Soalan ulasan
Adakah suplemen vitamin D bermanfaat atau membahayakan orang dewasa yang mempunyai penyakit hati kronik?
Latar belakang
Bukti yang sedia ada pada vitamin D dan penyakit hati kronik pada orang dewasa tidak dapat dibuat kesimpulan. Tujuan ulasan sistematik ini (ringkasan keputusan kajian penjagaan kesihatan yang ada) adalah untuk menganalisis manfaat dan bahaya dari pelbagai bentuk vitamin D pada orang yang mempunyai penyakit hati kronik.
Ciri-ciri kajian
Dua puluh tujuh kajian dengan 1979 orang dewasa yang memberikan data untuk ulasan ini. Kemas kini ulasan ini menambahkan 12 kajian dengan 945 peserta. Peserta dalam 1979 kajian secara rawak diberikan vitamin D berbanding dengan plasebo atau tiada rawatan. Sebelas kajian dijalankan di negara berpendapatan tinggi, dan 16 kajian di negara berpendapatan sederhana. Julat umur peserta adalah 28 tahun hingga 61 tahun dan purata 44% adalah wanita. Sepuluh kajian termasuk orang yang menghidap hepatitis C kronik, lima kajian termasuk orang yang mengalami sirosis hati, 11 kajian termasuk orang yang mempunyai penyakit hati berlemak bukan alkohol, dan satu kajian termasuk penerima pemindahan hati. Tiada kajian termasuk orang yang menghidap hepatitis B kronik atau penyakit hati yang diwarisi. Semua kajian yang dimasukkan melaporkan status vitamin D dari para peserta. Pemberian Vitamin D berlangsung selama enam bulan dan kebanyakan kajian menggunakan bentuk cholecalciferol (vitamin D3).
Pembiayaan
Empat belas kajian nampaknya bebas daripada kepentingan peribadi yang boleh berat sebelah keputusan kajian. Sebelas kajian mungkin tidak bebas daripada kecenderungan untuk keuntungan kerana mereka tidak memberikan sebarang maklumat mengenai sokongan kajian klinikal atau penajaan. Dua kajian telah dibiayai oleh industri. Kami mendapati tiada perbezaan antara kajian tanpa sokongan industri berbanding kajian yang berisiko mendapat sokongan industri dalam analisis kami.
Keputusan utama
Tiada bukti yang mencukupi untuk menentukan sama ada vitamin D mempunyai kesan yang bermanfaat atau berbahaya, atau mempunyai sedikit atau tiada kesan ke atas penyakit hati kronik pada orang dewasa. Terdapat terlalu sedikit peserta dalam kajian individu serta dalam sintesis bukti kami. Kajian itu berisiko tinggi berat sebelah jadi kami kekurangan penilaian yang adil tentang faedah dan kemudaratan vitamin D dalam populasi ini. Manfaat mahupun kemudaratan suplemen vitamin D pada orang yang mempunyai penyakit hati kronik tidak boleh dikecualikan. Tiada kajian tyang melibatkan orang yang menghidap hepatitis B kronik dan penyakit hati yang diwarisi.
Kualiti bukti
Kami menilai semua kajian berisiko tinggi berat sebelah (iaitu anggaran yang terlalu rendah atau terlalu tinggi terhadap kesan intervensi yang sebenar). Kepastian bukti adalah sangat rendah.
Bukti terkini
Bukti adalah terkini sehingga November 2020.
Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.