Latar belakang
Fibromialgia dicirikan oleh kesakitan kronik meluas (lebih dari tiga bulan) yang sering wujud bersama masalah tidur, masalah berfikir dan fatig (keletihan). Orang sering melaporkan batasan serius fungsi harian dan kualiti hidup berkaitan kesihatan yang buruk. Terapi memfokus kepada pengurangan simptom utama dan kehilangan upaya, dan memperbaik kualiti hidup berkaitan kesihatan. Kanabis telah digunakan selama 3000 tahun untuk mengurangkan sakit dan simptom lain, seperti hilang selera makan dan kegelisahan.
Keputusan utama dan kualiti bukti
Pada April 2016 kami mencari laporan kajian-kajian klinikal yang menggunakan produk kanabis untuk merawat simptom dalam kalangan dewasa dengan fibromialgia. Kami menemui dua kajian kecil dan berkualiti sederhana, berdurasi empat dan enam minggu dengan 72 peserta. Kedua-dua kajian menguji nabilone, produk kanabis sintetik (buatan manusia), berbanding plasebo (pil palsu) atau ‘amitriptyline’ (antidepresan yang sering digunakan dalam rawatan fibromialgia).
Nabilone tidak meyakinkan melegakan simptom fibromialgia (sakit, tidur, fatig) lebih baik daripada plasebo atau amitriptyline (bukti berkualiti sangat rendah). Beribanding plasebo dan amitriptyline, lebih ramai orang mengalami kesan sampingan dan meninggalkan kajian akibat kesan sampingan (bukti berkualiti sangat rendah). Tiada kesan sampingan serius dilaporkan. Kami tidak menemui kajian yang relevan dengan kanabis herba, ‘cannabinoid’ berasaskan tumbuhan atau ‘cannabinoid’ sintetik selain nabilone dalam fibromialgia.
Tiada cukup bukti berkualiti tinggi untuk membuat sebarang kesimpulan yang kukuh. Kami tidak menemui kajian tentang kanabis perubatan dalam fibromialgia.
Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). DIsunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my