Ubat penghalau nyamuk untuk pencegahan malaria

Apakah matlamat ulasan ini?

Matlamat ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui sama ada ubat penghalau nyamuk — ubat penghalau topikal (digunakan pada kulit); pakaian yang dirawat dengan racun serangga; atau ubat penghalau ruang seperti lingkaran ubat nyamuk — boleh mencegah malaria. Kami mengumpul dan menganalisa keputusan semua kajian yang berkaitan untuk menjawab soalan ini dan menemui data daripada sepuluh kajian: enam pada ubat penghalau topikal, dua pada pakaian yang dirawat dengan racun serangga, dan dua pada ubat penghalau ruang.

Mesej utama

Kita tidak tahu sama ada penggunaan losyen ubat penghalau atau pembakaran lingkaran ubat nyamuk boleh memberikan perlindungan daripada malaria untuk masyarakat yang tinggal di kawasan endemik. Dalam situasi di mana kelambu yang dirawat dengan racun serangga tahan lama (long-lasting insecticide-treated bed nets, LLIN) tidak boleh diagihkan, seperti selepas bencana alam atau di kalangan populasi yang berpindah, penggunaan pakaian yang dirawat dengan racun serangga boleh mengurangkan risiko jangkitan malaria sebanyak 50%. Kebanyakan kajian yang dimasukkan dalam analisa kami merupakan kajian yang lemah dan mempunyai risiko bias yang tinggi. Untuk membuat kesimpulan yang bermaklumat, kajian berkualiti tinggi yang lebih lanjut mesti dijalankan untuk meningkatkan kepastian bukti. Walau bagaimanapun, menjadi persoalan sama ada ubat penghalau topikal boleh digunakan untuk pencegahan malaria dalam populasi umum kerana pematuhan harian peserta dan cara penyeragaman kajian yang lemah (jumlah ubat penghalau yang digunakan, luas permukaan yang digunakan, masa penggunaan dan tempoh antara penggunaan berulang) adalah batasan utama intervensi ini.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini

Ubat penghalau nyamuk memberikan perlindungan daripada gigitan nyamuk. Terdapat tiga jenis ubat penghalau yang berbeza: ubat penghalau topikal, yang boleh digunakan pada kulit; pakaian yang dirawat dengan racun serangga, melalui penepuan pakaian dengan sebatian ubat penghalau; dan ubat penghalau ruang, seperti lingkaran ubat nyamuk. Malaria telah berkurangan di banyak negara kerana orang ramai telah diberikan LLIN yang sangat berkesan. Walau bagaimanapun, orang ramai masih digigit sebelum mereka masuk tidur. Terdapat keperluan untuk mencari cara yang menawarkan perlindungan daripada malaria pada waktu-waktu ini. Ubat penghalau nyamuk boleh mengatasi jurang ini.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Sebanyak enam kajian menyiasat penggunaan ubat penghalau topikal untuk pencegahan malaria. Kajian-kajian dijalankan di pelbagai kawasan endemik malaria di seluruh Amerika Selatan, Asia, dan Afrika sub-Sahara. Ubat penghalau topikal yang diuji termasuk losyen, sabun yang dirawat dan kosmetik tempatan. Kami menganalisa kajian dalam kumpulan-kumpulan yang mengikut kemasukan LLIN. Kebanyakan kajian mengagihkan LLIN kepada penduduk dan menyiasat ubat penghalau topikal sebagai intervensi iringan kepada kelambu yang dirawat. Reka bentuk yang lemah bagi kajian yang disertakan memberikan bukti kepastian yang rendah hingga sangat rendah, lalu kami tidak mengetahui sama ada terdapat manfaat dalam penggunaan ubat penghalau topikal sebagai tambahan kepada LLIN untuk mencegah malaria. Pematuhan peserta untuk bersetuju menggunakan ubat penghalau setiap hari tetap menjadi cabaran untuk penyelidikan lanjut.

Pakaian yang dirawat dengan racun serangga telah disiasat dalam dua kajian yang dijalankan di kalangan pelarian di Pakistan dan tentera yang ditempatkan di Amazon; kedua-dua kajian tidak mengagihkan atau melaporkan penggunaan kelambu. Dengan ketiadaan LLIN, terdapat beberapa bukti bahawa pakaian yang dirawat dengan racun serangga boleh mengurangkan risiko jangkitan malaria sebanyak 50%. Memandangkan penemuan itu berkait dengan populasi khusus yang hidup dalam keadaan yang teruk, adalah tidak jelas sama ada keputusan boleh diaplikasikan kepada populasi umum. Kajian lanjut yang melibatkan penduduk awam patut dijalankan untuk meningkatkan kepastian penemuan ini.

Dua kajian menyiasat amalan membakar lingkaran ubat nyamuk untuk mengurangkan jangkitan malaria. Satu kajian dijalankan di China dan satu lagi di Indonesia. Reka bentuk kajian sangat ketara berbeza dan satu kajian mempunyai risiko bias yang tinggi yang membawa kepada bukti yang berkepastian sangat rendah. Kami tidak mengetahui sama ada lingkaran ubat nyamuk menawarkan perlindungan terhadap malaria. Penemuan tersebut menunjukkan keperluan untuk penyelidikan lanjut.

Sejauh manakah ulasan ini terkini?

Penulis ulasan mencari kajian yang telah diterbitkan setakat 26 Jun 2017.

Nota terjemahan: 

Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my. Diterjemah oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia.

Tools
Information