Pesanan bawa-pulang
Kajian yang dijalankan untuk menjawab soalan kajian ini tidak menunjukkan perbezaan yang penting antara kedua-dua jenis pemeriksaan ini. Walau bagaimanapun, maklumat adalah tidak mencukupi untuk mengesampingkan perbezaan mereka dari segi bahaya atau manfaat. Pada peringkat ini, kami tidak pasti sama ada pemeriksaan asma yang dijalankan melalui telefon atau internet adalah alternatif yang selamat untuk perundingan bersemukaan yang lazim digunakan.
Latar Belakang
Susulan tetap dengan doktor atau jururawat asma adalah penting untuk mengesan simptom penyakit dan penggunaan inhaler. Telefon dan teknologi internet mungkin boleh digunakan sebagai satu cara untuk mengendalikan peningkatan kadar pesakit asma dan masalah kesihatan jangka panjang yang lain. Ini telah dirujuk sebagai 'ulasan jarak jauh' atau e-perundingan, dan boleh menjadi cara yang lebih mudah untuk menjaga hubungan antara pesakit dan doktor, tetapi kami tidak tahu sama ada ia adalah sebaik perundingan bersemukaan.
Ciri-ciri kajian
Kami mendapati sejumlah enam kajian yang melibatkan 2100 peserta: empat kajian yang melibatkan 792 peserta boleh dikumpulankan untuk keputusan utama kajian, dan dua kajian yang lain perlu dikaji secara berasingan kerana reka bentuk mereka adalah sangat berbeza (n = 1213 dan n = 95). Peserta-peserta dalam empat kajian yang digolongkan mengambil ubat-ubatan biasa dan kami mengecualikan mereka yang mempunyai asma yang teruk atau penyakit paru-paru yang lain. Kami mengkaji dua kajian yang reka bentuknya berbeza dengan empat kajian yang utama secara berasingan: satu kajian membandingkan amalan di mana pesakit asma telah diberi pilihan untuk pemeriksaan melalui telefon atau lawatan ke klinik seperti biasa. Satu kajian lagi mengkaji secara khusus penggunaan teknologi untuk memantau pesakit semasa mereka sedang mengurangkan dos steroid oral. Tarikh terakhir kami mencari kajian adalah pada 24 November 2015.
Keputusan utama
Kami tidak boleh mensimpulkan sama ada peserta yang menjalani pemeriksaan melalui telefon atau internet lebih atau kurang memerlukan kortikosteroid oral untuk serangan asma, berbanding dengan peserta yang menjalani perundingan bersemukaan. Kami tidak pasti dengan keputusan kajian oleh kerana beberapa sebab. Terlalu kurang pesakit mengalami serangan asma yang memerlukan rawatan di Jabatan Kecemasan atau hospital, atau lawatan tanpa janji temu ke doktor mereka untuk memberitahu sama ada pemeriksaan jarak jauh adalah sebaik perundingan bersemukaan. Tiada perbezaan didapati dalam kawalan asma atau kualiti hidup, tetapi kami dapat menolak kemungkinan yang pemeriksaan jarak jauh adalah tidak sebaik perundingan bersemukaan dari segi ukuran ini. Kualiti bukti kajian yang didapati adalah rendah atau sederhana. Kajian yang menguji manfaat memberi pesakit pilihan untuk pemeriksaan melalui telefon menunjukkan bahawa ini meningkatkan bilangan pesakit yang diperiksa, tetapi tidak menunjukkan manfaat kepada kesudahan asma secara keseluruhannya.
Diterjemahkan oleh Teoh Ru Jian Jonathan (Penang Medical College). Disunting oleh Tan May Loong (Penang Medical College). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi jonathanteoh_c2017@ms.pmc.edu.my.