Mengapakah ulasan ini penting?
Gangguan bipolar adalah antara salah satu keadaan kesihatan mental paling teruk yang dicirikan oleh episod mania (mood tinggi yang luar biasa atau mudah marah antara gejala lain untuk waktu yang singkat), atau hypomania (gejala yang sama berlanjutan untuk masa yang lebih singkat) dan kemurungan major (mood rendah) . Fasa kemurungan penyakit ini dikaitkan dengan peningkatan risiko membahayakan diri dan bunuh diri. Rawatan semasa untuk kemurungan dalam gangguan bipolar tidak selalu berkesan dan lambat berfungsi. Antara rawatan baru dan alternatif yang paling menjanjikan adalah ubat-ubatan yang dipanggil modulator reseptor glutamat. Ubat ini berfungsi dengan cara yang berbeza daripada ubat yang biasa digunakan, seperti antidepresan. Ini adalah kemaskini ulasan yang diterbitkan pada 2015. Oleh kerana lebih banyak kajian klinikal telah diterbitkan sejak itu, adalah penting untuk mengemaskini ulasan ini dengan bukti yang terkini.
Siapakah yang akan berminat dalam ulasan ini?
- Orang yang mengalami gangguan bipolar, rakan-rakan mereka dan keluarga mereka.
- Pengamal perubatan umum, pakar psikiatri, ahli psikologi, dan ahli farmasi.
• Profesional yang bekerja dalam bidang perkhidmatan kesihatan mental orang dewasa.
Apakah soalan yang ingin dijawab oleh ulasan ini?
1. Adakah ketamin dan modulator reseptor glutamat lain lebih baik dalam merawat kemurungan bipolar berbanding plasebo (pil dummy) atau antidepresan lain?
2. Adakah pesakit yang diberikan preskripsi ketamin atau modulator reseptor glutamat lain mengalami kesan sampingan yang lebih sedikit berbanding orang yang mengambil plasebo atau antidepresan lain?
Kajian manakah yang disertakan dalam ulasan ini?
Kami mencari pangkalan data perubatan untuk mendapatkan semua kajian berkaitan yang telah selesai dijalankan sehingga 30 Julai 2020. Kajian-kajian ini harus merupakan ujian terkawal secara rawak (di mana peserta dalam kajian ini dibahagikan secara rawak untuk menerima ubat yang dikaji atau ubat atau plasebo yang berbeza untuk membandingkan keputusan). Untuk disertakan dalam ulasan ini, kajian harus membandingkan ketamin atau modulator reseptor glutamat lain dengan plasebo atau ubat lain untuk orang dewasa dengan kemurungan bipolar. Kami menyertakan 10 kajian (647 peserta). Kajian-kajian tersebut mengkaji lima ubat modulator reseptor glutamat yang berbeza: ketamin (tiga kajian), memantine (dua kajian), cytidine (satu kajian), N-asetilcysteine (tiga kajian), dan riluzole (satu kajian). Sembilan kajian membandingkan modulator reseptor glutamat dengan plasebo, dan satu kajian membandingkan ketamin dengan ubat lain. Sebilangan besar kajian dalam ulasan ini menyertakan peserta yang juga menerima ubat lain (lithium, valproate, atau lamotrigine). Kami menilai kepastian bukti sebagai 'sangat rendah' hingga 'rendah' bagi perbandingan yang berbeza, yang bermaksud bahawa kami tidak boleh yakin bahawa hasilnya adalah perwakilan yang dekat dengan kebenaran.
Apakah yang diberitahu oleh bukti dari ulasan tersebut?
Keberkesanan modulator reseptor glutamat diukur terutamanya sebagai jumlah pesakit di mana gejala kemurungan mereka berkurang sebanyak 50% dengan rawatan. Dos tunggal ketamin yang disuntik ke dalam vena terbukti lebih baik daripada plasebo, tetapi ini adalah berdasarkan bukti yang sangat terhad (dua kajian dengan 33 peserta), dan kesannya hanya bertahan selama 24 jam. Tiada perbezaan yang dijumpai dalam kesan sampingan antara ketamin dan plasebo, walaupun kerap ada laporan mengenai keadaan khayal atau pemisahan (keadaan mimpi di mana badan dan fikiran dialami secara berasingan). Sebilangan kecil peserta sahaja yang disertakan dalam ulasan yang bermaksud bahawa kita tidak dapat menyatakan dengan pasti sama ada modulator reseptor ketamin atau glutamat berfungsi lebih baik daripada antidepresan yang lain. Tiada perbezaan antara memantine, cytidine, N-acetylcysteine dan plasebo untuk sebilangan orang yang bertindakbalas terhadap rawatan atau yang mengalami kesan sampingan, dan tiada data untuk riluzole.
Apakah yang patut berlaku seterusnya?
Ketamin mungkin atau mungkin bukan ubat yang berkesan sebagai rawatan tambahan untuk menstabilkan mood pada orang dengan kemurungan bipolar, tetapi oleh kerana jumlah data adalah sedikit, kami tidak dapat membuat kesimpulan yang tegas. Data mencadangkan bahawa ketamin boleh berfungsi dengan cepat bagi kemurungan bipolar, tetapi kesannya hanya bertahan untuk jangka masa yang singkat. Semua kajian mengkaji keberkesanan ketamin ketika disuntik, yang adalah kurang praktikal daripada pilihan lain seperti makan pil. Penyelidikan masa depan harus bertumpu pada penggunaan ketamin jangka panjang berbanding dengan plasebo dan ubat lain, sehingga kita dapat membuat kesimpulan yang yakin tentang rawatan manakah yang lebih berkesan. Lebih banyak penyelidikan diperlukan mengenai kesan sampingan jangka panjang, kerana beberapa kajian menunjukkan bahawa penggunaan ketamin jangka panjang dikaitkan dengan masalah ingatan.
Diterjemah oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my