Adakah intervensi pengurusan kendiri asma berkesan apabila disampaikan di sekolah untuk kanak-kanak, dan bagaimana ia patut disampaikan?

Latar belakang kepada soalan

Asma adalah keadaan yang lazim dalam kalangan kanak-kanak. Sekolah adalah tempat yang berpotensi untuk membangunkan kemahiran pengurusan kendiri, tetapi bukti intervensi berasaskan sekolah memperbaiki kawalan asma tidak pernah diulas secara sistematik.

Soalan ulasan

Kami ingin menjawab dua soalan.

• Bahagian intervensi pengurusan kendiri asma berasaskan sekolah yang manakah lebih cenderung menjayakan intervensi ini?

• Apakah kesan intervensi terhadap kawalan asma kanak-kanak, kehadiran di sekolah, dan kehadiran di GP dan hospital?

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan 55 kajian. Tiga puluh tiga kajian membantu kami untuk lebih memahami cara terbaik menyampaikan intervensi pengurusan kendiri asma. Tiga puluh tiga kajian membantu kami menentukan sama ada intervensi ini berjaya memperbaiki kesihatan dan kesejahteraan kanak-kanak. Sebelas kajian menyumbang kepada kedua-duanya.

Keputusan utama

Kami menyertakan 23 kajian dalam model kuantitatif yang mengukur hasil asma kanak-kanak (hasil adalah sesuatu yang boleh diukur untuk mengetahui jika intervensi berjaya). Keputusan menunjukkan bahawa intervensi pengurusan kendiri berasaskan sekolah dapat memperbaiki hasil seperti mengurangkan kekerapan kemasukan ke hospital, lawatan ke jabatan kecemasan, dan kualiti hidup berkaitan kesihatan. Terdapat kurang kajian yang melaporkan pengurangan lawatan perubatan yang tidak dirancang atau kurang bilangan hari di mana kanak-kanak tidak dapat melakukan aktiviti harian normal. Intervensi tidak mengurangkan ketidakhadiran ke sekolah, gejala, atau penggunaan ubat-ubatan yang melegakan. Intervensi yang lebih berkesan adalah berdasarkan kepada teori bagaimana intervensi mungkin berjaya. Para penyelidik mendapati penglibatan ibu bapa dalam intervensi, memastikan kanak-kanak gembira dengan intervensi, dan menjalankan intervensi semasa waktu sekolah membantu meningkatkan pematuhan.

Kepastian bukti

Kajian yang mengukur sama ada intervensi berjaya biasanya direka bentuk dengan baik; walau bagaimanapun kadang kala ia sukar dijalankan, dan sesetengah mungkin tidak mengukur hasil dengan tepat. Para penilai mendapati beberapa kajian yang dijalankan untuk memahami bagaimana intervensi patut disampaikan berisiko bias, dan kepastian bukti umumnya lebih rendah untuk kajian-kajian tersebut.

Mesej dibawa pulang

Bukti mencadangkan intervensi pengurusan kendiri berasaskan sekolah dapat membantu kanak-kanak dengan asma dan dapat mengurangkan kemasukan ke hospital dan perulangan ke jabatan kecemasan. Penemuan kajian mencadangkan intervensi yang berasaskan teori tentang bagaimana intervensi boleh dirancang dan disampaikan terbukti berguna dalam meningkatkan hasil kanak-kanak, mencapai lebih ramai bilangan kanak-kanak, dan mengekalkan kadar keciciran sekolah yang rendah, dan menunjukkan bahawa mereka yang merancang intervensi harus mempertimbangkan faktor-faktor seperti menyertakan ibu bapa.

Ulasan ini adalah terkini hingga Ogos 2017.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Amanda Yap Qiao Ying (Hospital Pulau Pinang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi amandayapqy@gmail.com

Tools
Information