Rawatan kanser hati primer peringkat pertengahan (karsinoma hepatoselular)

Latar belakang

Karsinoma hepatoselular (kanser hati primer) timbul dari sel hati dan berbeza dengan kanser hati sekunder, timbul dari bahagian badan lain dan menyebar ke hati. Karsinoma hepatoselular dapat dikelaskan dalam pelbagai cara. Satu klasifikasi adalah mengikut peringkat kumpulan Kanser Hati Klinik Barcelona (BCLC) yang mengklasifikasikan kanser berdasarkan tempoh jangka hidup orang itu (jangka hayat). Klasifikasi ini secara meluas berdasarkan ukuran kanser, jumlah kanser dalam hati, seberapa baik hati berfungsi, dan sama ada aktiviti seseorang dipengaruhi oleh kanser. Orang yang mempunyai karsinoma hepatoselular tahap pertengahan mempunyai kanser yang besar dan banyak, tetapi mereka tidak mengalami kegagalan hati sepenuhnya. Kanser terbatas pada hati, dan tidak ada batasan aktiviti harian. Terdapat ketidakpastian yang ketara dalam rawatan orang dengan karsinoma hepatoselular tahap pertengahan. Kami berusaha menyelesaikan ketidakpastian ini dengan mencari kajian yang sedia ada mengenai topik tersebut. Kami menyertakan semua kajian klinikal secara rawak (ujian klinikal yang dirancang dengan baik di mana orang dimasukkan secara rawak ke dalam salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) yang hasilnya dilaporkan hingga September 2016. Kami hanya menyertakan kajian di mana peserta dengan karsinoma hepatoselular tahap pertengahan tidak pernah menjalani pemindahan hati sebelumnya. Selain menggunakan kaedah piawai Cochrane yang hanya membenarkan pembandingan dua jenis rawatan dalam satu-satu masa (pembandingan secara langsung), kami merancang untuk menggunakan suatu kaedah yang lebih kompleks yang membenarkan pembandingan banyak jenis rawatan yang dibandingkan secara berasingan dalam ujikaji-ujikaji berkenaan (meta-analisis rangkaian). Namun, kerana hanya ada satu perbandingan, kami hanya dapat menggunakan metodologi Cochrane standard.

Ciri-ciri kajian

Hanya tiga kajian dengan 430 peserta memenuhi kriteria penyertaan kami; walau bagaimanapun, dua daripada kajian (412 peserta) hanya melaporkan kematian dan tidak ada ukuran lain mengenai seberapa baik rawatan itu berfungsi. Ketiga-tiga kajian itu merangkumi rawatan sokongan (rawatan untuk mencegah, mengawal, atau melegakan komplikasi dan kesan sampingan dan meningkatkan keselesaan dan kualiti hidup) sebagai intervensi bersama. .Kajian tersebut menilai kemoemboli transarterial (di mana ubat-ubatan anti-kanser menyekat bekalan darah dan merawat kanser melalui saluran-saluran yang membekalkan kanser), kemoterapi menggunakan sorafenib (ubat yang menyekat pertumbuhan kanser), atau kombinasi kemoemboli transarterial dan sorafenib. Kajian itu mengikuti para peserta selama 18 hingga 30 bulan sejak permulaan rawatan.

Dua kajian dibiayai oleh industri farmaseutikal; satu kajian tidak melaporkan sumber pembiayaan.

Hasil-hasil utama

Lebih dari 18 hingga 30 bulan, 50% hingga 75% peserta meninggal dunia. Tidak ada bukti perbezaan antara orang yang menerima kemoterapi dan mereka yang tidak menerima kemoterapi. Tidak ada kajian yang melaporkan komplikasi, kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan (ukuran kepuasan seseorang terhadap kehidupan dan kesihatannya), kambuh kanser , atau tempoh tinggal di hospital. Secara keseluruhan, pada masa ini tidak ada bukti untuk manfaat rawatan aktif selain rawatan sokongan untuk karsinoma hepatoselular peringkat pertengahan. Terdapat ketidakpastian yang ketara mengenai perkara ini dan memerlukan kajian klinikal rawak berkualiti tinggi.

Kualiti bukti

Keseluruhan kualiti bukti adalah rendah atau sangat rendah dan semua kajian mempunyai risiko berat sebelah yang tinggi, yang bermaksud bahawa ada kemungkinan membuat kesimpulan yang salah, faedah yang berlebihan, atau meremehkan bahaya satu rawatan atau yang lain kerana cara kajian dijalankan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Klinik Kesihatan Bandar Tun Hussein Onn). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information