Apa yang dikaji dalam ulasan ini?
Parut hipertropik dan keloid timbul dan parut beralun yang terbentuk apabila luka tidak sembuh dengan baik. Parut ini boleh berubah warna atau kemerahan dan juga boleh menyebabkan rasa sakit dan gatal-gatal. Pelbagai rawatan yang tersedia, termasuk gel silikon dan steroid.
Terapi laser mungkin merupakan rawatan alternatif untuk jenis parut ini. Semasa terapi laser, kawasan kulit disasarkan oleh pancaran cahaya yang kuat yang boleh memecahkan tisu yang rosak. Pelbagai jenis terapi laser boleh didapati bergantung pada jenis kulit pesakit dan sifat parut. Terapi laser adalah mahal dan mempunyai kesan sampingan yang berpotensi berbahaya, jadi adalah penting untuk menentukan sama ada ia selamat dan berkesan.
Apakah tujuan ulasan ini?
Matlamat ulasan ini adalah untuk menyiasat sama ada terapi laser adalah rawatan yang berkesan untuk orang yang mempunyai parut hipertropik dan keloid. Untuk menjawab soalan ini, penyelidik dari Cochrane mengumpul dan menganalisis semua kajian yang berkaitan untuk menjawab soalan ini dan menemui 15 kajian rawak terkawal.
Apakah keputusan utama ulasan?
Kami memasukkan 15 kajian bertarikh dari 1999 hingga 2019, melibatkan 604 peserta (kanak-kanak dan orang dewasa bagi kedua-dua jantina). Saiz kajian adalah kecil (10 hingga 120 peserta), dengan tempoh susulan peserta berbeza dari 12 minggu hingga 12 bulan. Kajian menganalisis perubahan dalam keterukan parut yang dinilai oleh ahli profesional kesihatan atau peserta.
Dalam kajian tersebut, pelbagai jenis peranti laser dibandingkan tanpa rawatan dan dengan kaedah rawatan lain. Terapi laser digabungkan dengan rawatan lain juga dibandingkan dengan hanya terapi laser.
Kami tidak dapat memastikan sama ada terapi laser sahaja atau digabungkan dengan rawatan lain mengurangkan keterukan parut hipertropik atau keloid jika dibandingkan dengan tanpa rawatan atau rawatan lain, kerana kepastian semua bukti yang sedia ada adalah rendah atau sangat rendah. Ini disebabkan oleh bilangan kajian yang kecil, perbandingan yang berbeza, keputusan yang bercanggah, bilangan peserta yang kecil, dan kekurangan data yang tersedia.
Beberapa kesan sampingan rawatan laser seperti kerosakan pada kulit atau saluran darah berdekatan, kemerahan dan kebas telah dilaporkan. Walau bagaimanapun, kepastian bukti adalah terlalu rendah untuk memastikan betapa lazim kesan-kesan sampingan ini.
Mesej utama
Secara keseluruhannya, hasil kajian ini tidak membenarkan kami untuk memastikan sama ada menggunakan apa-apa jenis terapi laser adalah lebih atau kurang berkesan daripada rawatan lain yang tersedia untuk parut hipertropik dan keloid. Memandangkan kajian hanya memberikan bukti berkepastian sangat rendah mengenai kemungkinan kesan sampingan, kami tidak begitu yakin dengan keputusan kajian yang ada sekarang, dan kami tidak dapat memastikan sama ada sebarang jenis terapi laser membawa kepada lebih bahaya daripada manfaat berbanding tanpa rawatan atau rawatan lain.
Sejauh manakah ulasan ini terkini?
Kami mencari kajian yang diterbitkan sehingga 23 Mac 2021.
Diterjemahkan oleh Hui Jen Chua (Taylor’s University). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my