.Pesakit kanser mempunyai sistem imun yang lemah akibat rawatan, bermakna tubuh badan mereka kurang berupaya untuk melawan jangkitan.Hal ini menjadi masalah jika bakteria masuk ke dalam badan melalui ulser atau luka yang terdedah. Ia boleh membawa kepada sepsis (tindakbalas keradangan badan terhadap jangkitan yang berbahaya) yang memerlukan antibiotik dan kemasukan ke hospital, dan boleh membawa maut.
Krioterapi oral adalah penyejukan mulut menggunakan ais, air sejuk, ais krim dan permen ais.Ia dianggap dapat mengurangkan mukositis oral dalam kalangan orang yang menerima beberapa jenis kemoterapi kerana penyejukan itu membuat salur darah dalam mulut lebih sempit, dan ini mengurangkan jumlah darah yang mengandungi ubat kemoterapi daripada sampai ke mulut dan menyebabkan mukositis oral. Ia adalah rawatan semulajadi kos rendah tanpa kesan sampingan yang serius.
Ciri kajian
Penulis dari Kumpulan Kesihatan Oral Cochrane menjalankan sorotan kajian sedia ada dan bukti semasa ini adalah sehingga 17 Jun 2015. Ia melibatkan 14 kajian yang diterbitkan dari 1991 hingga 2015 yang melibatkan 1316 peserta secara rawak (1280 orang dimasukkan dalam analisa) untuk menerima krioterapi oral dan penjagaan piawai (kumur mulut masin) atau tiada rawatan atau rawatan lain atau kaedah lain krioterapi oral, dan bilangan yang mengalami pelbagai tahap mukositis oral dibandingkan. Hampir semua bukti melibatkan orang dewasa yang menerima krioterapi berbanding penjagaan piawai atau tiada rawatan.Bukti terkumpul kepada dua kumpulan utama:1) orang dewasa yang menerima rawatan berasaskan fluorouracil (5FU) untuk kanser pejal; atau 2) orang dewasa yang menerima rawatan kanser dos tinggi berasaskan melphalan sebelum pemindahan stem sel hematopoitik (HSCT).HSCT diberi untuk membantu badan menghasilkan semua jenis sel darah yang termusnah semasa rawatan kanser.
Keputusan utama
Terdapat bukti yang menunjukkan krioterapi oral dapat mengurangkan bilangan orang dewasa yang mengalami mukositis oral selepas menerima rawatan berasaskan 5FU untuk kanser pejal. Terdapat bukti yang kurang pasti untuk mencadangkan krioterapi oral boleh mengurangkan bilangan orang dewasa yang menerima rawatan kanser dos tinggi berasaskan melphalan sebelum HSCT.Bukti menunjukkan ia dapat mengurangkan mukositis oral dalam kalangan orang dewasa tetapi saiz pengurangan adalah kurang pasti.Namun, terdapat bukti lebih kukuh tentang pengurangan mukositis oral yang teruk dalam kalangan orang dewasa.
Krioterapi oral tidak menyebabkan kesan sampingan yang serius dalam kalangan peserta kajian, dan kebanyakan peserta boleh melakukannya dengan sempurna.
Kualiti bukti
Bukti yang ditunjukkan sama ada hasil utama orang ramai mengalami mukositis oral pelbagai tahap adalah berkualiti rendah ke sederhana (kerana rawatan krioterapi oral tidak membolehkan kajian 'blinded' yang merupakan ciri kajian yang penting, tambahan pula keputusan kajian individu terlalu berbeza untuk menghasilkan keputusan yang jitu apabila kajian-kajian dikumpulkan)
Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail ( Kolej Perubatan Melaka-Manipal ). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my. Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan suntingan ini sila hubungi hayatikk@usm.my