Penyekat saluran kalsium untuk mencegah disfungsi jantung yang berkaitan dengan kelebihan zat besi dalam talasemia beta yang bergantung pada transfusi

Mesej utama

1. Penyekat saluran kalsium boleh mengurangkan jumlah zat besi dalam jantung dan menambahbaik beban zat besi di hati pada orang dengan talasemia beta yang bergantung pada transfusi selepas 12 bulan rawatan.
2. Kajian yang lebih besar dan lebih panjang diperlukan untuk memahami dengan lebih baik faedah dan kemudaratan penyekat saluran kalsium pada orang dengan talasemia yang bergantung pada transfusi.

Apakah talasemia beta bergantung pada transfusi?

Talasemia beta adalah penyakit darah yang diwarisi. Pesakit talasemia beta tidak menghasilkan hemoglobin yang mencukupi (protein dalam sel darah merah yang mengandungi zat besi dan membawa oksigen ke seluruh badan). Akibatnya, orang-orang ini boleh mengalami gejala anemia: letih, lemah, pening, atau sesak nafas. Bentuk talasemia beta yang paling teruk dipanggil talasemia beta yang bergantung pada transfusi, kerana penghidapnya memerlukan pemindahan darah yang kerap. Satu keburukan serius rawatan ini ialah ia menyebabkan besi berlebihan terkumpul di dalam jantung dan merosakkannya. Komplikasi jantung adalah punca kematian dan ketidakupayaan yang paling biasa pada penghidap talasemia beta yang menerima pemindahan darah secara berkala.

Adalah menjadi amalan biasa untuk penghidap talasemia beta yang bergantung pada transfusi diberi ubat (dikenali sebagai chelator) untuk mengurangkan zat besi dalam badan. Di samping itu, kajian telah menunjukkan bahawa zat besi memasuki jantung melalui laluan yang dipanggil saluran kalsium, dan ubat-ubatan yang menghalang laluan ini (penghalang saluran kalsium) boleh mengurangkan kemasukan zat besi ke dalam jantung. Walau bagaimanapun, tidak jelas sama ada rawatan ini berkesan dan selamat untuk penghidap talasemia beta.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada penyekat saluran kalsium, yang diberikan bersama-sama dengan chelator, boleh mencegah disfungsi jantung akibat pengumpulan zat besi yang berlebihan pada penghidap talasemia beta yang menerima pemindahan darah secara berkala.

Apa yang kami lakukan?

Kami mencari kajian yang mengkaji penyekat saluran kalsium ditambah chelator berbanding dengan chelator sahaja atau chelator ditambah plasebo (ubat dummy). Kami telah membandingkan dan merumuskan keputusan kajian serta menilai keyakinan kami terhadap bukti tersebut, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami memasukkan enam kajian yang merekrut sejumlah 253 penghidap talasemia beta yang bergantung pada transfusi. Semua peserta kajian mempunyai kelebihan zat besi yang ketara dan sedang menerima rawatan chelation standard. Mereka secara rawak diberikan kepada salah satu daripada dua rawatan: amlodipine (penyekat saluran kalsium) sebagai tambahan kepada chelator mereka, atau chelators (sendirian atau dengan plasebo). Kajian tersebut berlangsung selama enam hingga 12 bulan.

Keputusan utama

Amlodipine boleh mengurangkan jumlah zat besi dalam jantung dan menambahbaik beban zat besi hati selepas 12 bulan rawatan. Tiada perbezaan antara kumpulan dalam hasil ini selepas hanya enam bulan atau dalam hasil lain (seperti paras zat besi dalam darah, paras besi dalam hati dan satu lagi ukuran fungsi jantung) pada enam atau 12 bulan, walaupun keputusan pada enam bulan sangat tidak menentu. Kajian melaporkan tiada kesan tidak diingini yang serius, tetapi mungkin terdapat risiko yang lebih tinggi untuk bengkak buku lali dengan amlodipine. Tiada kajian melaporkan kematian, beberapa ukuran fungsi jantung (kami hanya menemui data untuk satu ukuran), aktiviti elektrik jantung, kualiti hidup, peratusan orang yang mengikuti rawatan, atau kos.

Kajian jangka panjang yang lebih besar diperlukan untuk lebih memahami keberkesanan dan keselamatan penyekat saluran kalsium pada penghidap talasemia yang bergantung pada transfusi.

Apakah batasan bukti?

Keputusan pada 12 bulan menunjukkan bahawa amlodipine boleh mengurangkan jumlah zat besi dalam jantung dan meningkatkan beban zat besi hati, tetapi kami mempunyai sedikit keyakinan terhadap kebanyakan keputusan kami pada 12 bulan, terutamanya kerana kajian yang kecil dan kerana peserta kajian mungkin mengetahui rawatan yang mereka terima

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Ini adalah kemaskini ulasan pertama yang diterbitkan pada 2018. Bukti adalah terkini sehingga Januari 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Selayang). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information