Adrenalektomi laparoskopi transperitoneal berbanding retroperitoneal untuk tumor adrenal pada orang dewasa

Soalan ulasan

Apakah kesan adrenalektomi retroperitoneal laparoskopi berbanding dengan adrenalektomi transperitoneal laparoskopi pada orang dewasa?

Latar belakang

Kelenjar adrenal terdapat di atas buah pinggang, dan menghasilkan beberapa hormon, seperti adrenalin, aldosteron, dan kortisol. Tumor kelenjar adrenal mungkin benign atau kanser, dan sering dijumpai semasa pemeriksaan rutin, seperti ultrasonografi perut (abdomen). Pembedahan pembuangan satu atau kedua-dua kelenjar adrenal (adrenalektomi) biasanya disyorkan jika jisim adrenal berdiameter lebih dari 4 cm, jika jisim membesar sebanyak 1 cm atau lebih dalam tempoh pemerhatian, atau jika terdapat bukti rembesan hormon autonomi terbentuk.

Terdapat beberapa teknik untuk membuang kelenjar adrenal. Pada masa kini, pakar bedah sering menggunakan pembedahan lubang kunci (pembedahan laparoskopi) bukannya pembedahan terbuka, menggunakan luka kecil di perut untuk memasukkan alat bedah khas dan kamera kecil (laparoskop) dengan cahaya. Adrenalektomi transperitoneal laparoskopi menggunakan luka melalui perut termasuk memotong selaput khas di dalam perut (peritoneum) untuk mendedahkan kelenjar adrenal. Adrenalektomi retroperitoneal laparoskopi menghampiri kelenjar adrenal dari belakang, tanpa memotong peritoneum. Para penyokong teknik terakhir telah mencadangkan hasil yang lebih baik, seperti waktu pembedahan yang lebih pendek, kehilangan darah yang lebih sedikit, kurang kesakitan selepas pembedahan, dan tempoh tinggal di hospital yang lebih pendek.

Ciri-ciri kajian

Kami menemui lima ujian terkawal secara rawak (ujian klinikal di mana orang dimasukkan secara rawak ke dalam salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) dengan 244 peserta. Seramai 127 peserta dirawakkan kepada adrenalektomi retroperitoneal dan 117 peserta melakukan adrenalektomi transperitoneal. Dua kajian mempunyai tempoh pemerhatian setelah pembedahan sembilan bulan. Tiga kajian memerhatikan peserta mereka selama 31 hingga 70 bulan. Sebilangan besar peserta adalah wanita, dan purata usia adalah sekitar 40 tahun.

Bukti adalah terkini sehingga April 2018.

Keputusan utama

Dalam jangka masa pendek selepas pembedahan, tidak ada kematian yang dilaporkan untuk teknik adrenalektomi. Satu kajian dengan tempoh pemerhatian selama enam tahun, melaporkan bahawa daripada 164 peserta, empat peserta dari kumpulan adrenalektomi retroperitoneal, dan satu peserta dari kumpulan adrenalektomi transperitoneal telah meninggal dunia. Kami membandingkan tahap kesihatan awal yang lemah (morbiditi), yang dilaporkan setelah 30 hingga 60 hari, dan morbiditi yang lewat, dilaporkan pada masa pemerhatian terpanjang selepas pembedahan. Morbiditi awal dibandingkan antara kedua teknik, tetapi morbiditi lewat mungkin lebih rendah selepas menjalani adrenalektomi retroperitoneal (tiada daripada 78 peserta) daripada selepas adrenalektomi transperitoneal (7 daripada 68 peserta). Tiada kajian melaporkan kualiti hidup berkaitan kesihatan. Waktu untuk kembali ke aktiviti normal, tempoh tinggal di hospital, tempoh pembedahan, kehilangan darah semasa pembedahan, dan perubahan pada pembedahan terbuka dapat dibandingkan antara kedua teknik tersebut. Waktu pengambilan cecair atau makanan secara oral dan waktu bangun dari tidur dan melakukan aktiviti ringan kelihatan beberapa jam lebih pendek selepas menjalani adrenalektomi retroperitoneal (secara purata 8.6 jam) berbanding dengan adrenalektomi transperitoneal (secara purata 5.4 jam).

Kepastian bukti

Kami tidak pasti teknik adrenalektomi mana yang terbaik, terutamanya kerana bilangan kajian yang sedikit, bilangan peserta yang sedikit, dan beberapa kesalahan sistematik dalam sebahagian besar kajian yang dianalisis oleh kami. Kajian baru harus mengkaji kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan. Tahap pengalaman pakar bedah dan jumlah rawatan di pusat bedah juga dapat mempengaruhi keputusannya.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Mastura Abd Malek, Pelajar Pascasiswazah (IMMB, Fakulti Perubatan, UiTM). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information