Pembedahan awal atau tertangguh untuk pembuangan apendiks: yang manakah lebih berkesan untuk merawat kebengkakkan apendiks (ketulan pada apendiks)?

Mesej utama

- Pembedahan terbuka atau lubang kunci awal (di mana pembedahan dilakukan melalui potongan yang sangat kecil) pembuangan apendiks (tiub pada sambungan usus kecil dan besar) boleh mengurangkan kadar abses abdomen (nanah di dalam perut) dalam kalangan orang dengan phlegmon apendiks (keradangan meresap di bahagian bawah kanan apendiks), tetapi kami sangat tidak pasti tentang keputusannya.

- Kami tidak tahu sama ada pengeluaran apendiks melalui pembukaan awal atau lubang kunci mempunyai kesan penting ke atas kadar komplikasi keseluruhan atau pada komplikasi lain dalam kalangan pesakit yang menghidap phlegmon apendiks. Pembuangan apendiks melalui pembedahan pembukaan atau lubang kunci awal mungkin boleh mengurangkan jumlah tempoh penginapan di hospital dan boleh meningkatkan masa yang tidak dapat digunakan untuk aktiviti biasa, tetapi kami sangat tidak pasti tentang keputusannya.

- Kami tidak tahu sama ada pembuangan apendiks melalui pembedahan lubang kunci awal mempunyai kesan penting ke atas hasil pada kanak-kanak yang mengalami abses apendiks.

Apakah kebengkakkan apendiks?

Apendiks adalah tiub yang terletak pada sambungan di antara usus kecil dan besar. 'Apendisitis' ialah apabila apendiks menjadi bengkak dan menyakitkan (keradangan). Dalam sesetengah kes, apendisitis boleh mengakibatkan benjolan yang dipanggil kebengkakkan apendiks terbentuk pada apendiks. Ini boleh jadi 'phlegmon', iaitu keradangan meresap di bahagian bawah sebelah kanan apendiks, atau 'abses', iaitu pengumpulan nanah di dalam perut.

Bagaimanakah kebengkakkan apendiks dirawat?

Pesakit yang mengalami kebengkakkan apendiks biasanya memerlukan pembedahan membuang apendiks untuk melegakan simptom mereka (sakit di bahagian abdomen, hilang selera makan, loya dan muntah) dan mengelakkan komplikasi (seperti peritonitis). Masa untuk pembedahan adalah kontroversi. Pembedahan segera adalah sukar memandangkan ianya mencabar untuk menjahit tunggul apendiks yang mengalami keradangan. Walau bagaimanapun, sesetengah pakar berpendapat bahawa membuang apendiks beberapa minggu kemudian (pembedahan tertangguh) adalah tidak perlu, kerana pesakit tidak mungkin mengalami sakit berulang selepas rawatan tanpa pembedahan yang berjaya. Walau bagaimanapun, kadangkala sukar untuk mengetahui punca benjolan pada apendiks, dan menunggu untuk mengeluarkan apendiks boleh melambatkan diagnosis untuk sebarang kemungkinan penyakit lain.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada pembedahan pembuangan awal apendiks (sejurus selepas kemasukan ke hospital atau dalam masa beberapa hari) adalah lebih baik daripada pembedahan pembuangan apendiks yang tertangguh (beberapa minggu kemudian selepas kemasukan hospital berikutnya), daripada segi:

- kadar komplikasi keseluruhan, termasuk jangkitan luka, abses di bahagian abdomen, fistula najis (pembukaan yang tidak normal di antara usus dan abdomen);

- kadar kematian;

- jumlah tempoh penginapan di hospital;

- masa tidak melakukan aktiviti biasa.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami telah mencari kajian - kajian yang melihat kepada pembuangan awal apendiks berbanding pembuangan apendiks yang tertangguh dalam kalangan pesakit yang mengalami phlegmon atau abses apendiks. Kami membanding dan merumuskan keputusan kajian-kajian tersebut serta menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti-bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang telah kami temui?

Kami telah mengenal pasti lapan kajian, yang melibatkan 828 peserta, yang membandingkan pembedahan apendiktomi awal dan yang tertangguh sama ada untuk phlegmon (7 kajian) atau abses apendiks (1 kajian).

Pesakit dengan phlegmon

Kami menemui tujuh kajian dengan 788 kanak-kanak dan orang dewasa dengan phlegmon apendiks. Daripada jumlah ini, 394 telah menjalani pembedahan pembukaan atau lubang kunci awal dan 394 menjalani pembedahan pembukaan atau lubang kunci tertangguh untuk membuang apendiks.

Kami tidak tahu sama ada pembuangan awal apendiks mempunyai kesan ke atas komplikasi keseluruhan (termasuk jangkitan luka dan fistula najis).

Berbanding pembuangan apendiks yang tertangguh, pembuangan awal apendiks boleh mengurangkan abses abdomen (43 abses abdomen kurang bagi setiap 1000 peserta), dan mengurangkan jumlah tempoh penginapan di hospital selama lebih kurang dua hari, tetapi kami sangat tidak pasti tentang keputusan ini.

Tiada kematian dalam kajian-kajian ini.

Pembuangan awal apendiks boleh meningkatkan masa tidak melakukan aktiviti biasa selama lebih kurang lima hari, tetapi kami sangat tidak pasti tentang keputusan ini.

Pesakit yang mengalami abses

Kami menemui satu kajian dengan 40 kanak-kanak. Dua puluh kanak-kanak telah menjalani pembuangan apendiks awal melalui pembedahan lubang kunci apendiks dan 20 kanak-kanak telah menjalani pembuangan apendiks melalui pembedahan lubang kunci yang tertangguh.

Kajian tersebut tidak melaporkan komplikasi keseluruhan (termasuk jangkitan luka, abses pada bahagian abdomen, dan fistula najis), atau masa tidak dapat melakukan aktiviti biasa.

Tiada kematian dalam kajian-kajian tersebut.

Kami tidak tahu sama ada pembuangan awal apendiks mempunyai kesan ke atas jumlah keseluruhan tempoh penginapan di hospital.

Apakah batasan bukti?

Kami tidak yakin dengan bukti tersebut kerana ada kemungkinan peserta dalam kajian mengetahui rawatan yang mereka terima, dan tidak semua kajian memberikan maklumat tentang apa yang kami ingin ketahui. Di samping itu, beberapa kajian tidak melaporkan dengan jelas bagaimana ia dijalankan, dan tidak ada kajian yang mencukupi untuk kami memastikan keputusannya.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Ulasan ini mengemas kini ulasan kami yang terdahulu. Bukti adalah terkini sehingga Jun 2023.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Nadiatul Azra Ahmad Mazlan (IMU University). Disunting oleh Kamisah Ariffin (Universiti Teknologi MARA).

Tools
Information