Memakan kacang untuk mencegah penyakit kardiovaskular

Soalan ulasan

Ulasan Cochrane ini bertujuan untuk menjawab soalan sama ada memakan kacang atau tidak, boleh mencegah penyakit kardiovaskular.

Latar belakang

Penyakit kardiovaskular adalah sekumpulan keadaan yang mempengaruhi jantung dan saluran darah. Ia adalah punca utama kematian di seluruh dunia. Makanan yang kita makan mungkin boleh mempengaruhi risiko mendapat penyakit kardiovaskular. Kacang, jika dimakan secara regular dan pada dos yang tinggi (50 g hingga 100 g), dipercayai mengurangkan jumlah kolesterol dan kolesterol lipoprotein berketumpatan rendah (LDL) (kolesterol tidak baik).

Ciri-ciri kajian

Ulasan ini memasukkan kajian rawak terkawal yang berlanjutan selama sekurang-kurangnya 12 minggu. Peserta berumur di antara 37 hingga 54 tahun secara purata. Bukti adalah terkini sehingga 30 Julai 2015.

Keputusan utama

Kami memasukkan lima kajian (435 peserta), salah satu daripadanya mempunyai dua lengan rawatan. Kesemua lima kajian menyiasat kesan memakan kacang. Tiada kajian yang ditemui menyiasat kesan memberi nasihat untuk makan lebih banyak kacang. Tiada kajian yanng melaporkan kematian atau peristiwa kardiovaskular. Tiada keputusan yang menunjukkan kesan jelas terhadap tahap jumlah kolesterol dan tekanan darah. Satu kajian melaporkan satu kes reaksi alahan kepada kacang. Tiga kajian melaporkan tiada peningkatan berat yang ketara dengan peningkatan pengambilan kacang. Tiada peristiwa buruk dilaporkan.

Kualiti bukti

Semua kajian yang dimasukkan adalah kecil, dengan 60 hingga 100 peserta, dan mempunyai tahap variasi yang tinggi (keheterogenan) Oleh itu keputusan harus ditafsirkan dengan berhati-hati. Secara keseluruhan kami menganggap kajian-kajian yang dimasukkan sebagai berisiko bias yang tidak jelas.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my

Tools
Information