Ubat yang manakah paling baik bagi mengurangkan kehilangan darah berlebihan selepas bersalin?

Apakah isunya?

Tujuan Ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui ubat yang mana paling berkesan untuk mencegah kehilangan darah berlebihan semasa melahirkan anak dan mempunyai kesan sampingan paling sedikit. Kami mengumpul dan menganalisis semua kajian yang relevan untuk menjawab soalan ini (tarikh carian: 24 Mei 2018).

Mengapa ini penting?

Perdarahan berlebihan selepas bersalin merupakan sebab paling lazim kematian ibu semasa melahirkan anak di serata dunia. Walaupun kebanyakan wanita mempunyai perdarahan sederhana semasa bersalin, yang lainnya mungkin mengalami pendarahan yang berlebihan, dan ini boleh menjadi risiko serius kepada kesihatan dan nyawa mereka. Untuk mengurangkan perdarahan berlebihan semasa bersalin, pengambilan ubat untuk mengecutkan uterus (uterotonik) secara rutin telah menjadi amalan standard di seluruh dunia.

Pemberian pelbagai ubat-ubatan secara rutin semasa bersalin telah digunakan untuk mengurangkan perdarahan berlebihan. Ini termasuk oksitosin, misoprostol, ergometrina, carbetocin, suntikan prostaglandin dan gabungan ubat-ubat ini, masing-masing dengan keberkesanan dan kesan-kesan sampingan yang berbeza. Beberapa kesan-kesan sampingan yang telah dikenal pasti termasuk: muntah, tekanan darah tinggi dan demam. Terkini, oksitosin disyorkan sebagai ubat standard untuk mengurangkan perdarahan berlebihan. Kami menganalisis semua bukti sedia ada untuk membandingkan profil keberkesanan dan kesan-kesan sampingan setiap ubat.

Apakah bukti yang kami temui?

Kami menemui 196 kajian yang melibatkan 135,559 wanita. Kami membandingkan tujuh agen uterotonik antara satu sama lain dan antara wanita yang tidak menerima agen uterotonik. Kajian dilaksanakan di 53 buah negara. Dalam kebanyakan kajian, wanita melahirkan anak secara normal dan di dalam hospital.

Analisis mencadangkan kesemua ubat adalah berkesan untuk mencegah kehilangan darah yang bersamaan dengan atau melebihi 500 mL bila dibandingkan dengan tiada rawatan uterotonik rutin. Berbanding dengan oksitosin (ubat standard yang disyorkan), tiga ubat paling baik untuk hasil ini merupakan gabungan ergometrina bersama oksitosin, carbetocin, dan gabungan misoprostol dengan oksitosin. Kami mendapati ubat-ubat lain misoprostol, suntikan prostaglandin, dan ergometrina mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan kepada hasil ini berbanding oksitosin.

Kesemua ubat kecuali ergometrina dan suntikan prostaglandin adalah berkesan untuk mencegah kehilangan darah yang bersamaan dengan atau melebihi 1000 mL apabila dibandingkan dengan tiada rawatan. Ergometrina bersama oksitosin dan misoprostol bersama oksitosin memberi sedikit atau tiada perbezaan dalam hasil ini berbanding oksitosin. Adalah tidak pasti sama ada carbetocin dan ergometrina secara bersendirian memberikan apa-apa perbezaan kepada hasil ini. Walau bagaimanapun, misoprostol adalah kurang berkesan dalam mencegah kehilangan darah yang bersamaan dengan atau melebihi 1000 mL berbanding oksitosin.

Misoprostol bersama oksitosin mengurangkan penggunaan uterotonik tambahan dan kemungkinan juga mengurangkan risiko transfusi darah berbanding oksitosin. Carbetocin, suntikan prostaglandin dan ergometrina bersama oksitosin mungkin juga mengurangkan penggunaan agen uterotonik tambahan tetapi kepastian bukti adalah rendah. Tiada perbezaan bermakna yang boleh dikesan antara semua agen untuk kematian maternal atau komplikasi kelahiran yang teruk kerana keadaan ini jarang berlaku dalam kajian tersebut.

Dua gabungan ubat tersebut dikaitkan dengan kesan sampingan yang penting. Berbanding oksitosin, wanita yang menerima gabungan misoprostol bersama oksitosin lebih cenderung untuk mengalami muntah dan demam. Wanita yang menerima ergometrina bersama oksitosin adalah lebih cenderung untuk mengalami muntah dan mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan kepada risiko darah tinggi, walau bagaimanapun kepastian bukti adalah rendah untuk hasil ini.

Analisis-analisis telah memberi keputusan yang sama bagi wanita yang bersalin secara normal atau caesarean, di hospital atau di dalam komuniti, berisiko tinggi atau rendah untuk perdarahan berlebihan selepas bersalin, sama ada mereka menerima dos misoprostol yang tinggi atau rendah dan samada mereka menerima oksitosin secara bolus atau infusi atau kedua-duanya.

Apakah maksudnya?

Semua agen pada amnya adalah berkesan untuk mencegah perdarahan berlebihan bila dibandingkan dengan tiada rawatan ubat uterotonik. Gabungan ergometrina dengan oksitosin, carbetocin, dan gabungan misoprostol dengan oksitosin mungkin mempunyai beberapa manfaat tambahan berbanding oksitosin standard semasa. Gabungan dua ubat, walau bagaimanapun, adalah berkait dengan kesan sampingan yang ketara yang mungkin tidak disenangi wanita berbanding dengan oksitosin. Carbetocin mungkin mempunyai beberapa manfaat tambahan berbanding oksitosin dan kelihatan tanpa peningkatan dalam kesan-kesan sampingan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S. Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Noorliza mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi salwah@usm.my

Tools
Information