Soalan ulasan
Apakah manfaat dan kemudaratan teknik yang berbeza untuk memasang mesh (tampalan) di dinding perut semasa pembaikan hernia ventral.
Latar belakang
Hernia adalah benjolan atau kelemahan, di mana tisu atau organ dari dalam perut boleh terperangkap, dan boleh menyebabkan ketidakselesaan dan gejala seperti kesakitan. Saiz hernia boleh bertambah buruk dengan aktiviti kehidupan seharian, terutamanya batuk dan ketegangan. Hernia membawa risiko ditahan (hernia terencat sehingga tidak dapat dikembalikan dengan manipulasi) dan pencekikan (ketika peredaran darah terputus), yang merupakan ancaman terutama pada hernia insisional dan umbilikal (kawasan pusat). Hernia insisional adalah hernia yang terjadi melalui hirisan yang pernah dibuat sebelumnya di dinding perut, iaitu parut yang ditinggalkan dari pembedahan sebelumnya. Hirisan itu mungkin dibuat untuk mencapai organ dalaman seperti apendiks, atau semasa melakukan pemotongan caesar.
Pembaikan hernia ventral (dinding perut) dilakukan dengan pembedahan. Pemilihan prosedur pembedahan yang tepat bergantung pada kriteria yang berbeza, seperti ukuran hernia, pembedahan sebelumnya, lokasi hernia dan kesihatan umum. Terdapat dua jenis pembedahan: Pembedahan terbuka, di mana hernia ditutup dengan menjahit lapisan dinding perut. Sering kali, pakar bedah meletakkan mesh tambahan pada lapisan dinding perut, yang membuat kemunculan semula hernia adalah kurang mungkin. Jenis yang satu lagi adalah pembedahan laparoskopi, di mana pakar bedah membuat beberapa hirisan kecil dan memasukkan instrumen panjang yang kecil dan kamera ke dalam perut. Untuk pembaikan laparoskopi hernia, mesh harus digunakan untuk setiap pesakit.
Teknik yang berbeza digunakan untuk memasang mesh ke dinding perut dalam pembaikan hernia ventral. Namun, kelebihan dan kekurangan teknik ini adalah belum jelas. Kami mengulas bukti teknik fiksasi yang berbeza untuk kesannya terhadap kemunculan semula, kesakitan, komplikasi dan kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan pada orang dengan hernia ventral.
Tarikh carian
Bukti adalah terkini sehingga 2 Oktober 2020.
Ciri-ciri kajian
Kami menyertakan 10 kajian yang melibatkan 787 orang, dengan usia antara 31 hingga 62 tahun. Lapan kajian melibatkan pesakit dengan hernia ventral primer dan insisional, satu kajian melibatkan pesakit dengan hernia umbilikal (pusat) sahaja, dan satu lagi kajian dengan hernia insisional sahaja. Saiz hernia berbeza mengikut kajian. Jumlah pesakit dalam setiap kajian adalah dari 40 hingga 199. Tempoh susulan pesakit kebanyakannya pendek (kurang dari 12 bulan).
Hasil utama
Perbezaan antara teknik fiksasi adalah kecil untuk hasil analisis kami. Kami tidak menemui perbezaan antara penggunaan tacks berbanding jahitan, penggunaan tacks yang boleh diserap berbanding tacks yang tidak boleh diserap, penggunaan tacks yang boleh diserap berbanding jahitan yang dapat diserap dan penggunaan sealant fibrin berbanding tacks. Di samping itu, gabungan teknik fiksasi (jahitan dan tacks) atau bahan (boleh diserap dan tidak boleh diserap) tidak menunjukkan kelebihan untuk kemunculan semula, kesakitan atau komplikasi lain.
Kepastian bukti
Kepastian bukti untuk hasil utama iaitu kemunculan semula dan kesakitan, serta untuk komplikasi, adalah sangat rendah atau rendah. Sebab utama untuk ini adalah kekurangan data yang mencukupi, disebabkan sedikit peserta yang dimasukkan, dan sedikit hernia yang muncul semula. Tambahan pula, hampir kesemua kajian adalah berisiko bias yang sederhana hingga tinggi, kerana profesional penjagaan kesihatan yang terlibat tidak butakan, iaitu menyedari intervensi yang diterima pesakit mereka.
Dierjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my