Penggunaan mesin untuk memulihara buah pinggang yang dikeluarkan daripada penderma yang telah meninggal dunia sebelum pemindahan dilakukan

Mesej utama

Berbanding dengan "penyimpanan sejuk statik" piawai dalam peti ais, mesin perfusi hipotermik mengurangkan kadar fungsi buah pinggang yang dipindahkan tertangguh, menambahbaik survival buah pinggang yang dipindahkan, dan menjimatkan kos (dalam tetapan AS dan Eropah) untuk buah pinggang daripada penderma yang telah meninggal dunia.

- Melakukan ini secara berterusan daripada penderma kepada pusat penerima dan menyampaikan oksigen semasa proses ini dikaitkan dengan hasil terbaik selepas pemindahan.

- Mesin perfusi normotermik selama satu jam (selepas mengangkut organ di atas ais) tidak menambahbaik hasil tetapi selamat dan mungkin berguna untuk menilai kualiti organ atau menyampaikan terapi baharu.

Apakah kegagalan buah pinggang, dan bagaimana ia harus dirawat?

Kegagalan buah pinggang berlaku apabila buah pinggang seseorang tidak lagi berfungsi dengan baik untuk memastikan mereka hidup. Terapi penggantian buah pinggang, dalam bentuk dialisis atau pemindahan, diperlukan untuk mengekalkan kehidupan. Pemindahan buah pinggang adalah rawatan terbaik untuk pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang. Bakal penerima boleh dipindahkan dengan buah pinggang yang didermakan sama ada daripada penderma yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia. Walau bagaimanapun, buah pinggang daripada penderma yang telah meninggal dunia mempunyai kejadian yang lebih tinggi untuk fungsi buah pinggang tertangguh dan tiada fungsi utama disebabkan oleh trauma kematian saraf tunjang atau berhentinya peredaran darah jika dibandingkan dengan buah pinggang penderma hidup. Proses mengeluarkan dan mengangkut buah pinggang yang didermakan juga menyebabkan kerosakan, kerana buah pinggang tidak menerima bekalan darah yang normal. Kerosakan ini kekal menjadi penghalang utama pemindahan kerana menjadikan banyak organ tidak dapat digunakan dan dikaitkan dengan penurunan survival buah pinggang yang dipindahkan.

Apakah yang kami ingin tahu?

Secara tradisinya, buah pinggang yang memerlukan pengangkutan disimpan dalam peti ais (disebut penyimpanan sejuk statik). Teknologi baharu menggunakan mesin yang memacu cecair sejuk (mesin perfusi hipotermik) atau hangat (mesin perfusi normotermik) melalui buah pinggang yang didermakan bertujuan untuk mengurangkan kerosakan yang berlaku semasa mengangkut dan, oleh itu, menambahbaik hasil untuk buah pinggang ini.

Hasil utama kami ialah kadar fungsi buah pinggang yang tertangguh (bilangan pesakit yang memerlukan sokongan dialisis tambahan pada minggu selepas pemindahan), dan hasil sekunder utama yang kami minati ialah survival buah pinggang selama satu tahun (bilangan buah pinggang yang dipindahkan masih berfungsi pada tahun pertama).

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami telah mencari semua kajian yang menilai faedah dan kemudaratan menggunakan mesin perfusi berbanding penyimpanan sejuk statik untuk mengangkut buah pinggang yang didermakan untuk pemindahan. Kami membanding dan merumuskan keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap maklumat tersebut berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang telah kami temui?

Dua puluh dua kajian (melibatkan 4007 peserta) disertakan. Kebanyakan kajian ini menyiasat mesin perfusi hipotermik (21), dengan satu kajian menyiasat mesin perfusi normotermik. Berbanding dengan penyimpanan sejuk statik piawai, penggunaan mesin mesin hipotermik mengurangkan kadar fungsi tertangguh buah pinggang yang dipindahkan, serta meningkatkan survival buah pinggang yang dipindahkan. Analisis ekonomi dalam tetapan AS dan Eropah menemui penjimatan kos dengan penggunaan mesin perfusi hipotermik. Membekalkan buah pinggang dengan oksigen tambahan semasa mesin perfusi hipotermik membawa kepada penambahbaikan selanjutnya dalam survival buah pinggang, fungsi buah pinggang dan kadar penolakan buah pinggang. Walau bagaimanapun, ini hanya diuji dalam kumpulan penderma tertentu (penderma meninggal dunia berusia lebih 50 tahun dan yang tidak mati otak). Masa mesin perfusi hipotermik dianggap penting, dengan faedah hanya dilihat apabila mesin perfusi dimulakan di hospital penderma dan diteruskan sepanjang mengangkut.

Kajian mesin perfusi normotermik (dilakukan selama satu jam selepas mengangkut dengan penyimpanan sejuk statik) tidak menemui kelebihan penting berbanding penyimpanan sejuk statik sahaja.

Apakah had bukti yang ada?

Kami yakin dengan penemuan kami bahawa mesin perfusi hipotermik, dibandingkan dengan penyimpanan statik sejuk, mengurangkan kadar fungsi yang terpadam dan survival buah pinggang yang dipindahkan. Walau bagaimanapun, kami kurang pasti tentang keputusan untuk ketidakfungsian utama, kejadian penolakan akut, survival pesakit, tinggal di hospital , fungsi buah pinggang jangka panjang, dan tempoh fungsi tertangguh buah pinggang.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini hingga Jun 2024.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan yang berkaitan dengan terjemahan ini. Diterjemah oleh Maizura Mohamad (Universiti Kebangsaan Malaysia). Dikemaskini oleh Cochrane Maaysia. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information