Apakah julat gula dalam darah yang paling efektif untuk membimbing rawatan bagi wanita yang menghidap diabetes mellitus semasa hamil?

Apakah isunya?

Sebanyak satu perempat wanita hamil menghidap diabetes mellitus gestational (gestational diabetes mellitus, GDM), bergantung pada etnik mereka dan kriteria diagnostik yang digunakan. GDM ditakrifkan sebagai paras gula darah tinggi (hiperglisemia) semasa kehamilan dan telahj dikaitkan dengan peningkatan risiko tekanan darah tinggi (hipertensi) dan protein dalam air kencing semasa kehamilan (pra-eklampsia). Wanita-wanita ini lebih berisiko mengalami kelahiran secara caesarean dan kemurungan selepas bersalin, dan menghidap diabetes jenis 2 dan penyakit kardiovaskular kemudian. Paras gula darah tinggi yang dikaitkan dengan GDM biasanya kembali normal selepas bersalin, tetapi wanita dengan GDM berisiko mendapat GDM dalam kehamilan pada masa depan. Bayi yang ibunya telah didiagnosis dengan GDM mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mempunyai berat lahir lebih daripada 4000 g, peningkatan risiko trauma kelahiran kerana saiznya, dan perkembangan kesukaran bernafas selepas kelahiran. Bayi-bayi ini juga berisiko lebih tinggi untuk obesiti dan diabetes jenis 2 pada masa depan.

Mengapakah ini penting?

Wanita dengan GDM dirawat dengan tujuan mengawal paras gula darah ibu yang tinggi dan mengurangkan risiko GDM untuk ibu dan bayi. Kawalan gula darah dipantau dengan mengukur kepekatan gula dalam darah untuk memastikan ia dikekalkan dalam tahap atau julat yang telah ditetapkan. Keputusan gula darah biasanya diperolehi oleh ibu menggunakan tusukan jari untuk mengumpul setitik darahnya pada jalur ujian, yang dimasukkan ke dalam mesin kecil (glukometer) yang membaca paras gula darah pada jalur ujian. Bacaan glukometer memberi amaran kepada wanita hamil tentang paras gula darah semasanya dan digunakan untuk membimbing rawatannya, contohnya berapa banyak unit insulin yang dia perlukan sebelum makan. Walau bagaimanapun, julat gula darah yang paling berkesan untuk menyasarkan dan membimbing rawatan GDM pada wanita hamil yang baru didiagnosis pada masa ini tidak jelas.

Apakah bukti yang kami temui?

Ini adalah kemaskini ulasan yang disiapkan pada 2016. Kami telah mencari bukti pada 26 September 2022 untuk kajianrawak terkawal (sejenis kajian di mana peserta dibahagikan kepada salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan secara rawak) yang membandingkan julat gula darah yang berbeza pada wanita dengan GDM dan menilai kesan terhadap kesihatan ibu dan bayi. Kami telah menjumpai sembilan laporan daripada tiga kajian berbeza dalam ulasan yang dikemas kini ini, berjumlah empat kajian yang disertakan. Setiap kajian membandingkan dua julat gula darah, satu lebih ketat (sasaran gula darah rendah) dan satu lagi kurang ketat (sasaran gula darah lebih tinggi), dan melaporkan hasil kesihatan untuk wanita hamil dan bayinya.

Kami mendapati bahawa mungkin terdapat peningkatan dalam risiko ibu mengalami tekanan darah tinggi dan protein dalam air kencing semasa mengandung dengan sasaran gula darah yang lebih rendah. Kami mendapati bahawa mungkin tiada perbezaan antara julat gula darah dalam kadar kelahiran secara caesarean atau induksi bersalin. Kajian tidak melaporkan sebarang data untuk hasil berikut: perkembangan seterusnya diabetes jenis 2 untuk ibu, trauma pada perineum, kembali kepada berat badan sebelum hamil, dan kemurungan selepas bersalin.

Kami tidak pasti sama ada terdapat sebarang perbezaan dalam risiko kematian untuk bayi kerana terdapat sangat sedikit kematian dalam kajian. Bukti menunjukkan kemungkinan tiada perubahan dalam paras gula dalam darah bayi dan mungkin tiada perubahan dalam peratusan lemak badan bayi. Kajian tidak memberikan sebarang data untuk hasil utama yang lain: risiko jangka panjang diabetes pada bayi dan risiko kecacatan pada bayi.

Sasaran gula darah yang lebih rendah berkemungkinan mengakibatkan peningkatan dalam penggunaan terapi ubat (insulin, metformin atau glyburide) dan boleh mengakibatkan penurunan besar dalam pematuhan terhadap rawatan.

Batasan bukti

Terdapat beberapa ketidakpastian dalam penemuan kerana kekurangan maklumat tentang cara beberapa kajian direka dan dilaporkan dan kerana bagi beberapa hasil didapati melalui hanya satu kajian.

Apakah maksud keputusan kajian-kajian ini?

Ulasan ini mendapati bahawa masih belum ada bukti yang mencukupi daripada kajian terawak untuk menentukan julat gula darah terbaik untuk meningkatkan kesihatan untuk wanita hamil dengan GDM dan bayi mereka. Bukti pada masa ini menunjukkan tiada peningkatan faedah apabila menggunakan sasaran gula darah yang lebih rendah. Dua kajian masih berjalan. Lebih banyak kajian berkualiti tinggi diperlukan yang membandingkan sasaran yang berbeza untuk paras gula darah dan menilai kedua-dua hasil kesihatan jangka pendek dan panjang untuk wanita dan bayi mereka untuk membimbing rawatan. Kajian harus merangkumi pengalaman wanita dan menilai kos perkhidmatan kesihatan.

Nota terjemahan: 

Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my. Diterjemahkan oleh Saw Zhi Kuan (Kementerian Kesihatan Malaysia). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia.

Tools
Information