Apakah manfaat dan mudarat penggunaan teknologi untuk memantau orang dengan asma dari rumah?

Mesej Utama
Pelbagai teknologi telah dibangunkan untuk menghubungkan orang dengan asma kepada profesional kesihatan mereka di antara pemeriksaan rutin. Kajian-kajian yang telah menguji strategi tersebut tidak dapat membuktikan ‘telemonitoring’ boleh membawa kawalan gejala lebih baik atau kurang serangan asma, dan tidak dapat menolak kemungkinan ia boleh mendatangkan mudarat dengan membuat orang kurang cenderung untuk bertindak apabila perlu. ‘Telemonitoring’ mungkin bermanfaat kecil kepada kualiti hidup dan fungsi paru-paru, tetapi keputusan tersebut adalah tidak pasti.

Latar belakang
Kontak regular dengan doktor atau jururawat asma adalah penting untuk menangani gejala asma dan mengubah inhaler jika perlu. Teknologi telefon dan internet kini diguna dalam banyak masalah kesihatan jangka panjang sebagai cara memantau gejala di antara lawatan-lawatan klinik. Untuk asma, fungsi paru-paru dan gejala asma lain boleh diukur di rumah dan maklumat dihantar secara elektronik kepada doktor atau jururawat, yang boleh mementukan sama ada tindakan perlu diambil sebelum seseorang datang ke klinik.

Soalan ulasan
Kami ingin tahu sama ada ‘telemonitoring’ di rumah termasuk maklum balas profesional kesihatan menambah manfaat untuk orang dengan asma berbanding pemantauan biasa mereka.

Ciri-ciri kajian
Kami mendapati 18 kajian melibatkan sejumlah 2268 orang: 12 kajian melibatkan orang dewasa, lima kajian melibatkan kanak-kanak dan sebuah kajian melibatkan individu daripada kedua-dua kumpulan. Kebanyakan orang dalam kajian berpenyakit asma berterusan yang ringan hingga sederhana, dan kajian-kajian umumnya berlangsung antara 2 hingga 12 bulan. Pesakit dalam kumpulan intervensi diberi salah satu teknologi untuk merakam dan berkongsi gejala-gejala mereka (mesej teks, sistem web atau panggilan telefon) dan dibandingkan dengan kumpulan orang yang menerima penjagaan biasa, atau kumpulan kawalan.

Keputusan utama dan kualiti bukti
Kami tidak dapat menyatakan sama ada orang dalam kumpulan ‘telemonitoring’ berpeluang lebih tinggi atau rendah berbanding kumpulan kawalan dalam mengalami serangan asma yang memerlukan steroid oral, lawatan ke bilik kecemasan atau kemasukan hospital. Tiada laporan yang menjelaskan potensi mudarat lain ‘telemonitoring’ di rumah. Kajian-kajian menggunakan pelbagai jenis teknologi, dan kami tidak dapat menyatakan sama ada sesetengahnya lebih berkesan berbanding yang lain. Keyakinan kami terhadap keputusan adalah dari sangat rendah hingga sederhana, bermaksud kajian-kajian tambahan mungkin mengubah sesetengah keputusan dan mempengaruhi tahap bolehpercaya kami.

Mengguna teknologi untuk memantau orang dengan asma dari rumah boleh memberi manfaat berbanding penjagaan biasa untuk kualiti hidup keseluruhan, tetapi kesannya adalah kecil, dan kajian-kajian tidak sepakat antara satu sama lain. Intervensi-intervensi tersebut boleh memberi manfaat untuk fungsi paru-paru, tetapi kebanyakan orang berhenti dari kajian, oleh itu kami tidak pasti.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Roshan Arjun Ananda (Monash University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatn Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information