Soalan ulasan: Adakah antithrombin mengurangkan risiko pendarahan intraventrikel (iaitupendarahan dalam otak) dan kadar kematian di kalangan bayi sangat pramatang?
Latar belakang: Antithrombin adalah ubat yang berperanan dalam pembekukan darah bersama-sama dengan faktor-faktor lain. Bayi dengan berat badan yang sangat rendah (iaitu bayi dengan gestasi kurang dari 32 minggu) memiliki paras antithrombin yang rendah dalam darah. Berdasarkan satu kajian pemerhatian pada bayi yang sangat pramatang, telah dicadangkan bahawa administrasi ubat-ubatan yang menghalang pembekuan (anticoagulants) seperti antithrombin mungkin mengurangkan risiko pendarahan intraventrikel dan perkembangan pendarahan intraventrikel, satu komplikasi yang kerap berlaku kepada bayi pramatang. Ulasan sistematik ini mencernakan bukti yang ada mengenai keberkesanan antithrombin dalam pencegahan pendarahan intraventrikel dalam bayi yang sangat pramatang.
Ciri-ciri kajian: Kami telah memasukkan dua kajian dengan sejumlah 182 bayi yang baru lahir, membandingkan antithrombin dengan plasebo (gula atau cecair albumin).
Keputusan: Penggunaan antithrombin tidak mengurangkan risiko pendarahan dalam otak, kematian atau lain-lain ukuran hasil kajian yang berkaitan dalam bayi sangat pramatang apabila dibandingkan dengan plasebo.Walau bagaimanapun, data yang telah dikumpul terlalu terhad untuk membuat kesimpulan muktamad mengenai penggunaan antithrombin dalam pencegahan pendarahan intraventrikel (iaitu pendarahan dalam otak),
Kesimpulan: Keputusan ulasan sistematik ini adalah konsisten dengan sama ada manfaat atau kesan mudarat dan tidak memberikan jawapan muktamad kepada soalan kajian.
Diterjemahkan oleh Foo Sook Lee (Penang Medical College). Disunting oleh Tan May Loong (Penang Medical College). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi fslee@pmc.edu.my.