Fentanyl untuk sakit neuropatik dalam kalangan orang dewasa

Kesimpulan

Tiada bukti yang baik untuk menyokong atau menolak cadangan bahawa fentanyl berkesan untuk sebarang keadaan sakit neuropatik.

Latar belakang

Sakit neuropatik adalah sakit yang datang dari kerosakan sistem saraf. Ia berlainan daripada mesej kesakitan yang dibawa oleh saraf yang sihat dari tisu yang tercedera (contohnya daripada jatuh atau luka, atau artritis lutut). Sakit neuropatik sering dirawat dengan ubat yang berlainan daripada yang digunakan untuk sakit daripada kecederaan tisu, yang kita sering ketahui sebagai ubat penahan sakit. Terdapat pelbagai jenis sakit neuropatik, dengan sebab yang berbeza. Sesetengah ubat yang digunakan untuk merawat kemurungan atau epilepsi kadang-kala sangat berkesan bagi sesetengah orang dengan sakit neuropatik. Kadang-kala ubat penahan sakit opioid digunakan untuk merawat sakit neuropatik.

Ubat penahan sakit opioid adalah ubat seperti morfin. Morfin berasal daripada tumbuh-tumbuhan, tetapi kebanyakkan opioid juga dibuat daripada sintesis kimia berbanding diekstrak daripada tumbuh-tumbuhan. Fentanyl adalah salah satu daripada opioid sintetik tersebut. Ia boleh didapati di banyak negara untuk digunakan sebagai ubat penahan sakit dan, apabila digunakan untuk merawat sakit kronik, ia biasanya diberikan melalui tampalan pelekat, jadi ia dibawa ke dalam badan melalui kulit.

Ciri-ciri kajian

Pada Januari 2016 kami telah mencari kajian-kajian klinikal yang mana fentanyl digunakan untuk merawat sakit neuropatik dalam kalangan orang dewasa. Kami menemui satu kajian kecil yang melakukan kajian ini dan memenuhi keperluan kami untuk ulasan ini. Kajian tersebut mempunyai reka bentuk yang rumit. Mula-mula peserta kajian menerima fentanyl (sebagai tampalan kulit untuk sehari) selama sebulan. Mereka yang bertindak balas terhadap terapi (mencapai tahap kelegaan kesakitan yang telah ditentukan terlebih dahulu) kemudiannya diagihkan secara rawak untuk terus menerima fentanyl atau plasebo selama 12 minggu. Peserta menghidapi salah satu daripada tiga jenis sakit neuropatik yang berbeza dan tidak pernah mengambil opioid sebelum itu. Hanya terdapat 163 orang dalam perbandingan 12 minggu dengan plasebo.

Keputusan utama

Kajian tersebut mendapati lebih banyak orang yang mengambil fentanyl mendapat kelegaan kesakitan berbanding mereka yang mengambil plasebo. Kira-kira 1 dalam 7 peserta berhenti mengambil fentanyl kerana kesan-kesan sampingan, dan 1 dalam 5 tidak mendapat tahap kelegaan kesakitan yang baik dalam bahagian pertama kajian tersebut. Hampir separuh daripada mereka yang dilanjutkan ke bahagian kedua kajian juga berhenti. Kesan-kesan sampingan yang paling biasa adalah sembelit, loya (rasa tidak sihat), somnolen (rasa mengantuk), dan pening. Kesan-kesan sampingan tersebut adalah biasa dengan opioid seperti fentanyl. Terdapat sangat sedikit maklumat daripada kajian tunggal ini menyebabkan kami menyimpulkan tiada bukti yang meyakinkan untuk menyokong atau menolak faedah yang bermakna untuk fentanyl berbanding plasebo.

Kualiti bukti

Kami menilai kualiti bukti sebagai sangat rendah kerana terdapat satu kajian sahaja, dengan peserta dan kejadian yang sedikit, dan reka bentuk yang luar biasa. Kualiti bukti yang sangat rendah bermakna kami sangat tidak pasti mengenai keputusannya.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information