Memperbaik pelaksanaan polisi dan amalan berasaskan sekolah untuk memperbaik kesihatan murid

Mesej utama

• Sekolah dan kakitangan mereka melaksanakan intervensi untuk menangani pemakanan sihat pelajar, aktiviti fizikal, obesiti, dan penggunaan tembakau atau alkohol dengan lebih baik apabila strategi-strategi diguna untuk menyokong mereka berbuat demikian.
• Intervensi berasaskan sekolah yang pelaksanaannya disokong mungkin sedikit lebih berkesan dalam memperbaik pemakanan sihat pelajar, aktiviti fizikal, obesiti atau penggunaan tembakau.
• Kebanyakan kajian tidak melaporkan penilaian ekonomi terhadap strategi untuk menyokong pelaksanaan intervensi di sekolah atau menilai sebarang potensi kesan buruk.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin tahu sejauh mana strategi berkesan dalam menyokong pelaksanaan intervensi berasaskan sekolah untuk menangani diet pelajar, aktiviti fizikal, penambahan berat badan yang tidak sihat, dan penggunaan tembakau atau alkohol. Kami ingin tahu sama ada ia kos efektif dan jika ia mempunyai sebarang kesan buruk. Contoh strategi termasuk kaedah-kaedah memperbaik kualiti, pendidikan dan latihan, maklum balas tentang prestasi sekolah, gesaan dan peringatan, serta sumber pendidikan (cth. manual).

Apa yang kami lakukan?

Kami mengemas kini carian terdahulu yang dijalankan untuk kajian-kajian yang membandingkan penggunaan strategi bagi menyokong pelaksanaan intervensi dalam kalangan mereka yang belum melaksanakan, atau yang membandingkan dua atau lebih strategi pelaksanaan yang berbeza. Kajian-kajian melihat kepada strategi untuk menyokong pelaksanaan intervensi di sekolah yang menangani nutrisi pelajar, aktiviti fizikal, obesiti, atau penggunaan tembakau atau alkohol. Kami bandingkan dan ringkaskan keputusan-keputusan tersebut dan menilai keyakinan bukti berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian-kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami mendapati 11 kajian baru untuk ditambah kepada carian terdahulu menjadikan jumlah keseluruhan kajian yang disertakan kepada 38. Kebanyakan kajian dijalankan di AS dan menilai strategi pelaksanakan pemakanan sihat atau intervensi aktiviti fizikal. Kami dapati berbanding kawalan, penggunaan strategi pelaksanaan mungkin menghasilkan peningkatan besar dalam pelaksanaan intervensi di sekolah, dan sedikit peningkatan dalam pemakanan sihat dan aktiviti fizikal pelajar. Mungkin ada sedikit atau tiada kesan ke atas obesiti pelajar. Kesan strategi pelaksanaan terhadap penggunaan tembakau adalah sangat tidak pasti. Terdapat beberapa kajian yang menilai sebarang manfaat ekonomi penggunaan intervensi pelaksaaan strategi sokongan atau sebarang potensi kesan buruk kepada sekolah, kakitangan atau pelajar.

Apakah batasan bukti tersebut?

Walaupun ulasan kami menunjukkan penggunaan strategi pelaksanaan memberi peningkatan besar dalam pelaksanaan program, tetapi kajian-kajian menggunakan kaedah yang mungkin memperkenalkan ralat dalam keputusannya dan ketidakkonsistenan merentas kajian yang disertakan, dan kebanyakkannya dijalankan di satu negara (AS). Akibatnya, kami berkeyakinan rendah terhadap impak strategi untuk menyokong pelaksanaan memperbaik pelaksanaan intervensi di sekolah-sekolah dan kebanyakan hasil sekunder (diturun gred kerana risiko bias dan variasi dalam kaedah-kaedah dan keputusan-keputusan).

Adakah bukti ini mutakhir?

Kami mencari pangkalan data antara 1 September 2016 dan 30 April 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information