Soalan ulasan
Kami mengulas faedah dan kemudaratan sokongan pemakanan yang diberikan kepada orang dewasa di hospital yang berisiko kekurangan zat makanan berdasarkan kaedah yang berbeza, daripada yang disahkan secara rasmi kepada 'mengikut pendapat' penyiasat percubaan.
Latar belakang
Orang yang kekurangan zat makanan apabila mereka dimasukkan ke hospital mungkin berisiko tinggi untuk kematian atau lebih berkemungkinan mengalami komplikasi serus. Pemberian sokongan pemakanan mungkin membantu mereka, walaupun kekurangan zat makanan mungkin dikaitkan dengan penyakit asas yang teruk. Dalam kes ini, intervensi khusus yang bertujuan untuk meningkatkan status pemakanan mereka tidak akan membantu, kerana status pemakanan yang lemah itu sendiri yang menyebabkan peningkatan risiko kematian atau mengalami kemudaratan yang serius.
Tarikh-tarikh carian
Februari 2016.
Ciri-ciri kajian
Kami menyertakan 244 kajian, melibatkan 28,619 peserta. Kajian yang disertakan menilai kesan pelbagai jenis sokongan pemakanan (iaitu nasihat pemakanan, memperkayakan makanan biasa dengan protein dan kalori tambahan, protein shake, pemakanan melalui kateter terus ke dalam vena atau melalui tiub terus ke dalam perut atau usus). Sokongan pemakanan diberikan kepada orang dalam kajian yang menghidap pelbagai jenis penyakit dan menjalani prosedur yang berbeza. Apa yang mereka semua mempunyai persamaan ialah mereka berisiko dengan sekurang-kurangnya untuk satu ukuran, termasuk pendapat klinikal penyelidik.
Hasil utama
Kami tidak menemui bukti perbezaan antara sokongan pemakanan dan kawalan untuk risiko kematian. Kami mendapati bahawa 8.3% orang mati pada susulan jangka pendek dalam kumpulan kawalan berbanding dengan 7.8% pada mereka yang telah diberi sokongan pemakanan (kualiti bukti yang rendah). Pada titik susulan yang paling lama 13.2% orang dalam kumpulan kawalan meninggal dunia berbanding dengan 12.2% pada mereka yang telah diberi sokongan pemakanan (kualiti bukti yang rendah). Kami tidak menemui bukti perbezaan antara sokongan pemakanan dan kawalan untuk risiko komplikasi serius dalam jangka pendek. Orang dalam kumpulan kawalan mempunyai kadar komplikasi yang serius sebanyak 9.9% pada susulan jangka pendek berbanding dengan 9.2% dengan pemakanan (kualiti bukti yang rendah). Pada susulan jangka panjang 15.2% orang dalam kumpulan kawalan mempunyai komplikasi yang serius berbanding dengan 13.8% dalam kumpulan pemakanan (kualiti bukti yang rendah). Keputusan ini berdasarkan kepada lebih 21,000 peserta. Pemakanan boleh meningkatkan berat badan kira-kira 1.32 kg berbanding dengan orang dalam kumpulan kawalan. Peningkatan berat sebanyak 1.32 kg secara purata memberi faedah yang tidak pasti. Kami tidak dapat menilai dengan pasti kesan ke atas kualiti hidup disebabkan oleh variasi dalam pelaporan maklumat ini. Apabila kita melihat pada jenis sokongan pemakanan yang berlainan, analisis sekunder mencadangkan bahawa pemakanan tiub mungkin bermanfaat, mengurangkan komplikasi serius pada susulan maksimum, tetapi kekuatan penemuan ini adalah rendah.
Kualiti bukti
Bukti untuk kesimpulan kami adalah berkualiti rendah untuk kematian dan komplikasi serius, dan kualiti yang sangat rendah untuk berat badan. Semua kajian mempunyai risiko berat sebelah yang tinggi (iaitu semua kajian dijalankan dengan cara yang boleh melebihkan anggaran faedah dan mengurangkan anggaran kemudaratan sokongan pemakanan). Keputusan adalah konsisten untuk kematian dan komplikasi serius, tetapi terdapat tahap variasi yang tinggi dalam kesan pada berat badan secara menyeluruh.
Diterjemah oleh Leong Siew Lian (Monash University Malaysia). Disunting oleh Shaun Lee (Monash Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my