Respon plasebo dan kadar remisi dalam kajian rawak terapi induksi dan pengekalan untuk kolitis ulseratif

Apakah itu kolitis ulseratif?

Kolitis ulseratif (UC) adalah penyakit keradangan usus berulang kronik yang biasanya mempengaruhi usus besar (kolon). Gejala-gejala termasuk sakit perut, desakan untuk buang air besar, cirit-birit berdarah, penurunan berat badan dan lesu. Apabila gejala-gejala berhenti pesakit dianggap dalam remisi. Kajian klinikal untuk UC biasanya direka untuk menilai sama ada rawatan ubat membawa respon klinikal (penambahbaikan gejala penyakit) atau remisi (biasanya diukur dalam tempoh lapan minggu rawatan) atau membantu untuk mengekalkan respon atau remisi klinikal dalam tempoh yang lebih lama (biasanya diukur selepas satu tahun rawatan).

Apakah kesan plasebo?

Kesan plasebo berlaku apabila pesakit mengalami penambahbaikan sebenar atau tanggapan penambahbaikan kesihatan selepas menerima rawatan "dummy" (tidak aktif). Faktor-faktor yang mempengaruhinya tidak difahami sepenuhnya tetapi mungkin disebabkan oleh kesan psikologi menerima rawatan, dan bukannya rawatan itu sendiri. Memahami saiz kesan plasebo dan faktor-faktor yang mempengaruhinya adalah penting, kerana kadar respon plasebo diguna untuk mengira bilangan pesakit yang diperlukan semasa merancang kajian klinikal rawatan ubat baru. Secara ideal, apabila merancang kajian klinikal penyelidik berhasrat meminimumkan saiz kesan plasebo untuk mengesan perbezaan sebenar antara ubat aktif dan rawatan "dummy" dengan bilangan pesakit yang minimum. Ini bermakna kajian klinikal, yang mahal untuk dilaksanakan, boleh direka dengan kurang bilangan pesakit, lebih cekap, kos lebih rendah dan akhirnya membawa ubat baru kepada pesakit dengan lebih cepat.

Apakah yang disiasat oleh penyelidik?

Para penyelidik telah mengulas kajian rawak terkawal plasebo UC beberapa kelas ubat yang telah diterbitkan untuk menyatakan kuantiti kadar respon plasebo keseluruhan, dan bagaimana kadar respon ini berubah mengikut masa. Mereka juga menyiasat bagaimana faktor yang berkaitan dengan reka bentuk kajian, peserta, rawatan atau hasil mempengaruhi kadar plasebo dalam kajian UC. Kesusasteraan perubatan telah dicari dan dianalisis sehingga 1 Mac 2017.

Apakah yang ditemui oleh para penyelidik?

Enam puluh satu kajian dimasukkan yang menilai 58 fasa induksi (5111 pesakit yang dirawak untuk plasebo) dan 12 fasa pengekalan (1579 pesakit dirawak kepada plasebo). Para penyelidik mendapati bahawa respon plasebo dan kadar remisi berbeza-beza mengikut kelas ubat yang diuji dengan kadar respon plasebo tertinggi bagi ubat-ubatan biologikal (ubat-ubatan kejuruteraan genetik yang diperbuat daripada organisme hidup). Kadar remisi plasebo tertinggi dilihat bagi kajian yang menilai aminosalicylates (sejenis ubat anti-radang). Respon plasebo dan kadar remisi paling rendah dilihat dalam kajian yang menilai kortikosteroid (ubat-ubatan yang menyekat keradangan dan imuniti). Keperluan skor perdarahan rektum minimum untuk kelayakan kajian dikaitkan dengan peningkatan kadar respon plasebo berbanding kajian yang tidak menggunakan pendarahan rektum untuk kelayakan kajian. Titik masa penilaian hasil utama didapati secara ketara berkait dengan kadar remisi plasebo di mana kenaikan setiap satu minggu dalam penilaian titik akhir dikaitkan dengan peningkatan kadar remisi plasebo. Terdapat beberapa ciri reka bentuk kajian yang dikaitkan dengan respon plasebo dan kadar remisi yang lebih rendah. Penemuan utama adalah kajian yang mendaftarkan pesakit dengan penyakit endoskopi yang lebih teruk (iaitu keradangan kolon yang disahkan dengan kolonoskopi) pada kemasukkan kajian dikaitkan dengan respon plasebo dan kadar remisi yang lebih rendah, yang menguatkan kepentingan objektif memastikan pesakit yang didaftar dalam kajian UC mempunyai keterukan penyakit yang cukup. Tempoh penyakit lebih daripada lima tahun sebelum enrolmen kajian dikaitkan dengan kadar respon plasebo yang jauh lebih rendah berbanding dengan tempoh penyakit yang kurang daripada atau selama lima tahun. Para penyelidik juga mendapati kadar plasebo kekal stabil dari tahun 2008 hingga 2015.

Kesimpulannya, kadar respon plasebo dan remisi berbeza-beza mengikut skor perdarahan rektum dan keterukan penyakit endoskopik pada kemasukan kajian, kelas ubat, tempoh penyakit, dan titik masa di mana hasil utama diukur. Penemuan keseluruhan akan membantu penyelidik yang menjalankan kajian untuk mereka bentuk kajian mereka, menentukan bilangan pesakit yang diperlukan untuk kajian yang dirancang dan juga menyediakan maklumat berguna tentang ciri-ciri reka bentuk kajian yang perlu dipertimbangkan ketika merancang kajian baru.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.

Tools
Information